|
|
ANUGERAH Skrin 2009 (ASK2009) sudah semakin tiba ke destinasinya malam ini. Bermula tepat pukul 9 malam bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bakal menyaksikan satu lagi sejarah akan terlakar dalam direktori seni tempatan.
Baik karyawan seni mahupun peminat setia hiburan tanah air semakin berdebar untuk menantikan karya dan individu yang bakal bergelar terbaik malam ini.
Apatah lagi selepas lebih sedekad dianjurkan, sudah pasti ramai yang mahu melihat hasil dan keberkesanan ASK2009 dalam mengiktiraf hasil karya anak tempatan untuk kesekian kalinya.
Seperti mana yang dilaung-laungkan selama ini oleh pihak penganjur, TV3 yang bukan mahu mempamerkan persaingan antara stesen televisyen.
Tetapi, sebaliknya Anugerah Skrin dianjurkan adalah untuk menghargai dan memberikan penghormatan kepada kepada karya bermutu serta individu yang terlibat secara langsung atau tidak.
Selain itu juga, apa yang diharapkan agar ASK2009 mampu meninggalkan impak yang besar sebagai sebuah acara anugerah yang akan terus diingati sebelum tahun 2009 melabuhkan tirainya.
Selepas tiga hari berturut-turut meramal pelakon yang disebut-sebut serta mereka yang berpotensi besar untuk merangkul kejuaraan, untuk penutup, Hits akan melihat pula beberapa kategori penting yang dilihat sebagai acara kemuncak ASK2009.
Empat kategori yang dimaksudkan itu ialah Drama Terbaik, Filem Terbaik, Pengarah Drama Terbaik dan Pengarah Filem Terbaik.
Sekali lagi ingin diingatkan, tulisan ini hanyalah sekadar untuk menghangatkan lagi kemeriahan ASK2009 yang menampilkan tema Hikayat 1001 Malam itu lagi.
Apa yang pasti, tulisan ini termasuk tiga hari lalu juga tidak akan langsung mempengaruhi keputusan juri dalam menentukan pemenang kerana hanya mereka sahaja yang tahu siapakah yang sebenar-benarnya layak untuk menjulang trofi.
Melihat pada kategori Pengarah Drama Terbaik, apa yang pasti persaingannya akan melibatkan muka baru dan lama serta mereka yang pernah memenangi kategori ini pada tahun-tahun sebelumnya.
Tiga nama besar dalam pengarahan drama iaitu Rashid Sibir, Erma Fatima dan Murali Abdullah dijangka akan memeningkan kepala juri untuk menobatkan mereka dengan trofi pewter bermotifkan pucuk rebung dan songket itu.
Tahun lalu, Murali memenangi kategori ini untuk drama Suara Saleha yang juga diangkat sebagai Drama Terbaik.
Persoalannya kini, mampukah Murali mengulangi kejayaannya sekali lagi menerusi drama Tak Serupa Tapi Sama dan untuk melihat Murali menjulang trofi buat kali kedua adalah tidak mustahil.
Ini kerana hasil kerjanya untuk setiap drama arahannya jarang sekali mengecewakan dan jika Murali memenanginya sekali lagi, ia adalah satu rekod peribadi untuknya apabila memenanginya untuk dua tahun berturut-turut.
Laluan Murali memang tidak mudah kerana dia harus bersaing dengan Erma yang sememangnya tidak perlu dipertikaikan kredibilitinya.
Dicalonkan untuk hasil kerjanya menerusi drama Tersasar Di Jalanmu, tidak mustahil untuk Erma memenangi kategori ini berdasarkan mutu pengarahannya bagi drama ini.
Bagi Rashid Sibir pula, siapa yang mampu menidakkan kehebatan pengarah drama prolifik ini dalam bidang pengarahan drama khususnya drama-drama berat.
Drama Al-Kiswah yang diarahkan Rashid dilihat berpotensi besar untuk menjulang namanya di pentas ASK2009 memandangkan jalan cerita serta intipati drama yang memaparkan kepincangan dalam sebuah keluarga.
Ketiga-tiga pengarah ternama ini perlu berdepan dengan dua nama yang mungkin agak kurang dikenali iaitu Mohd. Heykal dan Fahizul Tahir yang masing-masing dicalonkan menerusi drama Terlerai Takbir Kasih dan Becha Usang.
Siapa tahu, Mohd. Heykal atau Fahizul akan diangkat sebagai pemenang kerana hasil kerja mereka juga tidak sewajarnya dipandang sebelah mata sahaja.
Satu yang cukup menarik untuk memperkatakan tentang kategori Pengarah Filem Terbaik apabila ia bakal menyaksikan pertembungan dua ideologi yang pastinya akan membuatkan para juri bingung untuk mengangkat mereka sebagai pemenang.
Allahyarham Yasmin Ahmad, Hatta Azad Khan dan Badaruddin Azmi atau Bade antara mereka yang sudah diiktiraf sebagai antara pengkarya terbaik di negara ini.
Tetapi, adakah filem-filem arahan mereka iaitu Talentime, Wayang dan Maut memberikan saingan hebat kepada filem arahan pengarah generasi baru yang karya mereka juga bukan calang-calang.
Wan Azli Wan Jusoh tidak kurang hebatnya berdasarkan filem Budak Kelantan yang dilihat telah membuka satu lembaran baru dalam bidang pengarahan filem di negara ini.
Begitu juga dengan gandingan Fariza Azlina dan Effendee Mazlan yang merupakan pengarah filem Kami The Movie selain Naeim Ghalili dan Amir Muhammad menerusi filem Susuk.
Mereka adalah penggiat filem generasi baru yang memiliki sentuhan serta idea baru untuk menyemarakkan lagi industri perfileman tanah air.
Seandainya muka-muka baru yang menang malam ini, bukanlah bermakna yang senior tidak bagus tetapi setidak-tidaknya ideologi baru ini diiktiraf serta diangkat sewajarnya.
Saingan sengit juga dapat dilihat menerusi kategori Filem Terbaik apabila beberapa buah filem dikatakan mampu mencipta kejutan.
Filem Wayang yang sarat dengan nilai autentik serta pendekatan artistik harus berdepan dengan filem yang memiliki adunan komersial dan kualiti seperti Kami The Movie, Budak Kelantan, Talentime, Susuk, Histeria dan Maut.
Tetapi, jangan terkejut seandainya filem animasi tempatan paling berjaya setakat ini iaitu Geng: Pengembaraan Bermula dijulang sebagai Filem Terbaik.
Untuk kategori Drama Terbaik pula, seperti tahun-tahun sebelum ini majoriti telemovie yang layak bertanding merupakan genre drama berbanding komedi.
Begitu juga dengan tahun ini apabila dapat dilihat telemovie dari genre drama mendominasi senarai pencalonan seperti Takbir Rindu, Becha Usang, Tak Serupa Tapi Sama, Al-Kiswah dan Tersasar Di Jalanmu.
Meskipun daripada genre drama, namun pendekatan masing-masing adalah berbeza dan mempunyai kekuatan masing-masing.
Bukan hanya peranan pengarah dan pelakon tetapi kekuatan drama itu terletak kepada jalan cerita dan skrip yang kukuh lagi mantap.
Apa-apa pun, semua yang dipaparkan ini hanya sekadar ramalan dan semua pemenang akan terjawab malam ini.
Untuk mengurangkan debaran dalam menanti sebuah jawapan untuk mengetahui para pemenangnya, ASK2009 juga tidak ketinggalan menyajikan hiburan sebagai santapan kepada audiens kepada penonton.
Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza bakal memberikan persembahan penutup yang dijangka memberi impak pada ASK2009 menerusi dendangan tiga buah lagu secara medley.
Selain Siti, artis-artis lain yang akan membuat persembahan ialah Misha Omar, Aizat, Black, One Nation Emcees dan Jaclyn Victor.
Bukan itu sahaja, gandingan pertama Afdlin Shauki dan Fara Fauzana juga dijangka akan melancarkan lagi perjalanan ASK2009 dengan gelagat serta keletah mereka yang mencuit hati.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: