Thursday, December 31, 2009

Penduduk trauma ah long mengganas

TEMERLOH - Penduduk mula bimbang tindakan ganas peminjam wang haram atau ah long menyimbah cat dan merosakkan rumah peminjam di Taman Seri Kemuning, di sini.

Ketua UMNO Cawangannya, Borhan Seman berkata, ah long terbabit juga meninggalkan nota dengan kata-kata kesat dan menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan penduduk.

Menurutnya, kejadian itu tidak disedari penduduk kerana ia berlaku sekitar jam 3 hingga 4 pagi, di Blok Aman 1 di sini.

“Kami sedari kejadian ini awal pagi tadi (semalam) apabila jiran memberitahu kepada saya.

“Saya bersama Ahli Jawatankuasa UMNO bergegas ke rumah terbabit dan kesal dengan tindakan peminjam wang haram apabila menyimbah cat yang sukar ditanggalkan.

“Namun kami bersyukur kerana ketika kejadian rumah tersebut kosong dan tiada penghuni, selain disimbah cat, jaring tingkap rumah dikoyak dengan pisau kerana mahu simbah cat ke dalam rumah, namun mereka gagal berbuat demikian,” katanya ketika ditemui di sini.

Borhan berkata, kejadian itu menyebabkan penduduk taman itu trauma kerana bimbang samseng terbabit datang kembali dan mengganas untuk mencari si penghutang.

Katanya, penduduk perlu bekerjasama dengan segera menghubungi polis sekiranya terlihat mana-mana individu mencurigakan yang berkeliaran di sebelah rumah mereka atau jiran lain.:

“Kita perlu hubungi polis untuk menangkap ah long ini kerana tidak mahu berlaku sebarang kejadian tidak diingini. Keselamatan anak-anak sangat penting.

“Penduduk perlu memastikan pintu rumah dikunci setiap malam kerana bimbang ah long terbabit tersalah masuk rumah dan cederakan penduduk tidak bersalah,” katanya.

Jiran rumah itu yang mahu dikenali sebagai Pak Man, 56, berkata, dia tersedar pada jam 4 pagi dan terhidu bau cat di luar rumahnya.

Katanya, dia tidak mahu bangun mencari bau itu kerana tidak mahu berlaku sebarang kejadian kepada ahli keluarganya.

“Bau cat itu sangat kuat hingga menusuk hidung, malah jiran sebelah rumah saya sudah berpindah dan tidak mahu melihat apa berlaku.

“Apabila hari sudah cerah, lihat tumpahan cat berwarna merah merata-rata dan memenuhi ruangan rumah sebelah rumah saya.

“Saya segera hubungi Ketua UMNO Cawangan supaya segera ambil tindakan lanjut,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: