Sunday, December 20, 2009

Cun Saja bawa Sleeq ke Malaysia


Alyph & Syarif


NAMA kumpulan duo Sleeq tiba-tiba sahaja popular sekelip mata di Malaysia gara-gara lagu Cun Saja sedang popular dan sering kali diputarkan di corong-corong radio lewat kebelakangan ini. Tapi siapakah mereka sebenarnya?

Sleeq merupakan duo berkumpulan yang berasal dari Singapura yang dianggotai oleh Alyph dan Syarif yang kini berbangga apabila single Cun Saja begitu diterima ramai di sini.

Cun Saja merupakan lagu yang terkandung dalam album sulung mereka yang berkonsepkan pop, R&B dan hip hop yang mengandungi 13 buah lagu yang termuat dalam album Classiq.

Mereka tidak sekadar mempunyai bakat dalam bidang nyanyian, malah kedua-dua anak muda yang baru berusia 20 tahun ini juga boleh mencipta lagu dan menulis lirik dengan baik.

Maka tidak hairanlah jika 12 daripada 13 buah lagu yang terkandung dalam album sulung mereka dicipta sendiri bersandarkan jaluran muzik yang mudah ‘melekat’ di hati peminat muzik.

Jika dibentang satu per satu sejarah mereka, mungkin ia tidaklah sebanyak kumpulan-kumpulan ‘otai’ yang lebih berpengalaman. Tapi Sleeq sudahpun wujud sejak tahun 2005 lagi.

Dua sepupu bersaudara ini pernah menghasilkan album EP yang berjudul In The Q pada tahun 2007 dan pernah juga mendapat pengiktirafan di Anugerah Planet Muzik pada tahun 2007 dan 2008.

Sambil menjadikan Michael Jackson, JayZ dan Craig David sebagai idola, Sleeq kini yakin mereka mampu menawan peminat tempatan dengan mempertaruhkan Classiq sebagai sandaran.

Bagi Alyph peluang untuk hadir ke sini sememangnya dinanti-nantikan sejak dahulu lagi memandangkan kelompok peminat di sini lebih ramai jika mahu dibandingkan dengan Singapura.

“Saya sendiri tidak sangka apabila lagu Cun Saja memang mendapat tempat di Malaysia. Ramai yang suka dengan lagu tersebut dan ini sedikit sebanyak menunjukkan yang muzik kami juga boleh diterima di sini.

“Bukan mudah untuk menjadi penyanyi. Penyanyi bukan sekadar boleh menyanyi dengan baik tapi sebenarnya lebih daripada itu. Kami juga tidak mahu bersandarkan suara semata-mata tetapi juga lagu yang kami hasilkan,” kata Alyph lagi.

Diterima baik di Singapura

Bagaikan satu perjalanan yang wajib apabila kebanyakan penyanyi Singapura akan melebarkan sayap di sini. Pelbagai faktor yang menyebabkan mereka berbuat demikian termasuklah khalayak yang terhad.

Tapi Sleeq sangat bertuah apabila mereka masih produk yang mereka hasilkan diterima dengan baik bukan sahaja daripada kalangan orang Melayu tetapi juga bangsa-bangsa asing yang lain.

“Pasaran muzik Melayu di Singapura tidaklah sehebat di Malaysia. Tapi Sleeq bertuah kerana berjaya mengumpulkan peminat dari pelbagai bangsa di Singapura memandangkan kami juga mempunyai lagu Inggeris sebagai taruhan.

“Sebelum menghasilkan lagu, kami lebih suka bereksperimen untuk menghasilkan muzik yang benar-benar berkualiti dan baik. Tak guna hanya mengikut arus jika tidak memberikan sesuatu yang boleh memberikan kesan kepada peminat.

“Dalam proses menghasilkan muzik kami akan memastikan rakan-rakan rapat mendengar dahulu hasilnya. Kemudian barulah semuanya akan diteruskan dengan langkah berikutnya,” jelas Syarif lagi.

Tidak mahu menyembunyikan sesuatu, akui Alyph dan Syarif, ibu bapa dan keluarga adalah orang yang paling gementar dengan keputusan yang mereka ambil untuk menjadi penyanyi.

Tambah Alyph, kadangkala ibunya susah hati melihat sikap mereka yang terlalu obses terhadap muzik memandangkan masih lagi menuntut di Politeknik Temasik, Singapura.

“Alhamdulillah, berkat usaha kami selama ini nama Sleeq pun sudah diterima ramai. Cuma kami perlu berhati-hati kerana masih lagi menjadi seorang pelajar. Kena pandai membahagiakan masa dengan bijak.

“Cabaran yang paling besar bagi Sleeq adalah untuk mencari inspirasi dalam menghasilkan lagu-lagu yang berkualiti di samping dapat membawa nama Sleeq ke peringkat yang lebih tinggi,” kata Alyph.

Selain Cun Saja album Classiq turut mengandungi lagu lain seperti Classiq, Untuk Dia, Fireworks, Mabuk, My Spy, Tanya Nama, Ain’t About Later, Terima Kasih Sayang dan Selamat Malam yang akan menghangatkan atmosfera muzik tempatan sedikit masa lagi.

Album yang baru sahaja dilancarkan di Kuala Lumpur baru-baru ini akan diedarkan oleh Metadome Sdh. Bhd. yang turut sama bertindak mempromosikan album Sleeq di Malaysia.

Bagi peminat yang ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai kumpulan Sleeq, bolehlah melayari www.sleeqmusic.com atau www.metamobile.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: