
SUDAH beberapa kali juga kita melihat seorang demi seorang ratu cantik di Malaysia hilang ditelan masa selepas memenangi mahkota yang dipertandingkan. Malah pemenang gelaran Miss World Malaysia 2008/2009, Soo Wincci, 24, juga pernah merasakan fasa sepi itu.
"Saya sangka selepas memenangi pertandingan itu, saya akan menjadi buruan untuk menjayakan banyak projek. Sebaliknya, saya terus tenggelam selepas itu.
"Rupa-rupanya saya perlu berusaha sendiri untuk menjadikan diri saya dikehendaki. Saya yang perlu bertemu penganjur untuk mencari peluang kerja," ujar anak sulung daripada tiga adik-beradik itu.
Menunjukkan bakat pada pertandingan itu dengan menyanyi sambil melakukan persembahan tradisional Cina menukar topeng dan bermain piano pada masa yang sama, siapa menjangka Wincci akan menjurus dalam bidang nyanyian dengan serius sehingga menerbitkan album mini
Sebuah lagu Inggeris, sebuah lagu Melayu dan empat lagu Cina dimuatkan dalam album yang menggunakan namanya sendiri sebagai judul itu setelah setahun bergelar ratu.
Lewat hari ini, lagu-lagunya itu semakin kerap diputarkan melalui corong radio tempatan. Lagu Cinta Abadi, misalnya, sudah mula kedengaran dalam senarai Prelude Carta Era, selain berkumandang di stesen Suria FM dan Hot FM.
Sehubungan itu, pada 30 Oktober lalu, Wincci, yang merupakan Duta Keamanan Belia Malaysia menjadi satu-satunya artis tempatan yang dijemput untuk menjayakan sebuah festival bertaraf antarabangsa di Taiwan.
Pada kesempatan itu dia diberi penghormatan untuk mendendangkan dua buah lagu di hadapan Presiden Taiwan, Ma Jing Jiu, dan lebih 30,000 penonton.
"Ia satu pengalaman yang tak dapat dilupakan. Berdiri di depan sekurang-kurangnya 30,000 pennonton dari negara Amerika Syarikat, Filipina, Jepun, Taiwan dan Indonesia, itulah peluang yang sudah lama saya tunggu.
"Saya menangis kerana sangat terharu. Mereka menyeru dan memanggil-manggil nama saya sepanjang saya menyanyi," luahnya.
Bertentang mata dengan sosok jelita ini, ternyata Wincci tinggi lampai orangnya. Berkulit putih mulus dan gebu, hidung mancung terletak, struktur wajahnya pula hampir simetri. Namun tidak adil sekiranya ada yang mengatakan tuah Wincci datang bergolek kerana fizikalnya.
Bukan sahaja memiliki ijazah dalam Undang-undang dari Universiti Reading, United Kingdom, dan memegang Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Sunshine Coast, Australia, Wincci turut bekerja keras memperkayakan diri dengan ilmu dalam pelbagai bidang lain bagi membentuk teras diri yang kukuh.
Menukar topeng
Malah anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor ini juga bertungkus lumus menguasai pelbagai bahasa termasuk Inggeris, Mandarin, Bahasa Melayu di samping bahasa perbualan Jepun, Perancis dan Korea bagi meluaskan 'pasaran' dirinya.
Kemahiran menukar topeng yang dipelajarinya dua minggu sebelum bertanding untuk gelaran ratu juga dilihat menakjubkan kerana lazimnya ilmu itu hanya diperturunkan kepada pelajar lelaki.
"Yang penting saya tidak mendedahkan cara topeng ditukar, jadi guru saya bersetuju untuk mengajar saya.
"Saya melakukannya untuk mempelbagaikan kemahiran saya. Setelah saya beraksi menukar topeng di Taiwan, ramai pemimpin negara luar menjemput saya untuk membuat persembahan itu di negara mereka," kongsinya.
Peminat setia Datuk Siti Nurhaliza ini juga mahir bermain piano, memberinya kelebihan untuk menggubah lagu - satu lagi cabang industri muzik yang ingin diceburi secara serius.
Mungkin untuk album kedua yang memuatkan 10 lagu yang bakal dilancarkan, Wincci akan bermain gitar untuk para peminat pula kerana kini dia sedang mempelajari cara bermain alat muzik itu.
Tetap menjalankan tugas seorang Ratu dengan menjayakan pelbagai projek kebajikan untuk banyak pihak, jadual wajah baru industri muzik ini jarang benar dapat dilihat waktu senggangnya.
"Pada bulan lalu, saya dapat tidur antara empat hingga lima jam saja sehari. Pendek kata, tidak cukup tidur adalah satu perkara yang biasa.
"Tetapi walau sesibuk mana, saya mesti bersenam sekurang-kurangnya 15 minit sehari dan berlatih menyanyi antara satu hingga dua jam sehari.
"Saya tidak tahu bila saya akan sibuk atau sebaliknya, jadi, sebaik-baiknya saya bersedia untuk hari sibuk itu," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: