Monday, December 28, 2009

Serina sudah terima tohmahan




Pelakon Serina Redzuawan, 26, tentunya insan yang amat gembira hari ini kerana sedang membilang hari untuk bergelar raja sehari.

Percintaannya dengan lelaki berasal dari England, Gavin Edward O'luanaigh atau nama Islamnya Salahuddin Ghafar, 33, tentunya amat bermakna kerana ia berkahir di jenjang pelamin.

Bercerita soal cinta, dalam hidup wanita ini, kalau dia menyayangi seseorang akan sepenuh hati seperti yang kita tahu bagaimana hebatnya percintaannya dengan Hani Mohsein dahulu. Tapi sayang, ia tidak kesampaian.

Tidak sabar membilang tarikh 1 Januari yang bakal menjelang kerana Serina dan Salahuddin akan disatukan sebagai suami isteri. Lima majlis meraikan mempelai sudah diatur yang kesemuanya disusun oleh Chef Wan yang mahu melihat anak pertamanya itu bahagia di singgahsana raja sehari.

Pun begitu kata Serina, dia tidak mengharapkan sepenuhnya tajaan daripada bapa sebaliknya sebagai anak, dia juga turut membelanjakan wangnya sendiri untuk majlis itu.

Lima majlis telah disusun bermula 31 Disember ini. Ia dimulakan dengan majlis merisik dan bertunang yang akan berlangsung di hotel Royale Chulan pada sebelah pagi sementara sebelah malam majlis berinai kecil akan dilakukan di hotel J.W Marriott.

Keesokkan harinya bersempena tarikh menarik 1-1-2010, Serina dan Salahuddin akan diijabkabulkan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Majlis akad nikah akan disiarkan secara langsung oleh Wanita Hari Ini, TV3.

Beberapa jam selepas sah sebagai suami isteri, kedua mempelai akan diraikan dalam majlis berinai besar pada sebelah malam.

Tarikh 2 Januari juga bermakna kerana mereka akan disandingkan di atas pelamin nan indah di Hotel Royale Chulan pada sebelah malam dengan anggaran 700 orang tetamu akan menghadirinya.

Dengan hantaran sebanyak RM30,000 dan mas kahwin RM1,000 pihak lelaki akan membawa tujuh dulang hantaran dan dibalas sembilan oleh pihak perempuan.

Ujar Serina walaupun tidak sabar menanti detik terindah dalam hidupnya itu tetapi dia sebenarnya tidak dapat lari dengan pelbagai tekanan.

"Sekarang baru saya tahu bukan mudah nak kahwin. Banyak borang nak kena isi dan banyak pula kerja nak buat. Boleh pening kepala," katanya.

Kalau ikutkan hati kata wanita ini, dia hanya melakukan majlis secara sederhana tetapi memahami ayahnya yang begitu bersungguh-sungguh untuk melihat majlis itu kelihatan menarik, maka dia sebagai anak terpaksa akur.

Malangnya kata Serina, ketika dia hendak mendirikan rumah tangga itu, timbul pula suara-suara yang kurang enak seolah-olah mendoakan keburukannya. Ada yang bercakap kononnya jika artis berkahwin dengan mat salih tidak kekal lama.

Kecewa dengan tuduhan itu, ujar Serina soal hidup, mati atau nikah, cerai seseorang itu adalah ditentukan Allah. Bukan datangnya daripada manusia.

"Orang biasa kalau kahwin dengan bangsa lain pun ada yang bercerai. Bukan soal kita ni artis, kita kahwin untuk diceraikan," katanya.

Bagaimana pun tegas Serina, sebagai seorang muslim yang berkahwin dengan mualaf, dia memikul tugas berat untuk membentuk bakal suaminya itu menjadi muslim sebenar.

Sebagai permulaan Serina tidak mahu mendesak Salahuddin untuk mendalami Islam sebaliknya ia akan dibuat secara berperingkat. Janji Serina dia mahu menjadi isteri contoh dan menanam banyak kesabaran untuk membentuk orang baru dalam agama Islam.

Tidak tahu lokasi berbulan madu, kata Salahuddin yang juga Pengarah Eksekutif Football Focus Sdn. Bhd., dia akan melakukan kejutan selepas mereka berumahtangga di manakah lokasi percutian itu.

Bagi Salahuddin sendiri, dia melihat Serina sebagai orang biasa, tidak seorang artis.

"Saya anggap dia orang biasa saja. Lagipun saya tak pernah tahu dia ni seorang artis," jelasnya.

Bagi peminat pelakon drama bersiri Akademi Polis ini, gambar kemesraan mereka turut dirakamkan sebagai penghias cover Majalah URTV terbaru keluaran Januari 2010.

Selain kisah menarik Serina itu, URTV turut membongkar kisah eksklusif datuk kepada Faizal (AF5) yang berusia 75 tahun bertemu jodoh dengan anak dara. Selain itu Anang turut membuat pengakuannya mengenai Rossa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: