LANGKAWI - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mencatatkan kejayaan terbaru apabila helikopter Super Lynx miliknya menjadi yang pertama di dunia mencapai 1,000 jam penerbangan.
Satu plak untuk mengiktiraf pencapaian itu disampaikan kepada Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar oleh Eksekutif Serantau Agusta Westland, Peter Richings di hadapan helikopter itu dan krew Skuadron 501 ketika persembahan statik Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2009 di sini semalam.
Helikopter Super Lynx itu dikendalikan oleh Skuadron 501 dan ditempatkan di atas kapal KD Lekiu yang berpangkalan di Lumut, Perak dan direka untuk pelbagai peranan dalam operasi maritim.
Pada September 1999, Kementerian Pertahanan mengumumkan pembelian enam helikopter Super Lynx MK 100 daripada Westland Helicopter Ltd. (WHL), United Kingdom bagi menggantikan helikopter WASP HAS MK1 yang telah berusia.
Helikopter itu dipilih kerana ia mempunyai pelbagai fungsi serta tangkas selain berkeupayaan untuk beroperasi dari kapal dalam keadaan laut dan cuaca yang buruk.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: