Mendengarkan santau sahaja sudah menggerunkan, inikan pula bagi mereka yang mengalami sendiri peristiwa aneh tersebut. Pelbagai pengalaman mengerikan sehingga tak dapat diungkapkan dengan logik akal biasa. Namun itulah yang cuba dirungkaikan dalam filem terbaru terbitan Metrowealth International Group (MIG), Santau. Filem arahan Azhari Mohd Zain ini mengambil peluang memaparkan kehidupan gelap seseorang individu yang sanggup menggunakan ilmu hitam akibat daripada perasaan hasad dengki yang menguasai hati. Kisah bermula dengan kehidupan bahagia sepasang suami isteri, Halim (Esma Daniel) dan Nina (Putri Mardiana) bersama anak perempuannya Tuti (Farisya Fatin Faisal) yang hidup di sebuah perkampungan Melayu. Kejayaan Halim telah mengundang rasa kurang senang di kalangan temannya. Sehinggalah pada suatu hari, keluarga Halim mula dihantui pelbagai kejadian aneh dan menyeramkan di kediaman mereka.
Tingkah laku Nina mula berubah namun Halim tidak mempercayai kewujudan perkara ghaib ini membawa isterinya ke klinik untuk berubat. Keadaan Nina semakin tenat sehinggakan setiap saat beliau merasakan ada makhluk halus yang cuba mengganggunya sehingga menimbulkan keraguan jiran mereka, Man (Zul Handy Black) dan Arfah (LIsdawati).
Saksikan lakonan mantap Esma Daniel dan Putri Mardiana yang tentunya akan membuatkan anda tidak senang duduk dengan setiap babak yang dipaparkan. Olahan cerita yang baik dan mudah difahami namun bisa membuatkan anda tidak lalu makan memikirkan aksi menjijikkan Putri makan ulat bersama telur hanyir. Filem ini bukanlah imaginasi semata-mata namun ianya adalah berdasarkan kepada kisah benar yang disulami unsur drama dan seram.
Santau akan menemui penonton seluruh Malaysia bermula 10 Disember ini. Filem ini bakal meninggalkan kesan di dalam hati setiap individu yang menontonnya agar dapat mengelakkan perasaan dengki kerana ianya akan merosakkan umat manusia di dunia ini. |
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: