Wednesday, December 9, 2009
Nur Eisyal anugerah terindah Eja
Aktres yang pernah menggenggam trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke 19, Siti Shahrizah Saifuddin atau lebih dikenali dengan nama Eja, 37, kelihatan begitu teruja dan gembira dengan kehadiran bayi sulungnya yang diberi nama Nur Eisyal Binti Mohd Silahuddin yang kini telah pun berusia tiga bulan.
Nur Eisyal yang membawa maksud Cahaya Bunga Syurga itu adalah anugerah yang tidak ternilai dari yang Maha Kuasa. Itulah antara kata-kata yang lahir dari mulut jelitawan itu ketika di satu majlis ringkas yang diadakan di Hotel Crown Plaza untuk memperkenalkan anaknya itu kepada rakan media.
“Anugerah ini adalah lebih hebat dan tidak ternilai berbanding mana-mana anugerah sekalipun. Syukur sangat, di usia sebegini, saya dianugerahkan anak yang cukup comel dan sihat,” kata Eja yang sudah pun mendirikan rumah tangga hampir 10 tahun.
Eja berkata, dengan kehadiran puteri sulungnya itu dalam kehidupannya seharian, aktiviti seninya kini diletakkan di tangga kedua dan memberi keutamaan terhadap cahaya matanya itu.
“Sebelum ini Eja begitu mengutamakan kerjaya sebagai anak seni. Kini, dengan adanya Eisyal, karier saya diletakkan pada tangga kedua dan Eisyal akan diberikan sepenuh perhatian. Suami pun masih mengizinkan Eja untuk terus terlibat dalam bidang seni.
“Eja akui, selama ini Eja memang mementingkan diri sendiri. Fokus utama Eja sebelum ini adalah untuk memastikan karier Eja berjalan lancar. Tapi, selepas Eja mengikuti penggambaran drama Tasbih Cinta arahan Erma Fatima di Mekah, barulah pintu hati Eja terbuka dan bersedia untuk bergelar ibu,” katanya menceritakan detik beliau mendapat petunjuk dari Allah ketika menunaikan umrah di Tanah Suci itu.
Tambah Eja lagi, dahulu beliau begitu seronok melayari bahtera perkahwinan hanya berdua bersama suami tercinta tanpa kehadiran cahaya mata. Tetapi hingga ke satu tahap, beliau mula berfikir sampai bila rumah tangga yang dibina tidak diserikan dengan kehadiran insan comel.
“Apabila Nur Eisyal muncul, ia banyak mengubah kehidupan Eja dan suami secara keseluruhannya. Eisyal pun tak banyak ragam. Dia cuma menangis kerana tiga sebab, lampin basah, lapar susu dan juga ketika nak tidur.
“Memang agak sukar bagi Eja untuk menguruskan Eisyal. Semuanya mengenai Eisyal, Eja uruskan sendiri. Kadang-kadang apabila Eja betul-betul dah tak tahu nak buat apa, barulah Eja minta bantuan suami dan mak,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: