KUALA LUMPUR - Suri rumah, Yim Pek Ha yang sebelum ini dihukum penjara 18 tahun setelah disabitkan bersalah atas tiga pertuduhan mendera bekas pembantu rumahnya, Nirmala Bonat dengan seterika panas dan air panas, lima tahun lalu berjaya mengurangkan hukuman kepada 12 tahun penjara.
Ketika berdiri di dalam kandang pesalah bagi mendengar keputusan yang dibacakan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini semalam, Azman Abdullah, Pek Ha, 41, dilihat beberapa kali mengesat air matanya.
Namun, semakin lama esakan bekas pramugari itu semakin jelas kedengaran dan sebaik sahaja selesai prosiding, Pek Ha tidak dapat menahan perasaan dan menangis di dalam pelukan suaminya, Hii Ik Ting sambil dikerumuni ahli keluarga lain.
Terdahulu, Azman menyabitkan Pek Ha bersalah bagi pertuduhan pertama dan kedua iaitu menyebabkan cedera parah terhadap Nirmala, 24, menggunakan sebuah seterika panas dan air panas di rumahnya di 33B-25-6, Villa Putera, Jalan Tun Ismail, di sini pada Januari dan Mac 2004.
Namun, setelah mengambil kira keadaan Pek Ha yang mempunyai anak-anak kecil, mahkamah mengurangkan hukuman 18 tahun bagi setiap pertuduhan kepada masing-masing lima tahun penjara mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Pek Ha turut disabitkan bersalah atas tuduhan keempat iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Nirmala menggunakan cawan besi di tempat yang sama pada pukul 3 petang, 17 Mei 2004.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: