Sunday, December 20, 2009

Ombak besar Reanna


Reanna


SUDAH lali dengan pasang surut gelombang hiburan tempatan, sejak 2007 lalu, sinar mentari bagai menjadi milik Norliana Shamsudin yang juga dikenali sebagai Reanna.

Jika sebelum ini nasibnya terumbang-ambing saat awal masuk ke dunia hiburan sebagai penyanyi pada tahun 2004, kini saat profesion bertukar sebagai pelakon, Reanna tidak lagi asing.

Namanya mula memuncak naik sewaktu menjadi pengarah wanita muda pertama yang mengarah filem pada tahun lalu. Reanna diberi kepercayaan mengarah filem Selamat Pagi Cinta yang dibintangi Que Haidar, Sharifah Amani dan bekas kekasihnya sendiri, Pierre Andre.

Sejak itu, tawaran berlakon filem dan drama datang silih berganti. Pernah terbabit dalam filem termasuk Tentang Bulan, Cinta Fotokopi dan Histeria, gadis berusia 25 tahun ini bakal muncul dengan sebuah filem baru, Aku Masih Dara.

Memegang watak Aleesya, gadis kolej yang kelihatan liar tetapi masih memelihara mahkotanya, Reanna menerusi laman sosial Facebooknya memberitahu: "Inilah rezeki 2010 saya. Alhamdulillah."

Dalam masa yang sama, kelibat Reanna boleh dilihat menerusi drama-drama lakonannya seperti Jangan Tegur Lagi yang sedang ligat ditayangkan di TV3 pada setiap Khamis pukul 9 malam. Khidmatnya juga digunakan dalam drama popular Awan Dania 2 yang disiarkan Astro Ria pada setiap Isnin pukul 9 malam.

Sedang sibuk menjalani penggambaran drama Nurin Qistina untuk terbitan RTM, gadis manis ini tidak melupakan masa depannya. Sebagai anak seni, dia tidak mahu kosong ilmu, justeru kini Reanna sedang mengambil Ijazah Perfileman di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Mempersetankan semua kritikan yang dilemparkan kepadanya, Reanna yang kukuh berdiri dalam industri, barangkali menjulang filosofi daripada Abraham Lincoln.

Filosofi tersebut berbunyi: "Saya tak pernah membaca surat-surat cercaan yang ditujukan kepada saya. Tidak pernah membuka sampulnya, apatah lagi membalasnya.

"Sebab jika saya menyibukkan diri untuk membaca cercaan tersebut, saya akan kehabisan waktu untuk berbuat sesuatu buat rakyatku."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: