Wednesday, December 16, 2009

Saya harus kahwin lagi - Pasha


TAN Su Loke (tiga dari kiri) melancarkan album Penguasa Hati, album kelima Ungu yang mula dipasarkan di Malaysia sejak Jun lalu.


MPAK perceraian yang saya alami cukup besar. Sebetulnya memang saya tidak mahu bercerai tetapi ini sudah ketentuan-Nya. "Saya tidak mahu menuduh apa-apa (punca perceraian). Hidup harus diteruskan. Justeru, saya harus memikirkan untuk berkahwin lagi.'' Begitu kenyataan vokalis band Ungu, Pasha atau nama sebenarnya Sigit Purnomo, 30, berhubung kehidupannya ketika ini selepas hampir setahun bercerai dengan isterinya, Okie Agustina. Kata Pasha, masa untuknya berlagu duka atas kegagalan rumah tangga yang dibina sejak 2003 sudah berakhir.

Atas dasar itu, jelasnya, dia sudah bersedia untuk mencari kehidupan baru bersama insan yang bakal menjadi suri hidupnya. "Dahulu (selepas bercerai), lebih kurang sebulan lamanya saya mengalami rasa duka. "Kini, semuanya sudah okey. Walaupun pernah berhadapan dengan kegagalan hidup berumah tangga, tidak sukar bagi saya untuk berkahwin lagi. "Namun, semuanya terserah kepada Allah menentukannya,'' kata Pasha ketika ditemui pada majlis pelancaran album terbaru Ungu berjudul Penguasa Hati di ibu negara, baru-baru ini. Hadir sama, Pengarah Urusan Suria Records Sdn. Bhd. (SRC), Tan Su Loke. Penguasa Hati merupakan album kelima Ungu dan telah memasuki pasaran Malaysia sejak 1 Jun lepas di bawah edaran SRC. Penguasa Hati memuatkan 12 buah lagi iaitu Akulah Cintamu, Dilema Cinta, Hampa Hatiku, Ku Ingin Selamanya, Beri Aku Waktu, Kau Tahu, Indonesiaku, Yang Pertama, Luka Di Sini, Terang Dalam Gelapku, Badai Kini Berlalu dan Penguasa Hatiku. Selain Pasha, Ungu turut dianggotai Enda, Oncy, Makki dan Rowman.

Mengulas lanjut, Pasha yang baru sahaja memasuki usia 30 tahun pada 27 November lalu berkata, di akhir tahun 2009 yang bakal menjengah ke 2010, dia tidak mahu diselimuti perasaan sedih lagi. Ujarnya, gosip mengenai dirinya yang dikaitkan dengan beberapa selebriti di Indonesia juga sudah semakin berkurangan pada saat ini. Ditanya apakah dirinya sudah punyai teman wanita untuk diperisterikan, Pasha sambil tersenyum manis berkata : "Saya belum ada pacar (teman wanita.''Tidak masuk campur hal Okie

Sementara itu, Pasha yang diajukan persoalan mengenai Okie yang tidak terlepas daripada dikaitkan dengan lelaki lain memberitahu bahawa dirinya tidak mahu masuk campur urusan bekas isterinya. "Ya saya ada dengar macam-macam mengenainya. Itu saya tidak masuk campur,'' tegas Pasha. Tentang penjagaan anak-anak selepas bercerai pula, jelasnya, semua diserahkan kepada Okie untuk menjaganya. Ujar Pasha, dia mempercayai kemampuan Okie untuk menjaga dan mengasuh anak-anaknya.

"Saya juga tidak dihalang untuk bertemu dengan mereka. Anak pertama saya sudah memahami maksud perceraian antara kami,'' katanya.Saya tidak pukul Okie - Pasha

Mengenai pendakwaan mahkamah yang dihadapinya di Indonesia sehingga dikenakan tahanan kota dan tidak boleh meninggalkan kota Bogor kerana melakukan tindakan kekerasan terhadap Okie, Pasha dengan wajah sayu menyangkal segala dakwaan berkenaan. "Realitinya memang saya tidak memukul dia. Apa yang didakwanya cukup melukakan saya,'' jelasnya. Pasha dikenakan tahanan kota dan tidak dibenarkan meninggalkan kota Bogor bermula 25 November lalu. Bagaimanapun, pada minggu lalu, Pasha dibenarkan oleh Mahkamah Negeri Kota Bogor untuk mengenepikan larangan tersebut.Cerita mengenai Penguasa Hati

Dalam pada itu, selesai berbicara soal peribadi, Pasha yang diajak menceritakan mengenai Penguasa Hati berkata, album tersebut mendapat sambutan menggalakkan tatkala dipasarkan di Indonesia Mei lalu. Menurutnya, Penguasa Hati telah dianugerahkan platinum berkembar dengan jualan melebihi 300,000 unit sebaik dua minggu dipasarkan. "Sambutan yang diterima Penguasa Hati jauh lebih baik berbanding album sebelumnya. "Lagu berjudul Hampa Hatiku yang menggabungkan rap dan dangdut banyak menyumbang kepada kekuatan jualan Penguasa Hati. "Kami turut berharap agar album ini juga akan dapat menerima sambutan menggalakkan di Malaysia,'' jelas Pasha penuh mengharap. Kata Pasha, melihat kepada kekuatan yang dimiliki Penguasa Hati, Ungu bakal menerbitkan sebuah biografi yang menceritakan mengenai perihal peribadi serta perjalanan karier Ungu. "Ia lebih kepada kisah hidup kami bersama Ungu. Biografi itu akan diletakkan judul yang sama dengan album iaitu Penguasa Hati,'' tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: