Saturday, December 5, 2009

Alasan Quentin Tarantino


QUENTIN TARANTINO


PERKHABARAN mengenai pembikinan filem The Green Lantern sudah lama dicanangkan terutama sekali dari pemilihan aktor yang layak untuk membawa watak adi hero itu.

Sebelum ini ada beberapa nama yang dilihat bersaing hebat dalam membawakan watak yang diadaptasi daripada komik keluaran DC Comics itu.

Antara nama yang disebut-sebut adalah Justin Timberlaku dan Bradley Cooper tetapi akhirnya, watak itu menjadi milik Ryan Reynolds.

Begitu juga dengan senarai calon sutradara yang akan menerajui filem berkenaan yang kini menjadi milik Martin Campbell.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa pengarah pertama yang dipilih untuk mengarahkan filem ini adalah Quentin Tarantino.

Dia telah ditawarkan untuk mengarahkan filem berkenaan dan ini disahkan sendiri oleh pengarah filem Pulp Fiction itu.

Tetapi, malangnya, Quentin menolak tawaran tersebut atas alasan filem yang diadaptasi daripada komik tidak sesuai dengan usianya yang mencecah 36 tahun.

"Kalau dulu jika filem ini diterbitkan ketika saya berusia 20-an, saya pasti akan mengarahkan filem komik tetapi kini, saya fikir ia tidak lagi sesuai dengan saya.

"Dengan usia saya sekarang, saya perlu menghasilkan karya yang seiring dengan usia dan pemikiran saya. Tetapi, ini tidak bermakna saya tidak sukakan filem komik.

"Kalau diberi peluang untuk mengarahkan filem adi hero, saya akan melakukannya dengan daya imaginasi saya sendiri dengan menghasilkan watak serta jalan cerita saya sendiri," katanya yang pernah memenangi Oscar pada tahun 1995 bagi kategori Lakon Layar Asal Terbaik menerusi filem Pulp Fiction.

The Green Lantern akan menjalani penggambaran tahun depan untuk tayangan pada 17 Jun 2011.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: