Tuesday, December 29, 2009

Belajar sambil bekerja

Bekerja sebagai pembantu tadbir banyak membantu meningkatkan keyakinan diri Nurul Huda Abdul Ghafar sama ada dalam pergaulan mahupun komunikasi.


KERJAYA sebagai pembantu tadbir banyak mengajar Nurul Huda mengenai kerenah manusia.



BEKERJA sambil belajar mengehadkan masa Nurul Huda untuk diri sendiri, bersama keluarga dan rakan-rakan.

TATKALA berbicara dengan gadis ini, topik perbualannya fokus kepada dua perkara saja iaitu kerjaya sebagai pembantu tadbir dan pendidikan.

Nurul Huda Abdul Ghafar, 25, berpendapat, kerjaya sebagai pembantu tadbir di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur membuka ruang untuk dirinya lebih yakin sama ada dalam pergaulan mahupun komunikasi.

Ceritanya, tamat sahaja Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), dia memohon untuk bekerja secara sambilan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor sebagai pembantu tadbir.

Namun disebabkan seronok bekerja, Huda yang menerima tawaran daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) ketika itu menolak untuk belajar sepenuh masa.

"Saya memohon untuk melakukan Pengajian Luar Kampus (PLK). Sebulan hanya dua kali sahaja perlu menghadiri kelas," kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

Gadis yang berasal dari Stulang Baru, Johor Bahru itu juga mula memohon kerja dalam bidang yang sama di sektor kerajaan.

Ternyata rezeki memihak kepadanya apabila ditawarkan bekerja sebagai pembantu tadbir di Bahagian Sumber Manusia Kementerian Pembangunan Wanita, keluarga dan Masyarakat.

Huda menjawab lima soalan yang dikemukakan oleh GenK.

Apakah cabaran bekerja sambil belajar?

NURUL HUDA: Pengalaman bekerja sambil belajar bukan saja memberi keseronokan, malah ia menjanjikan kepuasan peribadi. Namun saya akui bahawa masa yang agak terhad. Terlalu fokus pada kerja dan belajar, jadi saya kurang masa untuk diri sendiri, keluarga dan kawan-kawan.

Kerjaya sebagai pembantu tadbir juga menuntut saya berhadapan dengan pelbagai kerenah manusia. Saya dipertanggungjawab untuk menguruskan kerja-kerja perlantikan dan pengesahan jawatan bagi kakitangan-kakitangan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Fokus anda pada masa akan datang?

Dengan kelulusan yang bakal diperoleh selepas tamat pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, saya berharap dapat memohon jawatan yang lebih tinggi dalam sektor kerajaan.

Kepuasan yang anda peroleh sebagai pembantu tadbir?

Saya tahu selok-belok organisasi dan perkhidmatan sumber manusia.

Saya juga seronok kerana ramai pekerja terdiri daripada wanita. Ia secara tidak langsung memudahkan urusan komunikasi dan kerja.

Di situlah datangnya kepuasan bergelar pembantu tadbir. Pada masa yang sama ia membawa manfaat iaitu mendapat pengalaman bekerja. Sekali gus memudahkan urusan memperoleh pekerjaan yang lebih bagus kelak.

Pengalaman pahit manis sepanjang bekerja?

Pengalaman pahit ialah apabila pernah dimarahi oleh kakitangan kerana terlewat membuat proses pengesahan perkhidmatan atau perlantikan jawatan.

Pengalaman manis pula apabila mula-mula masuk kerja, saya disambut dengan baik. Malah, mereka juga banyak beri galakan dan sokongan. Selain itu, saya juga berpeluang berjumpa dengan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Tip kepada remaja?

Walaupun telah bekerja, galakkan diri untuk menimba ilmu di peringkat yang lebih tinggi. Walaupun sudah pegang jawatan yang selesa, tetapkan hati untuk belajar lagi.

Jangan memilih kerja bagi mereka yang sudah menamatkan pengajian. Kerja dahulu untuk menimba pengalaman.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: