Sunday, December 20, 2009

Muallaf - Satu Apresiasi


JADILAH manusia yang pemaaf dengan tontoni Muallaf di pawagam bermula 24 Disember ini.


FILEM Muallaf (2008) arahan Allahyarham Yasmin Ahmad akhirnya menemui penonton di Malaysia bermula 24 Disember ini setelah terperap hampir dua tahun. Filem ini telah menyertai beberapa festival filem antarabangsa dan telah meraih anugerah - Sebutan Khas: Filem Asia-Timur Tengah Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Tokyo ke-21 pada tahun 2008.

Filem ini tidak diharamkan seperti yang telah digembar-gemburkan. Cuma ada beberapa babak yang dikatakan agak “sensitif” telah dinasihatkan supaya dibuang. Filem ini juga telah menimbulkan kontroversi sewaktu penggambarannya kerana salah seorang pelakon wanitanya membotakkan kepala, lalu mendapat pelbagai reaksi daripada pihak berkuasa agama dan alim-ulama negara.

Muallaf berkisar mengenai dua orang beradik perempuan Rohani dan Rohana yang melarikan diri ke Ipoh kerana tidak sanggup berhadapan dengan bapa mereka - seorang Datuk (lakonan Rahim Razali) - yang pemabuk. Mereka menginap di sebuah banglo usang milik kawan arwah ibu mereka. Di situ, Rohani dan Rohana bertemu dengan Brian, seorang guru muda Katholik yang sebenarnya mempunyai masalah hubungan dengan ibunya akibat masa silamnya.

Walaupun sentuhan Yasmin masih ketara, Muallaf tidak seperti filem-filem Yasmin yang lain, terutamanya ‘trilogi Orked’ - Sepet, Gubra dan Mukhsin. Muallaf adalah sebuah filem yang straightforward tetapi bukanlah sebuah karya yang mudah sebenarnya. Filem ini tampil dengan penuh kepelikan dan keanehan, terutamanya watak-perwatakan yang dicipta Yasmin. Seperti biasa, Yasmin sememangnya gemar membina watak-watak yang unik disulami ciri-ciri idiosinkrasi. Dua watak utama Rohani dan Rohana ini juga adalah watak-watak yang eksentrik dan berfikiran seperti orang yang jauh lebih dewasa.

Si adik Rohana yang aneh dan penuh misteri adalah pelajar sekolah menengah yang seringkali menjelekkan gurunya terutamanya Puan Siva kerana seringkali mengungkap angka-angka dan kalimah tertentu (yang kebanyakannya dari Al-Quran, dan juga dari teks ajaran lain seperti Tao Te Ching dan St. Augustine). Rohani dan Rohana yang digambarkan Yasmin bukanlah remaja Malaysia yang tipikal kerana mereka berdua agak spiritual, mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi, dan berfikiran kritis. Mereka banyak membaca, berhujah dan sangat cenderung mendalami Islam, serta melakukan kajian agama perbandingan secara intelektual. Rohani pula bercita-cita ingin melanjutkan pengajiannya di dalam jurusan teologi atau kajian agama perbandingan atau sosiologi agama.

Dalam salah satu babak, filem ini menyindir pendidikan tinggi di Malaysia yang lebih cenderung menawarkan bidang pengajian yang berteraskan kejayaan material bila Rohani ke sebuah kolej untuk bertanyakan tentang bidang pengajian yang diminatinya. Resepsionis di kolej tersebut terus memperlekehkan jurusan yang dinyatakan Rohani dengan mendakwa kolej tersebut menyediakan para graduannya untuk kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan. Dengan sinis, Rohani yang agak spiritual terus menjawab yang bukankah kematian lebih pasti dari kehidupan.

Kecenderungan mereka terhadap Islam dan ilmu pengetahuan juga banyak berpunca dari latar belakang keluarga mereka, yakni arwah ibu mereka adalah seorang ahli akademik di salah sebuah universiti di Singapura. Selain itu, keadaan mereka yang cuba melarikan diri dari kezaliman dan ketidakperimanusiaan bapa mereka telah membawa mereka mencari ketenangan, kedamaian dan perlindungan dari Tuhan.

Muallaf sebenarnya melanjutkan tema-

tema kegemaran Yasmin seperti yang telah mendasari filem-filem cereka dan iklan Yasmin sebelum ini. Tema-tema yang diterokai kali ini banyak berkait dengan hubungan manusia dan juga ketuhanan seperti kasih sayang dan kemanusiaan, keampunan dan kemaafan, penyucian dan penyembuhan serta salvation.

Naratif Rohani dan Rohana bersama keluarganya (bapanya yang kejam dan pemabuk) dan naratif Brian menghadapi masalah dengan ibunya disatukan. Mereka dipertemukan dan masing-masing mencari perlindungan dan ketenangan antara satu sama lain. Dalam konteks yang lebih mendalam, watak-watak ini mencari perlindungan, ketenangan dan keredaan dari Tuhan sebenarnya.

Kedua-dua Rohani dan Brian mempunyai masa lampau yang hitam dan menyakitkan tetapi implikasi ke atas diri mereka digambarkan berbeza. Rohani yang pernah dibotakkan kepala oleh bapanya menjadikannya manusia yang lebih baik dan cenderung mendekatkan dirinya kepada Pencipta-Nya. Manakala Brian pula yang pernah ditelanjangi bapanya (seorang penganut Katholik yang tegar) di khalayak ramai ketika berusia 12 tahun kerana didapati beronani telah membuatkan dirinya semakin lama semakin luntur pegangan agamanya.

Secara stailistiknya, Muallaf melanjutkan pendekatan estetik filem-filem Yasmin sebelum ini yang cuba meminimumkan teknik suntingan. Penggunaan teknik long take yang mencirikan filem-filem Yasmin membantu kita menghayati persembahan di atas layar dengan lebih objektif kerana kesatuan ruang dan masa yang sebenar dikekalkan. Lihat sahaja babak Rohana tidur mengadap kakaknya Rohani sambil mereka berbual-bual, kamera Yasmin statik sepanjang babak ini dan menghadkan penglibatan penonton. Antaranya kita tidak mendapat akses secara visual terhadap Rohana dan diperlihatkan sebahagian sahaja wajah Rohani. Jika tidak babak ini boleh menjadi dramatik dan penuh emosi. Justeru, dan yang menariknya, Muallaf terkeluar dari kepompong sentimental filem-filem Yasmin yang lain.

Seperti filem-filemnya yang lain, Yasmin juga gemar mencipta montaj atau sekuen yang menggabungkan beberapa syot yang perlu dibaca penonton secara menyeluruh dan bukannya berasingan antara satu syot dan syot yang lain. Contohnya, sekuen yang melibatkan syot-syot seperti Rohani dan Rohana sebelum tidur cuba memaafkan insan-insan yang berdosa dengan mereka dan melafazkan doa sebelum tidur, Brother Anthony berdoa di dalam gereja, Brian sedang membaca buku dan menerima panggilan telefon dari ibunya dan terus bertengkar, ibu tiri Rohani (lakonan Ning Baizura) menangis teresak-esak sambil memerhatikan wajahnya di cermin, syot bapa Rohani sedang menari di sebuah kelab dengan beberapa orang perempuan muda lalu jatuh sakit akibat serangan strok dan beberapa lagi. Sekuen ini dipersembahkan dengan tempo dan pacing yang perlahan, lalu memberi kesan yang bersifat ethereal dan meditatif. Ini diperkasa dan dilatari dengan muzik aria Mozart yang bertempo perlahan, memilukan tetapi haunting. Sekuen ini merumuskan tentang intipati cerita filem Muallaf yang banyak menyentuh tentang kondisi manusia dan kemanusiaan, dalam konteks hubungan sesama manusia.

Judul Muallaf juga tidak seharusnya ditafsir secara harafiah. Yang menariknya, filem ini tidak menunjukkan sesiapa pun (termasuk Brian) bertukar agama atau menjadi seorang ‘muallaf’ dalam erti kata yang sebenar. Banyak ‘perubahan’ atau ‘penghijrahan’ yang berlaku ke atas watak-watak dalam filem ini. Brian, umpamanya, ‘berubah’ menjadi seorang manusia yang lebih baik dan cuba memperbaiki hubungan dengan ibunya. Ini juga kesan dari nasihat Rohani (dan juga mungkin rasa cinta yang mula berputik terhadap Rohani), selain rasa kekaguman melihat hubungan Rohani dan adiknya Rohana serta kekuatan rohani mereka. Rohani pula (yang sebenarnya masih sayangkan bapanya) akhirnya pulang ke rumah menjaga bapanya yang terlantar sakit.

Babak-babak terakhir dalam filem ini ada menyarankan idea tentang ‘perubahan’ atau ‘penghijrahan’ ini. Lihat sahaja babak Brian di dalam ruang yang gelap sedang berbual menerusi telefon (di dalam banglo Rohani) dan selepas itu tiba-tiba ruang menjadi cerah kerana lampu terpasang akibat tindakan seekor kucing. Selepas itu, babak berpindah kepada medium shot (dengan pencahayaan dari arah atas) yang menunjukkan Rohani yang baru selesai meletakkan gagang telefon awam. Rohani (yang digambarkan memakai tudung di kepala) beralih ke hadapan kamera dan mendongak ke atas sambil tersenyum. Ini menyatakan tentang sinar cahaya yang membawa seribu satu harapan.

Sinar cahaya yang mula menyuluh hidup watak-watak ini juga boleh dilihat dalam konteks surah Al-Baqarah (2:286) perenggan terakhir. Seperti yang dibacakan Rohani kepada Mei Ling (gadis Tionghua yang sedang dalam koma akibat cedera di kepala dipukul bapanya). Yang membawa maksud Allah tidak akan membiarkan segala kesakitan dan penderitaan di luar batasan yang tertanggung oleh kita.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: