Tuesday, December 29, 2009

Kecoh lagi pasal warga Nigeria


SEBUAH pesawat Northwest Airlines mendarat selepas meminta satu pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Metropolitan, Detroit kelmarin.

ROMULUS, Michigan - Beberapa anggota keselamatan Amerika Syarikat (AS) semalam sekali lagi memasuki sebuah pesawat Northwest Airlines berikutan kekecohan yang ditimbulkan oleh seorang lagi warga Nigeria kelmarin.

Namun pihak berkuasa menyatakan ancaman terbaru itu tidak serius dan ia berlaku akibat salah faham selepas seorang lelaki menghabiskan masa terlalu lama di dalam tandas pesawat.

Perbuatan lelaki Nigeria itu yang merupakan seorang ahli perniagaan berulang alik memasuki tandas dan berada terlalu lama di dalamnya mencetuskan panik di kalangan krew penerbangan.

Semasa insiden tersebut, beberapa krew penerbangan turut menghentak pintu tandas itu selepas lelaki tersebut berada dalam bilik air ketika pesawat hendak mendarat.

Pihak berkuasa memberitahu, anggota-anggotanya bergegas ke lapangan terbang setelah menerima panggilan kecemasan dari krew penerbangan itu yang berlepas dari Amsterdam untuk menuju ke sini.

Sejurus pesawat itu mendarat, polis lapangan terbang dan beberapa pegawai sempadan kemudian memasuki kabin pesawat untuk memindah keluar lelaki itu.

Namun, selepas disoal siasat, penumpang itu sebenarnya sakit menyebabkan dia berulang alik ke tandas.

Pada Jumaat lalu, seorang warga Nigeria, Umar Farouk Abdulmutallab ditangkap selepas dia cuba meletupkan bahan letupan dalam pesawat syarikat yang sama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: