![]() |
| Raja Farah |
WALAUPUN terlibat dalam tiga penggambaran sekali gus, namun kepintaran membahagikan masa membuatkan Raja Farah tidak terkeliru dengan watak yang diberikan.
Pelakon yang mula mengukir nama melalui filem Salon ini pantas mengisi ruang dan peluang dengan melibatkan diri dalam tiga produksi iaitu drama Mertua vs Menantu 2, Na O Mi dan filem Aku Masih Dara.
“Kali pertama dalam sejarah hidup saya, saya ambil tiga kerja dalam satu masa. Tetapi ini semua tidak menjadi masalah apabila kedua-dua drama lakonan saya itu hanya menampilkan saya sebagai pelakon pembantu, sementara pembabitan saya dalam filem Aku Masih Dara pula tidak mengambil masa yang lama.
“Saya tidak terkejar-kejar ke lokasi kerana dalam sehari, saya hanya berlakon untuk satu projek,” ujarnya.
Disebabkan mahu kelainan dalam setiap kerjayanya, dia memastikan setiap skrip dan peranan yang diambilnya mempunyai aspek tidak tipikal mahupun klise.
“Saya membawakan watak Sofia dalam filem Aku Masih Dara dan ia adalah satu karakter yang positif buat saya.
“Saya mahu memperbanyakkan bilangan filem dan watak lakonan saya,” ujarnya yang sukakan mesej positif terutama buat remaja perempuan dalam filem arahan Ahmad Idham ini.
Melalui Na O Mi pula keterujaan Farah meluap-luap apabila berpeluang menjiwai watak seorang penyelam skuba menerusi drama 44 episod yang bakal memberikan pengalaman berada di dasar laut buat dirinya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: