Thursday, December 31, 2009

Gred A


PELAKON jelita yang juga bekas Ratu Dunia 2000, Priyanka Chopra, 27, mengakui lakonan dalam filem pertama, Andaz enam tahun lalu sangat teruk dan memalukannya dirinya sendiri kerana dia melangkah dalam industri filem Bollywood tanpa pengalaman.

Bagaimanapun dengan peredaran masa dan tawaran berlakon silih berganti menjadikan Priyanka kian matang dan lakonannya juga bertambah baik.

Maka tidak hairanlah dia kini tersenarai antara pelakon gred A di Bollywood.

Priyanka juga sudah meletakkan sasarannya dalam bidang lakonan dan mula bercakap mengenai teman hidup.

"Enam tahun dulu saya pelakon paling teruk. Sekarang pun saya masih belajar dan akan terus belajar, tetapi rasanya lakonan saya kini lebih bagus dari dulu. Saya akan terus menimba ilmu sebanyak yang boleh," katanya.

Bagaimanapun, Priyanka yang baru menang Anugerah Pelakon Terbaik pada Anugerah Filmfare menerusi lakonannya dalam filem Fashion belum bercadang untuk menamatkan zaman solonya.

"Belum masanya lagi. Tetapi jika saya berhasrat untuk berkahwin saya mahu lelaki itu tahu menghargai dan membuatkan diri ini berasa sangat istimewa serta suka buat saya ketawa," katanya.

Bagaimanapun, baru-baru ini, Priyanka dikatakan intim dengan hero baru, Shahid Kapoor yang berlakon bersamanya dalam filem Kaminey.

Mereka digosipkan pernah keluar bersama.

"Bukankah sebelum ini media pernah mengaitkan Shahid dengan Vidya Balan dan Sania Mirza. Saya tidak mengenali Shahid secara peribadi.

"Kami hanya berlakon bersama dalam Kaminey dan memang seronok bekerja dengannya kerana kami berkongsi pendapat yang sama. Itu saja saya boleh beritahu dan jika benar kami mula bercinta atau bercadang akan berkahwin dan mempunyai anak, saya akan umumkan sendiri," katanya sambil ketawa.
Tidak cukup dengan itu, Priyanka juga dikatakan rapat dengan seorang lagi bakat baru Bollywood, Ranbir Kapoor yang baru beberapa bulan putus cinta dengan Deepika Padukone.


Mereka berpisah kerana Ranbir kelihatan rapat dengan Katrina Kaif yang berlakon dengannya dalam filem Ajab Prem Ki Ghazab Kahani.

"Saya tiada hubungan dengan sesiapa termasuk Shahid atau Ranbir. Kebelakangan ini saya selalu dituduh bercinta dengan aktor yang berlakon bersama. Bagaimanapun tuduhan itu tidak menjejaskan emosi dan kerja saya.

"Tunggulah jika saya sudah berjumpa dengan berkenan di hati saya akan beritahu seluruh dunia. Saya harap peminat faham, tidak semestinya apabila saya berlakon dengan mana-mana aktor kami bercinta," katanya.

Menyentuh kerjaya seninya, Priyanka tersenyum bangga kerana tahun lalu, dua filem lakonannya, Fashion dan Dostana meledak di pawagam.

"Saya rasa macam dah bekerja selama 20 tahun kerana terlalu banyak kerja saya buat dalam masa singkat. Apabila saya renungkan semula, rupanya baru enam tahun di Bollywood.

"Sepanjang tempoh itu juga saya tidak pernah belajar berlakon secara formal dan bukan berasal dari keluarga seni. Kejayaan hari ini hasil kerja kuat dan sokongan keluarga.

"Selain itu saya juga tidak pernah ambil serius terhadap segala tuduhan dan khabar angin mengenai saya. Sejak mula menceburi dunia lakonan saya tahu spekulasi dan kontroversi datang seiring populariti.

"Saya tidak mampu menutup mulut orang jadi jalan terbaik biarlah saya yang berdiam diri.

"Tidak dinafikan sedikit sebanyak gosip mengganggu juga kerana saya perempuan dan keluarga.

"Tetapi saya tidak berminat untuk membuat sebarang penjelasan setiap ada cerita baru pasal saya bercinta dengan orang itu dan ini. Selagi keluarga tahu siapa saya, saya pekakkan telinga dan pejamkan mata," katanya.

Priyanka juga bersedia menghadapi kenyataan bukan semua filemnya berjaya. Empat filem lakonannya, Love Story 2050, God Tussi Great Ho, Chamku dan Drona gagal di pasaran.

"Selepas menang Anugerah Pelakon Terbaik pada Anugerah Star Screen, saya menjadi tamak hendak menang anugerah setiap tahun. Tetapi saya juga terima hakikat dalam apapun yang dilakukan pasti ada kejayaan dan kegagalan.

"Filem lakonan saya, Whats Your Raashee gagal.

Dalam filem arahan Ashutosh Gowariker itu saya pegang 12 karakter. Ia adalah filem romantik komedi. Apabila filem tak laku tentu saya kecewa kerana sudah menghabiskan sepenuh tenaga dan masa.

"Tetapi kekecewaan itu dapat diatasi apabila filem Kameenay berjaya menjadi filem pecah panggung. Menerusi Kameenay juga saya terima banyak pencalonan dalam anugerah," katanya.

Sepanjang tahun jadual kerja Priyanka padat namun dia gembira dengan apa yang dilalunya.

Pada 12 Disember lalu dia dijemput menghadiri pertandingan Ratu Dunia ke 59 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Gallagher, Johannesburg.

Seramai 112 jelitawan dari seluruh dunia mengambil bahagian.

"Menghadiri majlis gemilang itu mengingatkan detik saya dimahkotakan sebagai Ratu Dunia 2000. Itulah juga menjadi detik awal saya menjadi bintang filem di Bollywood," katanya.

>Profil

NAMA: Priyanka Chopra

NAMA TIMANGAN: Sunshine dan Mimi

TARIKH LAHIR: 18 Julai 1982

TEMPAT DILAHIRKAN: Jamshedpur, Bihar, India

TINGGI: 160 cm

BERAT: 53 kg

UKURAN BADAN: 35-24-34

KENDERAAN: Mercedes Benz warna putih

PENDIDIKAN: Kolej La Martiniere Girls, Lucknow; Kolej Maria Goretti, Bareilly; Newton North High School, Newton, Massachusetts dan Cepar Rapids, John F Kennedy High School , Iowa.

BAPA: Dr Ashok Chopra (pakar bedah)

IBU: Dr Madhu Chopra

ADIK: Sidharth Chopra

LAGU KEGEMARAN: Careless Whispers, I Will Always Love You.

PELAKON PUJAAN: Mel Gibson dan Kishore Kumar

MAKANAN KEGEMARAN: Lasagna, makki roti dan sarson kasaag

PAKAIAN KEGEMARAN: Sari

BUKU DIMINATI: Romeo Juliet - Shakespeare dan Sidney Sheldon - Tell Me Your Dreams

MAJALAH DIMINATI: Femina dan Reader's Digest

FILEM DIMINATI: Pretty Woman dan Walk in the Clouds

HOBI: Menyanyi dan menulis puisi

ANUGERAH: Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Filmfare 2004 (Andaaz), Pelakon Watak Jahat Terbaik pada Anugerah Filmfare 2005 (Aitraaz), Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Star Screen 2008, Anugerah Watak Jahat Terbaik pada Anugerah Star Screen 2995 (Aitraaz)

FILEM: The Hero, Jaan Ki Baazi, Andaz, Kismsat, Black Mail, Plan, Asambhav, Waqt, Mujh Se Shaadi Karogi, Krrish, Yakeen, Don, Sahib Biwi Aur Ghulam, God Tussi Great, Perizaad Zorabian, Bluffmaster, Qurbani, Love Story 2050, Fashion, Dostana, Kaminey, What's Your Raashee?, Pyaar Impossible, Alibaba Aur 41 Chor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: