BANDARAYA MELAKA – Sebanyak 42 keluarga setinggan di Kampung Bunga Raya Pantai dekat sini diberi masa sehingga 1 April tahun depan untuk berpindah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, semua rumah terbabit perlu dikosongkan sebelum diroboh bagi memberi laluan kepada projek pembangunan yang sedang dan bakal dilaksanakan di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, secara keseluruhan, Kerajaan Negeri membayar pampasan berjumlah RM1.4 juta kepada penduduk setinggan serta dua tokong Cina di Kampung Bunga Raya Pantai.
“Pada hari ini (semalam), dua keluarga serta jawatankuasa dua tokong Cina berkenaan menerima cek pampasan.
“Manakala baki 40 keluarga boleh mengambil cek pampasan masing-masing di Pejabat Daerah Melaka Tengah di Wisma Negeri, Ayer Keroh pada 4 Disember ini, mulai jam 9 pagi,” katanya pada majlis perjumpaan bersama penduduk di pekarangan Tokong Hai Long, Kampung Bunga Raya Pantai dekat sini, semalam.
Kata Mohd Ali, penduduk boleh menggunakan wang pampasan masing-masing untuk membeli atau menyewa rumah baru.
Beliau berkata, dua rumah serta dua tokong yang menerima cek pampasan semalam perlu dikosongkan dalam masa terdekat.
“Empat premis terbabit terletak terlalu hampir dengan tiang monorel yang sedang dalam pembinaan.
“Selain laluan monorel, di kawasan perkampungan berkenaan akan dibina hotel, pusat komersial dan kemudahan pelancongan,” katanya.
Kerajaan Negeri turut memberi kebenaran pembinaan Tokong Hai Long yang baru di kawasan itu.
Di samping itu, kata beliau, peniaga di kawasan berkenaan turut diberi keutamaan untuk membeli rumah kedai di pusat komersial yang bakal dibina kelak.
Sementara itu, Penasihat Tokong Hai Long, Wong Soo Tang, berkata, pihaknya akur dengan arahan Kerajaan Negeri dan gembira dengan pampasan sebanyak RM96,000 diterima.
“Wang pampasan itu akan digunakan untuk membangunkan Tokong Hai Long baru bagi menggantikan tokong lama yang dibina 100 tahun lalu,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: