Wednesday, December 9, 2009

Persona dramarati ‘Rawana’ & ‘Laman Etnik’

Kumpulan Seni Persembahan Petronas (KSPP) meneruskan keunggulannya dengan sebuah lagi pementasan dramatari berjudul ‘Rawana’ yang bakal berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) tiga hari turut-turut mulai 18 Disember 2009 hingga 20 Disember 2009, bermula jam 8.30 malam.

Dramatari ‘Rawana’ adalah usaha berterusan Petronas dalam memelihara seni budaya bangsa. Ia adalah kelangsungan daripada dramatari hebat yang telah dipersembahkan oleh KSPP di pentas DFP sebelum ini seperti Raja Bersiong, Semerah Padi dan Awang Sulung Merah Muda.

Kali ini, KSPP memberikan sebuah keunikan dalam pementasan ‘Rawana’, diambil dari epik Ramayana yang penuh dramatik dan disulami dengan babak-babak cemas. Hikayat ini mempunyai pengaruh yang amat luas di Asia Tenggara dan persembahan ini akan memberi kesempatan kepada peminat seni untuk menikmati sebuah cerita Melayu yang berindukkan epik klasik dari India.

Segmen kedua pula akan membawa penonton mengembara ke kepulauan Borneo melalui koleksi repertoire yang menghiburkan dalam segmen ‘Laman Etnik’. Segmen ini bakal mempersembahkan seni tari suku kaum dari Sabah dan Sarawak. Ini adalah usaha berterusan KSPP untuk mengangkat seni tari ini ke pentas bertaraf dunia. Antara tarian yang bakal dipersembahkan ialah Sazau Papar, Ngajat Lesong, Rajang Beuh dan Titikas.

Dramatari ‘Rawana’ bakal diarahkan oleh Roslee Mansor manakala A Sam Palal bertindak sebagai koreografer. Pengarah muzik ialah Mohd Khairul Anuar Ramly. Untuk segmen ‘Laman Etnik’, Rozilah Abdul Rahman bertindak sebagai koreografer manakala pengarah muzik ialah Noor Leyzam Ali. Manakala penerbit untuk kedua-dua segmen ini ialah Hartini Abdullah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: