Saturday, December 5, 2009

Sekadar hiburan sahaja


PEMINAT setia High School Musical pastinya tidak mahu melepaskan peluang menonton persembahan ini.


TIDAK dinafikan kehebatan dan populariti filem High School Musical (HSM) melangkaui segala-galanya. Muzik, gerak tari dan pengucapan dialog dalam tiga siri filem itu meninggalkan impak yang besar khususnya dari kalangan peminat cilik.

Bukan sahaja kanak-kanak, tetapi ibu bapa dan golongan dewasa juga terkena tempias fenomena HSM yang sememangnya di luar dugaan itu.

Justeru, apabila Disney's High School Musical Summer Celebration dibawa masuk ke negara ini untuk dipentaskan selama enam hari berturut-turut, ramai yang mahu mengambil peluang untuk menontonnya.

Bertepatan pula dengan musim cuti sekolah, pementasan ini mudah menarik perhatian peminat setia HSM untuk menontonnya.

Mula dipentaskan bermula 1 Disember lalu dan berakhir esok (6 Disember), pementasan ini sememangnya berbeza dengan apa yang pernah dibawakan oleh Feld Entertainment selaku penerbit serta ZI Productions.

Pementasan ini merupakan gabungan tiga filem HSM yang disatukan menjadi sebuah pementasan yang hanya memakan masa selama satu setengah jam.

Kekuatan HSM terletak pada rangkaian lagu-lagu yang mudah menangkap telinga selain koreografinya.

Dua faktor itu merupakan tunjang utama dalam pementasan Disney's High School Musical Summer Celebration dengan kekuatannya pada lagu-lagu yang ditampilkan.

Berpeluang menonton persembahan ini pada hari pembukaannya pada 1 Disember lalu, tidak dinafikan produksi ini secara keseluruhannya memang menghiburkan.

Cuma jika ada yang menonton persembahan ini pada hari terakhir esok, jangan menganggap pementasan ini merupakan sebuah produksi teater muzikal seperti lazimnya.

Hakikatnya persembahan ini tidak ubah seperti memutarkan lagu-lagunya di radio lalu dinyanyikan bersama.

Sepanjang pementasan ini, para pemainnya hanya menggerakkan bibir (miming) mengikut lagu-lagu yang ditampilkan.

Menyedari penonton sasarannya adalah kanak-kanak yang mahu berhibur, maka kesalahan itu barangkali boleh dimaafkan kerana melihat kanak-kanak menyanyi dan bersorak, sudah cukup membuktikannya.

Mungkin bagi mereka yang tidak pernah mengikuti perkembangan HSM akan berasa ketinggalan terutama apabila watak Kelsi (lakonan Ashton Renee Frederick) bercerita mengenai adegan-adegan filem HSM.

Menampilkan lebih daripada 15 buah lagu yang pernah ditampilkan dalam tiga buah filem HSM sebelum ini, kanak-kanak yang hadir kelihatan sungguh teruja saat tirai dibuka dengan kemunculan Kelsi.

Apa yang membuatkan pementasan ini berbeza dengan muzikal lain ialah ia tidak hanya memaparkan tarian dan lagunya di pentas.

Sebaliknya, produksi ini juga menekankan aspek komunikasi dengan penonton menerusi soalan-soalan trivia tentang HSM yang majoritinya dijawab tepat oleh kanak-kanak yang hadir.

Tidak cukup dengan itu, audiens cilik yang hadir juga diberi peluang menari dengan tonggak utama yang memegang watak Troy Bolton iaitu Joel Santiago dalam satu babak tarian.

Sememangnya ia menjadi satu pengalaman indah buat peminat HSM di Malaysia apabila diberi peluang berbuat demikian untuk mendekatkan diri mereka dengan HSM yang sudah sebati dalam jiwa masing-masing.

Biarpun hanya sekadar menggerakkan bibir menerusi lagu-lagu yang diputarkan, tetapi pujian juga harus diberikan kepada para pemainnya yang dilihat membawakan watak mengikut keupayaan masing-masing.

Memanglah mereka tidak sehebat untuk dibandingkan dengan pelakon asal tetapi pengalaman mereka sebagai penghibur di Walt Disney World membuktikan bahawa mereka mampu menjadi pelakon yang baik jika terus diberi peluang.

Mereka cukup lincah dan energetik di atas pentas dan kerana itu, merit harus diberikan kepada mereka kerana kesungguhan mereka itu.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga berupaya mengekalkan stamina masing-masing sehingga pementasan berakhir.

Secara keseluruhannya, walaupun produksi ini hanya berada pada tahap sederhana, tetapi pementasan ini berjaya mencapai matlamatnya yang mahu penonton terhibur dan tersenyum dengan lagu-lagu yang ditampilkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: