![]() |
| BAKAT besar yang dimiliki Aizat dan Faizal Tahir sememangnya mendapat kepercayaan penuh oleh Siti Nurhaliza untuk menggabungkan mereka dalam sebuah konsert. |
TARIKH 1 April 2010 menandakan genap 15 tahun Datuk Siti Nurhaliza berjuang di medan seni.
Sepanjang tempoh itu juga, sudah terlalu banyak kejayaan yang dikecapi oleh anak seni kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang ini.
Tidak hanya kejayaan, tetapi cabaran dan rintangan penuh berliku juga banyak ditempuhi Siti sebelum dia mampu meletakkan dirinya di puncak tertinggi seperti mana hari ini.
Biarpun sudah memegang status sebagai seorang isteri, harus diakui aura dan pesona anak Siti masih belum menampakkan sebarang tanda akan pudar.
Malah, nama Siti semakin hari semakin harum mewangi bagai kembang bunga di taman puspasari.
Bagi meraikan ulang tahun ke-15 pembabitannya dalam bidang seni, sudah banyak perancangan yang sudah diatur oleh Siti menerusi syarikatnya, Siti Nurhaliza Productions (SNP).
Mungkin ramai yang sudah mengetahui Siti bakal terlibat dalam konsert besar sepanjang tahun 2010 dan untuk permulaan, dia akan berkongsi pentas dengan sifu M. Nasir menerusi Konsert Bagaikan Sakti di Esplanade Theater, Singapura pada 1 Januari 2010.
Selepas itu, Siti akan sibuk dengan konsert bersama penyanyi wanita unggul Indonesia, Krisdayanti bagi meraikan kelahiran album duet pertama mereka yang akan dipasarkan tidak berapa lama lagi.
Cuma, yang tinggal tanda tanya sekarang ini adalah konsert ulang tahun ke-15 yang sehingga kini masih belum menampakkan bayangnya biarpun sebelum ini Siti dikatakan akan mengadakan konsert berkenaan di Istana Budaya (IB).
Namun, sewaktu melihat senarai program IB sepanjang 2010, tidak pula tersenarai konsert Siti itu seperti mana yang disebut-sebut sebelum ini.
Menjawab persoalan itu, Siti menjelaskan buat masa ini dia masih merancang untuk mencari lokasi dan tarikh yang sesuai bagi meraikan ulang tahunnya itu.
"Insya-Allah, konsert itu akan tetap diadakan tahun ini juga. Kalau tidak pada tarikh 1 April, mungkin ia akan diadakan pada tarikh lain.
"Kerana seperti mana yang kita tahu, memang bukan mudah untuk mengadakan sebuah konsert apatah lagi konsert ulang tahun seperti ini.
"Sudah pasti saya mahu konsert ini kelak akan meninggalkan momen indah buat peminat saya yang tidak pernah jemu dan putus-putus menyokong saya sejak 15 tahun lalu," kata pelantun lagu Bila Harus Memilih dan Tahajjud Cinta ini penuh merendah diri sewaktu ditemui di IB baru-baru ini.
Tambah Siti lagi, selain konsert untuk meraikan ulang tahun sebagai anak seni, dia juga akan muncul dengan sebuah buku autobiografi yang kini dalam pembikinan.
Ujarnya, buku yang diusahakan oleh kakak ipar merangkap pengurus peribadinya, Rozi Abdul Razak itu akan dilancarkan serentak dengan konsertnya nanti.
Namun apa yang lebih mengujakan Siti apabila SNP buat pertama kalinya akan menerbitkan sebuah konsert untuk artis lain.
Dan, konsert tersebut bukan calang-calang kerana ia bakal menyaksikan dua penyanyi generasi baru berbakat besar yang cukup dikagumi Siti.
Mereka yang dimaksudkan ialah Aizat dan Faizal Tahir yang akan beraksi dalam Konsert Satu Suara dan apa yang menariknya, konsert itu kelak akan diiringi oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK).
Saat diajak berbicara tentang Konsert Satu Suara yang akan dipersembahkan di Panggung Sari, IB bermula 12 hingga 14 Februari depan, Siti tidak menafikan bahawa ia merupakan satu cabaran baru untuknya.
Masakan tidak, jika sebelum ini dia hanya menjadi penerbit untuk konsertnya sahaja, tetapi kali ini dia perlu menggalas tanggungjawab sebagai penerbit untuk konsert artis lain pula.
"Saya perlu memastikan semuanya berjalan dengan lancar dan dengan penerbitan konsert ini, barulah saya memahami tugas serta tanggungjawab sebagai seorang penerbit.
"Mujurlah saya memiliki dan berjaya mendapatkan mereka yang mahir serta cekap dalam penerbitan konsert bagi membantu melancarkan lagi konsert ini," katanya yang optimis sambutan yang akan diberikan untuk Konsert Satu Suara nanti.
Tentang idea untuk konsert ini, jelas penyandang Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) sebanyak 10 kali ini, semuanya datang daripada Rozi yang mahu memberikan kelainan kepada khalayak.
Setelah berbincang, nama Aizat dan Faizal menjadi pilihan berdasarkan kepada pencapaian cemerlang mereka dalam bidang seni biarpun baru setahun jagung.
Konsert Satu Suara akan menyaksikan gabungan orkestra dan pemuzik berkumpulan beradu tenaga menghasilkan muzik yang segar seiring dengan muzik yang dibawakan Aizat dan Faizal.
Bagi menampilkan kelainan juga, konsert ini juga akan menggunakan khidmat Genervie Kam selaku penggubah muzik manakala Sze Wan sebagai pengarah muzik.
Tidak cukup dengan itu, konsert ini juga menggunakan khidmat Jennifer Thompson yang cukup sinonim dengan penganjuran majlis AIM sebagai pengarah konsert.
Melihatkan senarai mereka yang terlibat untuk konsert ini, sememangnya dapat dirumuskan Siti dan SNP melaburkan perbelanjaan yang cukup tinggi bagi memastikan konsert ini mencapai matlamatnya.
Enggan berbicara soal kos, apa yang penting bagi Siti untuk konsert ini adalah untuk memberi peluang dan platform kepada penyanyi berbakat besar seperti Aizat dan Faizal untuk membuktikan kehebatan mereka di pentas yang lebih besar.
Yakin
"Konsert ini adalah sebagai lambang manifestasi kepada kejayaan Aizat dan Faizal sebagai artis baru yang cukup berjaya dalam genre muzik pop dan rock yang mereka bawakan.
"Saya sedar bukan mudah untuk artis baru masa kini untuk mendapat peluang mengadakan konsert besar seperti ini dan pelaburan yang saya lakukan ini bagi saya cukup berbaloi.
"Saya memang yakin dengan bakat yang dimiliki oleh Aizat dan Faizal kerana mereka sudah membuktikan bahawa mereka bukan sekadar penyanyi tetapi juga komposer yang mampu pergi jauh dalam bidang seni," ujar isteri kepada usahawan ternama, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ini penuh bersungguh.
Buat masa ini, kata Siti, Aizat dan Faizal sudah pun membentangkan idea dan konsep persembahan masing-masing untuk konsert yang memakan masa hampir dua jam itu.
Bukan itu sahaja, Siti juga memberi sepenuh kebebasan kepada dua penyanyi itu dalam mencorakkan persembahan mereka.
Diusik adakah Siti sendiri akan membuat kemunculan istimewa dengan membuat persembahan bersama-sama dua pemenang Vokal Lelaki Terbaik AIM itu, wanita berusia 30 tahun ini hanya mengukir sekuntum senyum manis.
"Tengoklah macam mana nanti. Belum difikirkan pun tentang soal itu. Kalau nak tahu, kenalah datang konsert itu nanti," katanya ringkas sambil ketawa kecil.
Tidak mustahil selepas ini kata Siti, dia akan menerbitkan konsert untuk artis senior pula dan semuanya itu bergantung kepada sambutan yang diberikan untuk Konsert Satu Suara.
Sementara itu, bagi Aizat pula, dia bersyukur apabila berpeluang beraksi untuk konsert sebesar ini lebih-lebih lagi di pentas bertaraf dunia.
Untuk konsert itu nanti, dia akan membuat persembahan solo selama 35 minit dengan mendendangkan lagu-lagu popularnya selain lagu dari penyanyi yang menjadi idolanya.
Penyanyi lagu Hanya Kau Yang Mampu dan Lagu Kita itu juga akan berduet dengan Faizal dalam satu segmen khas.
"Buat masa ini, saya akan menumpukan konsentrasi untuk Anugerah Juara Lagu sebelum sibuk dengan latihan untuk konsert ini.
"Saya rasa terharu dan bangga kerana menjadi pilihan Siti yang juga idola saya untuk menerajui konsert ini bersama Faizal.
"Sudah pasti saya akan memberikan persembahan yang terbaik agar ia setimpal dengan kepercayaan dan peluang yang diberikan ini," katanya penuh bersungguh.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: