Peluang untuk menemu bual pelakon kesayangan negara, Datuk Michelle Yeoh tidak datang selalu. Walaupun hanya diberi peluang untuk bercakap menerusi telefon selama 30 minit, ia digunakan sebaiknya oleh media tempatan untuk mengetahui perkembangan terbaru bintang antarabangsa itu.
Ketika ditemu bual pada 3 Disember lalu yang diaturkan oleh National Geographic Channel (NGC), Michelle berada di Hong Kong dan akan berlepas ke Singapura keesokannya untuk melancarkan butik terbaru LV yang turut mendapat sentuhan rekaannya.
Bagi Michelle status sebagai artis merupakan medium terbaik untuk menyalurkan mesej kemanusiaan dan alam sekitar kepada orang ramai. Itu antara sebab mengapa dia dipilih sebagai duta global kempen keselamatan jalan raya.
Pernah terlibat dalam pelbagai dokumentari, Michelle yang juga pencinta haiwan telah menghabiskan masa melebihi tiga minggu di pusat pemulihan Sepilok, Sandakan, Sabah sekitar Jun lalu untuk menjayakan program Among The Great Apes with Michelle Yeoh yang akan disiarkan di saluran NGC (Astro 553) malam ini pukul 9 malam.
Kerap pulang ke Malaysia untuk melawat keluarganya, Michelle, 47, juga akan kembali lagi pada sambutan Tahun Baru Cina nanti. Tidak berfikir mengenai perkahwinan dalam masa terdekat, Michelle yang sudah bertunang dengan Jean Todt berjanji akan memberitahu peminatnya jika dia mahu mendirikan rumah tangga.
Ikuti petikan temu bual Michelle yang ramah melayan wartawan bagi mendalami pengalamannya di Sepilok serta mengetahui projek seni terbarunya.
Ceritakan sedikit mengenai dokumentari anda bersama saluran NGC.
MICHELLE: Penglibatan kali ini datang secara kebetulan dan saya amat bertuah kerana bertemu dengan orang yang mempunyai visi, impian dan minat yang sama seperti Lara dan Harun (pemilik syarikat produksi Novista yang menerbitkan program itu). Saya juga tabik kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan atas kerjasama dengan NGC selain memberi dorongan kepada dokumentari tempatan.
Mereka mendapat idea untuk menggabungkan saya dengan Orang Utan. Ketika itu mereka belum mendapat persetujuan saya lagi. Tindakan itu amat berani. Apa akan terjadi jika Michelle Yeoh menolak idea itu? Tapi saya sendiri amat teruja apabila mereka menawarkan peluang itu kerana sudah lama mahu melakukan aktiviti seperti itu.
Kita sebagai orang Malaysia sebenarnya dirahmati dengan pelbagai jenis haiwan eksotik. Saya juga yakin dengan NGC yang mempunyai banyak pengetahuan terhadap subjek yang ingin dikelola. Saya tidak hanya mahu muncul di awal dan penghujung program. Saya mahu berada di tempat kejadian. Saya mahu menghabiskan masa dengan haiwan dan berada di hutan. Ramai yang terkejut melihat saya bersungguh-sungguh 'mengotorkan diri' di dalam hutan untuk program itu.
Berapa lama anda berada di Sepilok, Sabah?
Kami berada di sana lebih tiga minggu sekitar Jun lalu. Kalau boleh, saya ingin tinggal di sana sekurang-kurangnya untuk dua bulan. Kami diberitahu oleh penduduk tempatan bahawa haiwan-haiwan di dalam hutan amat pemalu.
Ramai orang yang melawat tempat itu tetapi tidak pernah melihat gajah. Saya pula hanya berada di sana selama tiga minggu dan telah melihat hampir semua jenis haiwan. Saya amat bertuah dan gembira walaupun digigit lintah. Menariknya saya juga berpeluang memanjat pokok.
Sepanjang penggambaran, adakah anda melalui sebarang momen yang menyentuh perasaan?
Semasa melihat Dr. Cecelia dan Dr. Sen, mereka kelihatan seperti ibu dan bapa kepada Orang Utan itu yang merupakan anak yatim piatu. Mereka telah cuba sedaya upaya untuk membantu Orang Utan tersebut sebelum mereka dihantar semula ke dalam hutan. Sepanjang penggambaran itu, kami telah membawa dua ekor orang utan ke dalam hutan. Apabila mereka naik ke atas pokok, saya boleh melihat emosi pada muka mereka. Saat itu amat menyentuh perasaan saya. Anda boleh merasakan kebanggaan dalam diri mereka.
Selepas penggambaran, adakah anda akan mengambil mereka sebagai anak angkat?
Kalau boleh, saya mahu mengambil semua menjadi anak angkat saya. Namun, mereka hanya membenarkan dua ekor sahaja. Salah seekor bernama Sen dan seekor lagi baru diberi nama Michelle. Mereka bertanya sama ada mereka boleh menamakan dia Michelle. Saya bersetuju dengan satu syarat iaitu mereka tidak boleh memarahi dia. Anda boleh lihat Sen dalam dokumentari itu nanti. Dia amat nakal dan sebab itu saya memilihnya.
Apakah perasaan apabila anda mendekati Orang Utan?
Apabila anda melihat mata mereka, saya percaya anda akan merasai jiwa mereka. Sebenarnya mereka adalah haiwan yang paling dekat dengan manusia. Jika anda melihat Orang Utan yang tua, perasaannya seperti menyaksikan seorang datuk. Cuma kehidupan mereka lebih rileks berbanding manusia.
Pernah mendekati atau melihat Orang Utan sebelum ini?
Pertama kali adalah di zoo. Semasa kecil, ayah saya menyukai haiwan dan kami sering menonton dokumentari dan filem-filem berkaitan haiwan. Saya sendiri pernah melawat Afrika untuk melihat hidupan liar dan dikelilingi 17 ekor singa ketika berada dalam jip. Ia satu pengalaman menakjubkan untuk melihat dunia mereka.
Kali ini, saya berpeluang mendekati Orang Utan. Kami mahu orang ramai memahami mereka. Ia bukannya mengenai cara memeluk mereka sahaja. Mereka perlu dipelihara dan diajar tetapi mereka bukannya haiwan peliharaan. Saya berharap suatu hari nanti tempat seperti Sepilok akan dihapuskan kerana Orang Utan patut tinggal di hutan. Jika tidak, mereka berdepan dengan bahaya serta penyakit. Saya berharap generasi muda akan cuba melindungi khazanah negara itu.
Adakah anda akan kembali ke Sepilok untuk melawat Sen dan Michelle?
Saya telah berjanji kepada mereka untuk kembali apabila mempunyai masa. Saya akan membawa kawan saya bersama dan ingin bekerjasama dengan bahagian hidupan liar Sabah. Apabila Sen akan dihantar ke dalam hutan nanti, saya juga telah berjanji untuk berada di sana.
Selepas program ini, adakah anda akan terus melibatkan diri dalam program sebegini?
Saya mempunyai visi untuk menjadi Edinburgh versi program haiwan. Ini cuma permulaan sahaja kerana ia memberikan kepuasan berbeza. Ia menyalurkan mesej dan memberikan emosi berlainan. Tidak seperti semasa saya berlakon dalam filem yang hanya akan memegang watak. Saya berharap untuk terus bekerjasama dengan Finas dan mereka dari Sabah dan Sarawak.
Kita bakal menyambut kedatangan tahun 2010. Apakah perancangan anda pada tahun depan?
Sebenarnya sehingga hujung tahun saya sangat sibuk. Selepas Singapura, saya akan kembali ke China untuk berlakon selama dua bulan. Kemudian saya akan menyertai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk melaksanakan tugas sebagai duta antarabangsa keselamatan jalan raya. Sekarang saya sedang berbincang mengenai dua buah filem. Jika berjalan lancar, saya akan sibuk dengan penggambaran.
Ceritakan sedikit mengenai filem baru anda.
Saya sudah bekerja di China, berdekatan dengan Shanghai selama tiga minggu. Ia adalah filem seni mempertahankan diri pertama saya selepas Crouching Tiger Hidden Dragon. Buat masa ini, kami hanya mempunyai judul dalam Bahasa Cina, Jian Yu Jiang Wu. Kami selalu menghadapi masalah untuk menterjemah kepada Bahasa Inggeris. Saya bekerjasama dengan aktor kacak Korea, Jang Woo Sung.
Anda sentiasa kelihatan menarik dan sihat. Apakah rahsia anda?
Tiada rahsia sebenarnya. Semuanya hanya kerja keras. Selalunya saya akan bangun awal sejam untuk bersenam sebelum bekerja. Saya juga makan apa yang saya suka cuma tidak keterlaluan. Saya mempercayai kesederhanaan dalam semua perkara dan kesihatan amat penting.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: