|
|
Pelakon dan pelawak Harun Salim Bachik, 50, dipilih sebagai presiden dalam pemilihan jawatankuasa baru Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) untuk penggal 2009-2011 yang diadakan di Finas, Hulu Kelang pada 18 Disember lalu.
Harun menang tipis sebanyak 78 undi berbanding penyandang jawatan, Datuk Mustapha Maarof yang memperoleh 74 undi.
Kemenangan Harun dilihat sebagai gelombang baru apabila orang muda dipilih mengetuai persatuan itu.
Malah ada yang berkata kemenangan Harun dapat menepis persepsi orang ramai bahawa Seniman adalah persatuan untuk artis-artis veteran sahaja.
Di sebalik kejayaan Harun “menumbangkan” pelakon veteran itu, ada yang mula mempertikaikan kewibawaannya.
Harun dikatakan tidak mempunyai karisma sebagai seorang pemimpin. Beliau juga seperti tiada ketokohan.
Tapi bagi Harun, persepsi buruk yang dilemparkan kepadanya merupakan pembakar semangat untuk dia buktikan bahawa satu perubahan baru akan berlaku selepas dia menjadi pemimpin kepada persatuan berkenaan.
“Soalnya sekarang saya dipilih oleh ahli dalam satu pertandingan yang dibuat secara demokrasi. Sesiapa saja boleh bertanding termasuklah pelawak seperti saya,” ujar Harun sewaktu ditemui di pejabatnya lima hari selepas menyandang jawatan itu.
Apa kata Harun seterusnya? Ikuti penjelasan beliau selepas memegang jawatan di kerusi panas dalam persatuan yang mewakili 2,800 ahli itu.
Tahniah kerana terpilih memegang tampuk Seniman dalam pemilihan yang baru ini.
Terima kasih kepada semua ahli yang memilih saya. Insya-Allah saya akan lakukan tanggungjawab saya seperti yang diamanahkan.
Kemenangan Harun agak tipis iaitu cuma lebih empat undi saja. Ia seperti kurangnya pengaruh Harun. Boleh komen?
Saya mengaku undian itu tipis. Walaupun bezanya kecil tetapi saya layak untuk jadi presiden. Nak ikutkan saya tidak berkempen pun untuk memenangi jawatan ini. Ia pengundian biasa. Kalau nak bandingkan saya dan Datuk (Mustapha Maarof) undi dia pun kurang. Pemilihan lepas Datuk dapat 109 undi. Kali ini 74 orang saja memilihnya. Itu perkara biasalah bila kita bertanding.
Kenapa tidak berkempen?
Saya tak nak jika saya terlalu banyak berkempen, nanti akan timbul persepsi negatif orang. Atau nampak macam saya ni biadab sangat. Sebab itu saya ambil keputusan bertanding secara senyap macam ni.
Adakah Harun pernah mengimpikan jawatan presiden sebelum ini?
Dulu-dulu tu saya pernah terfikir kalau saya jadi presiden, apakah yang akan saya buat? Tapi saya tak pernah rasa yang saya akan pegang jawatan itu. Cuma selepas saya menjadi AJK (Ahli Jawatankuasa) dalam Seniman, barulah timbul perasaan nak bertanding. Tak sangka saya menang. Alhamdulillah.
Apa perkara pertama yang difikirkan selepas memegang jawatan ini?
Perkara pertama yang saya hendak lakukan ialah menghapuskan jurang di antara golongan veteran dan artis muda. Selama ini orang selalu ingat Seniman hanya untuk artis-artis yang berusia. Tidak... Seniman adalah untuk semua. Kadang-kadang artis-artis muda merasakan mereka tersisih dalam persatuan. Maka timbullah perasaan tak mahu sertai aktiviti Seniman. Saya nak buang tanggapan itu.
Setakat ini sudah nampak hasil ke belum?
Selepas saya menang, ramai artis yang telefon saya untuk jadi ahli. Malah mereka juga beri macam-macam pandangan. Ini satu respons yang baik dan ia satu perkembangan yang membanggakan saya. Artis lain yang dah senior pun nak sertai juga.
Selama dalam Seniman apa kelemahan yang Harun nampak?
Saya lihat selama ini perjuangan untuk menuntut hak Seniman kurang dititikberatkan. Sekarang ni ramai artis mengadu tak puas hati dengan syarikat-syarikat produksi. Mereka tanya apa Seniman boleh bantu? Ya... kami akan cuba selesaikan apa masalah yang ada. Saya juga akan perjuangkan tujuh manifesto kepimpinan baru ini terutamanya untuk menubuhkan Koperasi Seniman Sdn. Bhd.
Pemimpin-pemimpin dahulu semuanya hebat berbanding presiden kali ini. Apa komen?
Dulu kita pilih pemimpin kerana karismanya dan penonjolan diri pemimpin itu. Tapi corak keinginan ahli hari ini sudah berubah. Inilah dinamakan perubahan. Pokoknya sekarang kerja yang hendak kita lakukan dan bukannya apa-apa gelaran atau perkara lain yang ada pada diri kita.
Ada orang kata Harun tak ada karisma. Berlakon pun tak banyak mana dah nak jadi presiden!
Saya sedar, pemimpin kena ada ketokohan tetapi tak salah kalau saya nak jadi presiden. Sesiapa saja layak bertanding jawatan ini. Negara kita adalah demokrasi. Adakah kita kena berlakon 100 filem dulu baru boleh jadi pemimpin? Saya dalam industri ni pun sudah 23 tahun. Umur pun dah 50 tahun. Saya adalah golongan pertengahan. Saya rasa saya layak untuk memegang jawatan ini.
Ada persepsi negatif terhadap Harun apabila memegang tampuk ini. Sedar atau tidak?
Saya sedar. Lepas menang terus bunyi suara-suara yang kata ini persatuan pelawak kah? Hai... tak layak ke pelawak nak jadi presiden? Kalau begitu orang macam Yahya Sulung, Saiful Apek, A.R Badul tak layaklah pegang jawatan? Soalnya sekarang kita ni orang yang pilih.
Semasa anda diumumkan sebagai pemenang, ada puak-puak yang tewas keluar dewan seolah-olah kecewa dengan kekalahan itu. Apa persepsi anda?
Macam ni. Dalam satu rumah tu ada anak, ada abang, ada adik. Apa perasaan tiba-tiba emak, ayah keluar rumah tinggal anak-anak? Bagaimana kalau abang tinggalkan adik? Itu yang saya rasa ketika itu. Saya tanya, mana pergi mak, mana pergi abang? Masa tu saya rasa sedih juga tapi tak apalah... adat bertanding.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: