Tuesday, December 29, 2009

Lana takut jarum suntikan



KATAKANLAH apa sahaja tentang pelakon popular dan si cantik manis ini, Lana Nordin. Daripada seorang wanita yang gedik, penggoda, seksi sehinggalah dibela oleh orang kenamaan dan macam-macam lagi ditohmahkan kepadanya.

Semua tuduhan itu ditujukan kepada empunya diri bagaikan tanpa ada sedikitpun belas kasihan.

Sedangkan masyarakat tidak pernah sekali mendasari budi pekerti sebenar wanita berusia 30 tahun itu lantas hukuman dijatuhkan kepadanya gara-gara fitnah tersebut.

Terbaru, pemilik nama lengkap Mazlina Hasan Nordin itu dikatakan membuat pembedahan hidung semata-mata mahu kelihatan cantik. Gosip itu sudah berterbangan bebas di laman-laman maya sampaikan ada yang berani meletakkan wajah dulu dan sekarang Lana kononnya sebelum dan selepas pembedahan.

Biarpun terus dilabelkan dengan pelbagai cerita kurang manis, hakikatnya Lana yang meraih jolokan Pamela Anderson Malaysia kerana saiz payu daranya, tidak lekas melenting atau melatah dengan apa jua gosip yang dihadapkan kepadanya.

Saat diajukan perkhabaran pembedahan hidung, anak kelahiran Kuching, Sarawak itu memperlihatkan riak terkejut. Bukannya apa, Lana tidak menyangka sampai begitu sekali dia dilontarkan fitnah oleh masyarakat di luar sana.

Sambil membenarkan wajah polosnya dirias oleh jurusolek, Kiss pada petang itu di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini, Lana mula membutir bicara satu-persatu sambil menerangkan tentang dakwaan menjalani pembedahan kosmetik pada bahagian hidungnya.

"Sebelum ini ada seorang wartawan bertanyakan perkara yang sama kepada saya. Saya sekadar tertawa dengar gosip bukan-bukan ini. Bukan mahu menafikan macam sesetengah artis lain, namun sejujurnya saya tidak membuat pembedahan hidung.

"Sudahlah saya takut dengan jarum suntikan, inikan pula mahu buat pembedahan kosmetik. Tidak masuk akal langsung. Kalau saya buat benda ini maka sudah pastilah awal-awal lagi saya kena marah dengan keluarga.

"Bahkan, bapa juga akan kejar dengan parang kalau saya lakukan pembedahan hidung. Cuma tidak dinafikan sebelum ini saya pernah mengambil suntikan vitamin C sewaktu berkhidmat sebagai pramugari bagi mengekalkan keaslian wajah.

"Jangan percaya dengan khabar angin ini. Entah-entah ada orang yang sanggup melakukan teknik super impose gambar hidung saya lalu dipaparkan di Internet. Dengan teknologi moden yang ada sekarang, tidak hairanlah macam-macam perkara boleh dibuat," katanya sambil tertawa kecil.


LANA terkejut kerana sering dilemparkan dengan pelbagai tohmahan.

Biarpun begitu, Lana enggan sesekali menghukum individu lain yang hendak membuat pembedahan kosmetik waima menyuntik di bahagian hidung, dagu, pipi, bibir dan macam-macam lagi.

"Ia menjadi hak masing-masing. Kita tidak perlulah hendak sibuk-sibuk dengan keputusan orang lain sekali gus jangan menjadi golongan Melayu tipikal yang gemar mengambil tahu urusan orang di sekeliling.

"Lagipun siapalah kita mahu menilai atau menghukum perbuatan manusia lain kalau diri sendiri secara realitinya tidaklah baik sangat," ujar Lana bersungguh-sungguh.

Bakal bergelar jutawan

Beritahu wanita yang pernah muncul menerusi filem Remp-It, tahun 2009 menjadi tahun dia aktif semula dalam bidang lakonan setelah beberapa tahun lalu menumpukan perhatian terhadap bisnes kontraktor kelas A yang dikongsi dengan temannya berpangkat Datuk.

"Saya buat projek dengan beberapa agensi kerajaan sejak tahun lalu. Sebenarnya skop kerja saya lebih terarah kepada bidang pemasaran sambil bertemu dengan klien bagi mendapatkan tender untuk syarikat kami.

"Minat untuk melakukan perniagaan memang sudah lama ada dalam diri. Saya pernah mengambil kursus perniagaan dan bekerja sebagai setiausaha sebelum menyertai syarikat penerbangan AirAsia.

"Selepas itu barulah saya memulakan diri dalam bidang lakonan sekadar suka-suka. Pada waktu yang sama, saya menjalankan perniagaan ini. Selepas berlakon dengan beberapa buah drama dan filem, saya ambil keputusan untuk berehat seketika daripada bidang lakonan selepas tamat drama bersiri, Gol & Gincu.


DIGELAR Pamela Anderson Malaysia, Lana mengakui bentuk badan dan wajahnya adalah asli tanpa pembedahan plastik.

"Ia disebabkan saya mahu belajar dan mendalami perniagaan kerana sedar karier sebagai pelakon tidak menjamin masa depan yang cerah. Saya tidak kisah jarang muncul di kaca televisyen dan mengamalkan sikap memilih mana-mana drama yang ingin diceburi.

"Alhamdulillah, tidak lama kemudian bisnes saya berjalan lancar tanpa ada sebarang masalah. Tahun demi tahun, ia menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan. Saya sendiri teruja apabila melibatkan diri dalam bidang yang sarat dengan cabaran dan dugaan ini.

"Lantaran itu, saya menyasarkan pada tahun depan untuk bergelar jutawan ditambah dengan projek-projek berskala besar yang diperoleh syarikat.

"Bahkan pada usia 30 tahun saya belum berfikir soal kahwin walaupun saya tahu ia adalah masa terbaik untuk menamatkan zaman bujang. Lagipun saya tidak mahu bercakap soal teman lelaki melainkan kalau ada lamaran atau pinangan ditujukan kepada diri. Kalau ada barulah saya boleh berkongsi kegembiraan ini dengan peminat," jelasnya berterus-terang.

Sering diberikan watak jahat

Apalah agaknya nasib Lana kerana dia sering diberikan watak bersisi hitam sekali gus menguatkan tanggapan sesetengah masyarakat tentang sikap negatifnya dalam kehidupan sebenar.

Lana sendiri tidak mampu menolak tawaran kepada diri apabila sang pengarah lebih memujanya sebagai pembawa watak antagonis yang biasanya diakhiri dengan kematian pada pengakhiran cerita.

"Entahlah, saya sendiri kurang mengerti kenapa sering ditawarkan watak wanita jahat. Terbaru dalam drama terbaru, Mayang Mengurai yang disiarkan dalam slot Lagenda di TV3 tidak lama lagi juga memperlihatkan saya membawa watak Kartina, seorang wanita jahat.


SELAIN berlakon Lana juga sibuk sebagai seorang ahli perniagaan.

"Drama ini berkisar tiga orang anak angkat yang dibela oleh seorang ahli sihir. Setiap mereka punya kelebihan dan keistimewaan masing-masing. Katrina ada tunang yang dilakonkan oleh Kamal Adli, tetapi tunang Katrina dikahwinkan dengan orang lain atas kehendak keluarga.

"Daripada situ, saya ada niat untuk membalas dendam dengan kehidupan malang yang dilalui. Memanglah saya asyik diberikan watak jahat. Tetapi apa hendak buat, saya terima saja dengan hati terbuka walaupun sebelum ini ada sedikit perasaan kurang berpuas hati.

"Seperti yang saya katakan, dunia lakonan hanya pekerjaan suka-suka kepada saya. Tiada sebarang matlamat lain buat masa ini melainkan merencana perniagaan bagi mendapatkan kehidupan lebih cerah," akhiri Lana dalam nada serius.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: