Tuesday, December 29, 2009

Sekatan keselamatan 'peningkan kepala'


beberapa penumpang menjalani pemeriksaan ketat di Terminal C, Lapangan Terbang Antarabangsa Dallas/Forth Worth di Dallas kelmarin.

WASHINGTON - Beberapa sekatan keselamatan baru dilaksanakan segera selepas terdapat percubaan untuk meletupkan sebuah pesawat pada Jumaat lalu sekali gus menjadikan perjalanan udara di Amerika Syarikat (AS) lebih 'memeningkan kepala' penumpang.

Langkah keselamatan itu turut menyebabkan ahli-ahli perniagaan yang merupakan pelanggan penting syarikat-syarikat penerbangan AS berfikir dua kali semasa berhasrat hendak melakukan perjalanan udara.

Ia berikutan para penumpang kini perlu berbaris panjang dan lebih lama di pusat-pusat pemeriksaan selain kebebasan mereka ketika berada di dalam pesawat turut terbatas.

Suasana sukar itu dijangka kurang membebankan penumpang biasa seperti pelancong dan keluarga yang memenuhi lapangan-lapangan terbang untuk pulang kelmarin selepas percutian Krismas kerana mereka pernah melaluinya sebelum ini.

Namun, ahli-ahli perniagaan khuatir untuk melakukan perjalanan kerana langkah keselamatan lebih ketat itu bermakna mereka terpaksa membazir masa selama berjam-jam berada di lapangan terbang.

Golongan tersebut merupakan penyumbang utama keuntungan syarikat penerbangan kerana mereka kerap melakukan perjalanan di samping membayar tambang lebih mahal.

Langkah keselamatan ketat itu dibuat selepas seorang warga Nigeria, Umar Umar Farouk Abdulmutallab ditangkap di dalam pesawat oleh seorang penumpang Belanda sebelum ditahan polis semasa dia cuba meletupkan bahan letupan dalam pesawat Northwest Airlines pada Jumaat lalu.

Semasa kejadian, pesawat itu dalam perjalanan dari Amsterdam ke Detroit, AS.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: