Sunday, December 20, 2009

Gema warisan di DFP


AWAL Ashaari dan Deborah Henry bertindak sebagai pengacara.


KULAH penyambung warisan”. Ini bukan sekadar sebaris lirik penuh puitis lagi bermakna lagu Warisan yang pernah dipopularkan Sudirman Haji Arshad. Malah ini adalah gema semangat yang mengangkat martabat lagu-lagu warisan yang kita sanjungi di tempat sewajarnya.

Ya, di dewan berprestij Dewan Filharmonik Petronas (DFP), dengan tiga persembahan pada 11 Disember hingga 13 Disember lalu, gema warisan kita diperdengarkan.

Gema yang membuktikan warisan kita tidak akan pernah lapuk dek hujan dan tidak akan pernah lekang dek panas. Selayaknya irama warisan kita itu ditempatkan di pentas tersebut yang selama ini amat terkenal dengan repertoire persembahan simfoni orkestra muzik klasik dunia.

Mungkin jika kita melihat tempohnya, kita menganggap seharusnya DFP tidak mengambil masa yang sebegitu lama untuk merealisasikan sebuah persembahan seperti Irama Warisan Kita.

Namun biar hanya selepas sedekad penubuhannya, irama kita masih belum terlambat untuk dinikmati di pentas yang begitu sinonim dengan kehadiran golongan elit itu.

Malah konsert Irama Warisan Kita membuktikan gema yang kita warisi selama ini selayaknya berada di pentas itu. Sesungguhnya usaha DFP dengan kerjasama Anugerah Merdeka membawa irama kita di pentas itu wajar dipuji.

Ia sekali gus membuka pintu untuk mengetengahkan kegemilangan irama lagu pusaka yang tidak akan pernah lapuk ditelan zaman.

Malah selayaknya persembahan sebegitu dijadikan satu acara tahunan yang akan dinanti-nantikan oleh khalayak.

Interpretasi

Menyaksikan persembahan Irama Warisan Kita pada malam Jumaat lalu, nyata persembahan simfoni di bawah pimpinan Datuk Johari Salleh mampu amat memberangsangkan dan seharusnya dinikmati dan dihargai oleh generasi hari ini dan akan datang.

Biarpun repertoire lagu-lagu yang dipersembahkan melakar cerita tersendiri, rasanya masih banyak lagi irama warisan yang boleh disenaraikan dan releven dengan objektif persembahan yang dijayakan DFP dengan kerjasama Anugerah Merdeka itu.

Menyenaraikan 12 lagu, kemunculan penyanyi Aishah dan Lah Ahmad menyemarakkan konsert tersebut yang turut julung kalinya menggabungkan persembahan Malaysia Philharmonic Orchestra (MPO) dan Malaysian Philharmonic Youth Orchestra (MPYO).

Lagu-lagu Bahtera Merdeka dan Joget Kenangan Manis dendangan Aishah dan Hijau serta Warisan oleh Lah memberi kesan tersendiri kepada penonton.

Malah lagu lagu gubahan Ramlan Imam, Vivian Chua, Ahmad Muriz Che Rose nyata sebuah interpretasi baru lagi segar buat lagu-lagu warisan kita.

Johari sendiri menggubah lagu pembukaan, Sabah Overture yang menggabungkan lagu-lagu keindahan Kundasang seperti Maggie, Jambatan Tamparuli, Sugali Om Susugali serta melodi popular Gunung Kinabalu karya Johar Bahar.

Juga gubahan lagu-lagu penutup yang penuh dinamik, Gema Nadi Budaya yang menyaksikan gabungan lagu asli Mega Mendung ke rentak inang Pandang Pandang, Jeling Jeling serta joget Joget Hitam Manis memberikan kesan menarik untuk persembahan penutup.

Himpunan lagu-lagu persembahan yang diambil seawal tahun 1930-an, lagu yang dipersembahkan juga membawa pengertian berbeza. Setiap lagu pilihan melakar sejarah dengan tema cinta, kejayaan, harapan, pengorbanan dan penghargaan.

Lalu simfoni lagu-lagu Seri Mersing, Cindai, Tunggu Sekejap, Pahlawanku, Tudung Periuk dan Getaran Jiwa sesungguhnya memberi kesan berbeza kepada setiap penonton yang hadir menyaksikan Irama Warisan Kita.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: