![]() |
| PANEL juri Twisties Bingit (dari kiri) Hattan, Ahmad Izham Omar, Edris Adrian dan Edrie Hashim. |
EMPAT juri pertandingan akhir Twisties Bingit iaitu Ahmad Izham Omar, Edris Adrian, Hattan dan Edrie Hashim merupakan mereka yang bertanggungjawab mengangkat kumpulan Avidity muncul sebagai juara musim kedua pertandingan kugiran itu baru-baru ini.
Ini kerana, undian dan pemilihan yang ditentukan 100 peratus oleh empat panel juri terbabit melayakkan Avidity merangkul hadiah wang tunai RM20,000 dan kontrak rakaman album berjumlah RM60,000 bersama syarikat rakaman Monkey Bone.
Avidity yang dianggotai oleh empat anggota dan ditubuhkan di Kuala Lumpur itu merupakan kumpulan yang mengetengahkan muzik 'rock kapak' iaitu istilah yang cukup popular untuk aliran muzik rock era tahun 1980-an dengan mengalahkan tiga lagi finalis lain.
Pemilihan Avidity sebagai juara Twisties Bingit musim kedua seakan-akan menggambarkan kecenderungan muzik panel juri terbabit dan ia secara tidak langsung turut memusnahkan impian tiga lagi kumpulan yang bersaing pada pertandingan akhir tersebut.
Konsep muzik tiga finalis itu iaitu Floor 88, Rocket Planet dan The Musicians memang tidak sealiran dengan Avidity, namun mereka telah memperdengarkan gaya muzik lebih segar dan penampilan imej terkini yang sepatutnya dikembangkan dalam persada seni tempatan.
Sambil menafikan panel juri tidak berat sebelah dalam memilih pemenang Twisties Bingit, Ahmad Izham Omar yang juga Ketua Pegawai Eksekutif stesen 8TV turut menolak dakwaan pemilihan Avidity sebagai juara kerana beliau dan tiga lagi juri pertandingan tersebut merupakan antara peminat muzik rock kapak.
"Kami tidak bias (berat sebelah) dalam memilih juara atau pemenang dalam pertandingan ini. Sebagai juri, saya cuba meletakkan diri saya sebagai penonton yang datang membeli tiket untuk menyaksikan sesebuah konsert. Sudah tentu saya mahu menyaksikan persembahan yang menghiburkan," komennya kepada Hits.
Beliau yakin konsep muzik 'rock kapak' yang ditonjolkan oleh Avidity daripada segi gaya muzik dan penampilan imej mereka masih relevan untuk diketengahkan dalam industri muzik tanah air.
Sungguhpun begitu, pada masa sama Ahmad Izham juga menyedari senario itu dan berharap Avidity tidak statik kepada muzik 'rock kapak' semata-mata, sebaliknya mereka akan terus mengembangkan lagi gaya muzik kumpulan itu dengan elemen-elemen muzik lain.
"Kami akan cuba merelevankan muzik Avidity dengan unsur-unsur muzik yang lain. Penerbit album mereka kelak akan melakukan sesuatu terhadap muzik yang akan dibawakan oleh kumpulan ini. Kelainan daripada segi muzik akan tetap ada dan harus ada yang baru," katanya selepas pertandingan itu.
Pada pertandingan akhir itu, Avidity yang dianggotai oleh Mohd. Yusof Ahmad, 26, selaku vokalis, Fazreen Rezza Romli, 22, (gitaris), Mohd. Zul Azri Ismail, 19, (bassis) dan Valentine Arthur Dangin, 23, (dram) menyampaikan tiga buah lagu berjudul Hukum Karma (Wings), Mentari Merah Di Ufuk Timur (Search) dan Kasihnya Laila (Jinbara).
Selain Avidity, persembahan tiga lagi finalis Twisties Bingit tidak mengecewakan terutamanya Floor 88 yang menampilkan gaya suara vokalisnya, Muhammad Ar. Rashidin Tuah, 18, yang bukan sahaja tersendiri tetapi dengan seleksi lagu-lagu yang lebih segar dan terkini.
Floor 88 yang lebih cenderung kepada muzik alternatif punk rock pada petang itu menyampaikan tiga buah lagu berjudul Basket Case yang dipopularkan oleh kumpulan Green Day, Check Yes Juliet (We The Kings) dan Bencinta (Faizal Tahir) memang mempunyai 'faktor x' tetapi mereka mungkin terlepas pandang oleh panel juri.
Para juri mungkin terlupa bahawa untuk mencari suara vokalis yang unik dan lain daripada lain bukannya mudah berbanding mencari gitaris berambut panjang dan pelbagai fesyen rock tahun 1980-an yang seakan-akan tepu untuk dikitar semula dalam era zaman masakini yang sentiasa berubah-ubah.
Dihentam teruk
Sebagai penyanyi baru, apatah lagi namanya pun pertandingan keadaan seperti itu bukan sahaja tidak difahami oleh para juri, malah mereka juga nampaknya lebih terhibur dengan aksi segelintir peserta yang beraksi dengan persembahan lintang pukang.
Dalam senario ini, ada yang bertanya, Twisties Bingit merupakan pertandingan nyanyian atau sebuah konsert artis profesional? Kalau ia sebuah pertandingan, di mana ruang peserta untuk memperlihatkan mutu suara dan persembahan muzik berkualiti yang sepatutnya dipersembahkan kepada para juri?
Juga sedikit mengecewakan apabila Twisties Bingit tidak banyak menggalakkan para pesertanya menampilkan lagu-lagu ciptaan sendiri tetapi lebih mengutamakan lagu-lagu popular komposer sedia ada pada pertandingan yang dirakamkan di One Utama, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor itu.
Apa pun, tahniah kepada 8TV selaku penganjur Twisties Bingit kerana ramai berharap Avidity mampu pergi lebih jauh dalam persada muzik tanah air pada masa depan atas rasa kepercayaan yang telah diberikan oleh para juri terhadap mereka.
"Memang kami (juri) yang bertanggungjawab mengangkat Avidity 100 peratus tanpa undian SMS (khidmat pesanan ringkas). Kalau guna SMS ia hanya untuk stesen TV (televisyen) sahaja kerana ia bukan 100 peratus diundi oleh penonton yang betul-betul pencinta muzik," ujar Ahmad Izham lagi.
Sementara itu, Avidity tidak menafikan tiga finalis lain yang bersaing pada final Twisties Bingit juga hebat-hebat belaka, apatah lagi mereka merupakan satu-satunya kumpulan yang mengetengahkan konsep muzik 'rock kapak' dalam pertandingan tersebut.
Vokalis Avidity, Mohd. Yusof Ahmad berkata, kelebihan itu mungkin dapat membezakan selain persembahan mereka yang dikatakan bertenaga serta mendapat sokongan daripada mula sehingga berakhirnya Twisties Bingit.
Dia mengakui, peluang untuk Avidity meraih juara pertandingan itu 50 - 50 kerana muzik dan penampilan mereka berbeza daripada tiga finalis lain.
"Walaupun kami membawakan muzik 'rock kapak' tetapi ia masih relevan dan diminati ramai," katanya mempertahankan kumpulannya.
Pada masa yang sama, katanya, sokongan keluarga dan rakan-rakan menambahkan lagi keyakinan Avidity mempersembahkan persembahan yang mantap.
Yusof berkata, bentuk sokongan yang diterima sangat luar biasa. Bapa Fazreen (gitaris Avidity) misalnya iaitu Romli Abdullah menaja menyewa tiga buah van dan enam buah kereta bagi membawa penyokong mereka pada petang tersebut.
Selain itu, 100 peminat dan penyokong Avidity dari Gombak, Bandar Tun Razak dan Klang datang memberi sokongan kepada mereka.
Bahkan Romli turut menaja 30 helai kemeja-T yang berlogokan Avidity kepada para penyokong kumpulan itu.
Dengan kemenangan itu, Avidity akan memasuki studio rakaman tidak lama lagi bagi merakamkan album single yang diterbitkan oleh Edrie Hashim di bawah naungan Monkey Bone selain diberi peluang beraksi pada Konsert Rock The World di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada 26 Disember ini.
Di samping Avidity, tiga lagi finalis Twisties Bingit iaitu Floor 88, The Musicians dan Rocket Planet juga akan diberi peluang mengadakan persembahan pada festival muzik rock terbesar yang akan dijayakan oleh lebih 30 kumpulan muzik tanah air itu.
Malah, pemenang tempat kedua Twisties Bingit iaitu Rocket Planet menerima hadiah wang tunai RM10,000, tempat ketiga, Floor 88 (RM6,000), tempat keempat, The Musicians (RM2,000) dan tempat kelima, Digital pula menerima RM2,000 pada pertandingan akhir yang turut dihadiri oleh Pengarah Urusan Kraft Malaysia & Singapura, Dieter Schulz selaku penaja utamanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: