Sunday, December 20, 2009

Tanyalah Datuk - Zizie


Zizie Ezette


TERAKHIR Pancaindera bertemu si putih gebu ini pada 4 Disember lalu ketika berlangsungnya Anugerah Skrin di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Tatkala menyapa wanita bernama Zizie Ezette ini, terukir senyuman manis bagai memberitahu hatinya sedang bahagia.

Ternyata benarlah, kegembiraan di hati selalunya akan terpancar di wajah. Dan itulah yang sedang dilalui oleh pemilik nama sebenar Zizie Izette Abd. Samad ini.

Sepanjang minggu lalu kecoh dan heboh apabila Zizie dikatakan dilamar Ahli Parlimen Kinabatangan, Sabah, Datuk Bung Mokhtar Radin.

Tidak menafikan berkawan dengan seseorang bergelar Datuk, Zizie enggan mengesahkan persoalan sama ada dia sudah menjadi isteri orang ataupun belum.

Bagaimanapun menurut sumber, pasangan itu sudah bernikah pada malam Rabu lalu. Majlis berlangsung di sebuah hotel terkemuka yang dihadiri oleh rakan terdekat kedua-dua belah pihak.

Tapi itu semua desas-desus yang disebarkan tanpa ada kenyataan rasmi. Kita tidak boleh terus untuk mempercayainya. Bagaimana pun kata Zizie, biarlah masa dan keadaan menentukan.

Mengenali Zizie selama ini, dia seorang yang jujur dan berterus terang. Malah dia tidak pernah untuk menyembunyikan perkara yang benar termasuklah kisah cintanya dengan penyanyi Casey suatu ketika dahulu.

Dia juga sebelum ini mengakui sedang berkawan rapat dengan seorang ahli perniagaan tetapi jodoh mereka tidak panjang.

Cuma kali ini Zizie memohon maaf kerana dia tidak dapat untuk berterus terang kisah sebenar yang sedang dilaluinya sehingga membiarkan status dirinya itu menjadi teka-teki.

Bukan untuk mencari sensasi menyembunyikan perkara itu tetapi kali ini Zizie perlu menjaga banyak hati iaitu hati keluarga sebelah sana kerana jodohnya dengan suami orang.

“Saya tak mahu orang kata saya gembira dengan berita ini kerana dalam masa yang sama ada hati yang sedang menangis. Sebab itulah saya tidak boleh buat apa-apa kenyataan,” katanya.

Berita hubungan pelakon pembantu Kekasih Awal Dan Akhir ini menjadi bertambah hangat apabila dia dan ahli parlimen berusia 51 tahun itu dikatakan sudah berkahwin secara rahsia.

Malah krew penerbitan drama Suraya turut tertanya-tanya adakah benar Zizie sudah berumah tangga kerana sejak Rabu dan Khamis lalu, dia memohon untuk bercuti. Penggambaran terpaksa dihentikan atas permintaan Zizie.

Pada petang Khamis lalu Pancaindera berkesempatan bercakap dengan Zizie.

Dengan nada gembira, Zizie meminta satu perkara. Katanya, “Tanyalah Datuk jika mahukan kepastian.”

Ini kerana sebagai seorang perempuan, bairlah dia membuat keputusan untuk tidak membuat ulasan.

Bukannya apa, soal nikah kahwin ini adalah lebih baik pihak lelaki yang membuat pengumuman rasmi. Tidak manis jika si perempuan yang banyak bercakap.

“Tanyalah Datuk. Kita ini perempuan, tak elok kalau terlalu banyak buat kenyataan. Nanti ada hati yang terguris,” ujarnya.

Menganggap masih belum ada masa yang sesuai untuk mengumumkan perkara itu, pinta Zizie kepada semua peminat agar bersabar.

Buat masa ini Zizie dan si Datuk sedang memikirkan masa yang sesuai untuk membuat pengumuman rasmi mengenai status mereka.

“Kami sedang mencari tarikh yang sesuai dan masa yang sesuai sebelum apa-apa pengumuman rasmi dibuat. Dia (Datuk) ada keluarga, ada banyak hati yang perlu dijaga,” tambah Zizie lagi.

Menurut Zizie, kalau ikutkan hati, dia hendak menceritakan semua perkara kerana tidak suka menimbulkan tanda tanya dan membangkitkan spekulasi.

Tapi mulutnya berat untuk menjelaskan perkara itu kerana keadaan yang memaksanya berbuat demikian.

“Saya suka jujur dan berterus terang. Tapi sayangnya saya tak boleh lagi menjelaskan kisah sebenar. Kalau dia tu bujang tak apa,” tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: