Friday, December 4, 2009

Peluang kedua buat yang tersingkir


TERSINGKIR... Didie dan Sham tersingkir namun bakal beraksi pada minggu ini dalam merebut tempat bagi meneruskan saingan dalam Sehati Berdansa.


SUDAH namanya rancangan realiti, macam-macam kejutan yang dilakukan. Terbaru, rancangan realiti Astro yang berkonsepkan tarian, Sehati Berdansa musim ketiga (SB3) memperkenalkan undi masuk bagi pasangan-pasangan selebriti yang telah tersingkir pada musim ini.

Ini merupakan kali pertama undi masuk diperkenalkan dalam Sehati Berdansa dan sekali gus dilihat sebagai satu lagi percaturan yang cuba dimainkan oleh pihak produksi rancangan itu. Bukan sengaja menambahkan perisa kepada pelbagai 'drama' yang berlaku sebaliknya, pihak produksi SB3 punya alasan tersendiri.

Lain tidak adalah untuk memberi peluang kepada peminat setia SB3 memilih salah satu daripada lima pasangan selebriti tersingkir yang dirasakan layak untuk kembali memberi saingan. Minggu lalu, pasangan Didie Ilias dan Sham yang mempersembahkan tarian daripada filem Kuch-Kuch Ho Ta Hai, Ladki Baadi Anjani Hai diumumkan sebagai peserta kelima yang disingkirkan.

Mereka yang dibantu oleh juru tari BB itu berjaya mengumpul sebanyak RM6,000 untuk disalurkan kepada badan kebajikan yang mereka wakili, Persatuan Epilepsi Malaysia.

Empat lagi pasangan ialah Anita dan Ismadi yang tersingkir pada minggu kedua, Enot dan Zainol (tersingkir pada minggu ketiga), Mirna dan Noorah (tersingkir pada minggu keempat) serta Oshin dan Firdaus yang tersingkir pada minggu kelima.

Ramai yang sedia maklum, apabila undi masuk diperkenalkan, kontroversi lain pula yang bakal tercetus apatah lagi, undian masuk untuk kelima-lima pasangan yang dimulakan sejak pukul 10.30 malam Ahad lalu adalah 100 peratus diadili berdasarkan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Daripada beberapa rancangan realiti Astro misalnya Akademi Fantasia, mereka yang berjaya diundi masuk lebih berpotensi untuk melangkah ke akhir malah tidak mustahil bergelar juara.

Mungkinkah perkara yang sama bakal berlaku dalam Sehati Berdansa untuk musim kali ini?

Dan tidakkah nanti bakal mencetus kemarahan pelbagai pihak sehingga mengganggu perjalanan peserta sedia ada yang dilihat sedari awal berusaha keras mempertahankan kedudukan mereka saban minggu?

Persoalan demi persoalan bermain di kotak fikiran. Namun, apa yang pasti pemarkahan pada minggu-minggu sebelum ke peringkat akhir masih lagi diadili oleh 50 peratus markah juri dan selebihnya undian penonton.

Mungkin agak klise apabila isu ini terus diperkatakan, namun tiada apa yang mustahil dalam sesebuah rancangan realiti.

Penerbit rancangan itu, Norazian Mohd. Zahir ketika ditemui selepas tamat program Debaran Sehati Berdansa malam Ahad lalu memberitahu, undi masuk sekadar memberikan peluang kepada pasangan yang telah tersingkir untuk kembali bersaing.

Ini sebagai salah satu usaha tambahan untuk membolehkan pasangan-pasangan yang terlibat mengumpul lebih dana untuk disalurkan kepada badan kebajikan yang mereka wakili.

"Minggu ini, juri profesional tetap ada tetapi hanya untuk memberi komen kepada peserta namun, keputusannya nanti bergantung kepada peratusan undian SMS.

"Para peserta diberi peluang memilih lagu-lagu yang pernah dipersembahkan oleh para peserta yang masih bertahan di mana mungkin mereka boleh buat lebih baik daripada yang dipersembahkan oleh rakan-rakan mereka," katanya.

Tidak mahu undian masuk dipertikaikan, Norazian sekali lagi mengingatkan bahawa pertandingan itu adalah untuk tujuan amal yang memerlukan pasangan-pasangan selebriti beraksi di pentas tari dalam usaha mengumpul dana untuk badan kebajikan yang mereka wakili.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi yang turut ditemui pula menjelaskan, pihaknya sedari awal telah merancang mengadakan sebuah minggu tribute yang bakal melibatkan kesemua peserta untuk musim kali ini.

"Inilah minggu yang kami maksudkan. Empat pasangan tersingkir akan bersaing merebut tempat untuk meneruskan persaingan manakala lima pasangan yang masih tinggal akan bergabung tenaga menari untuk lagu tema Sehati Berdansa.

"Ini merupakan kejutan buat kesemua pasangan SB3. Walaupun mereka dari awal telah diberitahu tentang sebuah minggu tribute namun, mereka tidak tahu bila dan tribute bagaimana yang kami maksudkan," kata Azlin.

Tambah Azlin, pertandingan akhir Sehati Berdansa musim kali ini bakal diadakan pada 26 Disember ini.

Bagaimanapun, format dan bilangan pasangan yang bakal mara ke peringkat akhir masih belum ditentukan lagi.

Mana tahu ada rezeki - Didie

Tersingkir pada minggu keenam, kata Didie Ilias tidak meninggalkan kesan mendalam buat dirinya apatah lagi, firasatnya sudah mula berteka-teki sebelum bermula Debaran Sehati Berdansa minggu lalu.

Faktor umur dan markah yang rendah membuatkan Didie dan pasangannya, Sham akur terpaksa menuruti langkah Oshin dan Firdaus yang tersingkir pada minggu kelima SB3.

"Alhamdulillah, kami berjaya juga sampai ke minggu yang keenam. Berdasarkan markah kami, memang kami dah bersedia kerana kami antara peserta yang mendapat markah yang rendah.

"Maklumlah dari segi umur saya adalah yang paling 'muda' berbanding dengan peserta-peserta lain. Bagaimanapun, syukur sangat kerana sehingga minggu keenam masih ada undian daripada peminat untuk kami terus bertahan," katanya.

Berpeluang bersaing untuk minggu ini, kata Didie, itu salah satu peluang yang bakal disempurnakan oleh dia dan pasangannya sebaik mungkin.

"Terus terang kami gembira ada peluang sebegini. Ini memang satu kejutan buat kami semua yang telah tersingkir.

"Undi masuk beri kami peluang kedua, kami akan mencuba yang terbaik manalah tahu ada rezeki untuk kembali bersaing," kata Didie sambil berseloroh.

Menyertai SB3, menurut Didie memberikan pengalaman yang cukup berharga buatnya apatah lagi sebelum ini dia langsung tidak berkesempatan menyertai mana-mana pertandingan.

Biarpun merasai keletihan terikat dengan jadual dan disiplin tarian, namun kata Didie secara tidak langsung SB3 dapat mengeratkan hubungan dengan suaminya Sham kerana hampir setiap masa mereka bersama, berbincang dan berlatih demi memastikan yang terbaik dalam tarian mereka.

"Seminggu kami hanya ada tiga hari untuk berlatih dan setiap hari pula masa yang kami ada hanya lima jam sahaja.

"Sungguhpun letih, ini pengalaman dan satu perkara baru buat saya. Alhamdulillah, saban minggu kami semakin mudah menghafal langkah tarian," kata Didie lagi.

Bagi Sham pula, daripada seseorang yang keras dalam mengatur langkah tarian kini mengakui semakin serasi dan menghafal pelbagai langkah tarian.

Didie dan Sham memperoleh markah tercorot dengan 52 peratus, dua peratus kurang daripada Sazzy dan Nazril yang menduduki tempat keempat dengan 54 peratus.

Di tempat pertama diungguli oleh Dira dan Ash dengan markah keseluruhan 57 peratus, diikuti pasangan Isma dan Zul serta Sein dan Nana yang masing-masing berkongsi markah 56 peratus.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: