
SEKALIPUN dihambat hujan lebat dan cuaca tidak penentu, kehadiran penonton pada Kejuaraan Goodyear Formula Drift Siri Malaysia 2009 yang bermula semalam tetap membanggakan.
Bertempat di Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, kehadiran peminat drift membanjiri gelanggang seawal pukul 10 pagi apabila trek utama dibuka untuk sesi latihan.
Menariknya, kehadiran itu bukan sahaja melibatkan peminat drift tempatan, malah kelompok peminat dari luar negara termasuk Singapura, Thailand, Indonesia selain New Zealand juga hadir.
"Selalunya, saya hanya melihat drift ini di kaca televisyen dan kali ini saya puas kerana dapat menyaksikan di depan mata.
"Lagipun, acara sebegini tidak selalu diadakan di sini dan sudah semestinya kesempatan ini tidak akan kami lepaskan," jelas seorang peminat dari Shah Alam, Jusman Jamal.
Seorang peminat dari Singapura, Vincent Lim pula sanggup menghabiskan masa cutinya dengan menyaksikan kejuaraan di Serdang ini.
"Saya adalah peminat setiap sukan drift dan saya telah banyak menyaksikan acara sebegini di Singapura dan negara lain.
"Bagi saya, setiap lokasi mempunyai kelainan dan begitu juga pada kejuaraan di Malaysia ini," tambah Vincent.
Sebelum ini, penganjur menjangkakan kejuaraan berprestij itu bakal dibanjiri 10,000 penonton terutamanya pada hari kemuncak (perlumbaan akhir) hari ini untuk sama-sama menyaksikan kehebatan jaguh drift tempatan dan luar negara.
Kejuaraan ini juga merupakan yang terbesar di Asia dan tidak hairan kenapa 1,000 tiket untuk tempat duduk grandstand habis dijual dalam masa yang begitu singkat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: