Saturday, December 5, 2009

Jelajah 4WD Telemong


ANTARA laluan meredah sungai yang akan ditempuh peserta dalam ekspedisi ini.


MENJADIKAN sukan pacuan empat roda (4WD) sebagai salah satu cara untuk mendekatkan orang ramai dengan keindahan dan khazanah hutan hijau tropika yang unik di negara ini, Red Adventure bakal membawa anda meneroka keunikan Hutan Simpan Telemong di Karak, Pahang pada 18 hingga 20 Disember ini. Turut menjayakan ekspedisi itu adalah ahli Redah 4x4 Club.

Menurut kenyataan Red Adventure, antara lain ekspedisi 4WD itu diadakan untuk memberi peluang kepada orang ramai berehat sambil menenangkan fikiran setelah penat bekerja sepanjang tahun dengan menikmati kedinginan air terjun di tepi tapak perkhemahan Telemong.

Justeru tarikh 18 hingga 20 Disember ini dipilih sebagai tarikh ekspedisi memandangkan terdapat cuti umum Awal Muharam pada 18 Disember.

"Cuti umum ini bersambung pula dengan cuti hujung minggu. Ia sekali gus membolehkan lebih ramai orang dapat menyertai ekspedisi ini tanpa perlu mengambil cuti tahun,'' ujar kenyataan itu dalam e-mel kepada Kosmo! di Kuala Lumpur.

Apa yang lebih menarik tentang ekspedisi itu adalah ia juga memberi peluang kepada orang ramai merasai sendiri cabaran menaiki 4WD di laluan off-road pada waktu malam.

Ini kerana perjalanan pergi akan bermula pada pukul 8 malam, 18 Disember 2009 dari pejabat Red Adventure di Taman Ukay Perdana, Ampang, Kuala Lumpur.

"Pihak penganjur sengaja memilih waktu malam untuk bergerak masuk ke dalam hutan kerana mahu memberi peluang kepada orang ramai merasai sendiri cabaran 4WD pada waktu malam.

"Untuk perjalanan balik pula, pihak kami akan mula meninggalkan tapak perkhemahan pada pukul 3 petang dan ini sekali gus akan memberi peluang kepada peserta menikmati keindahan dan kehijauan hutan semula jadi di kiri dan kanan laluan yang ditempuh," ujar kenyataan itu.

Selain itu, mereka yang menggemari aktiviti memandu lasak 4WD juga berpeluang mempelajari teknik dan selok-belok jentera empat roda itu di dalam ekspedisi tersebut.

"Aktiviti anjuran kami bukan sahaja memberi peluang kepada orang ramai bersantai di tepi aliran air terjun yang jernih, malah para peserta berpeluang mempelajari selok-belok memandu lasak di laluan off-road menerusi Klinik Asas 4x4 yang turut diselitkan di dalam program," kata kenyataan itu lagi.

Selaku penggerak aktiviti 4WD yang aktif, Red Adventure telah menyusun jadual aktiviti untuk sepanjang tahun 2010. Selepas menjelajah Hutan Simpan Telemong, Karak, Pahang, Red Adventure akan membawa orang ramai menjelajah ke Lubuk Kawah di Tanjung Malim, Perak pada 15 hingga 17 Januari 2010.

Yuran bagi menyertai 4WD Telemong adalah RM330 seorang meliputi kenderaan 4WD, khemah, makan dan minum, baju-T, sukan, insurans dan klinik asas 4WD.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: