Sunday, December 20, 2009

Hairi perih jadi artis


Hairi


BUKAN mudah mencari tapak dalam bidang nyanyian. Penyertaan dalam program hiburan realiti yang popular juga belum menjamin langkah mudah kepada muka baru yang nak mencuba nasib jadi penyanyi.

Orang kata bergantung kepada masib dan rezeki masing-masing. Finalis program MyStarz LG musim kedua, Ahmad Hairi Kenneith juga akui masih terkapai-kapai mencari tapak.

Semasa program masih hangat diperkatakan semua orang kenal. Tiga bulan selepas program tamat pula banyak undangan show yang Hairi dan rakan-rakan lain terima. Selepas itu pandai-pandailah membawa diri.

“Saya akui sekarang ini memang tak ada tawaran show. Saya hanya ada satu tawaran show kecil menjelang tahun baru nanti. Selebihnya saya isi dengan membuat apa sahaja kerja untuk mendapat wang.

“Saya buat kerja separuh masa seperti menolong kawan menjaga kedai dan sebagainya untuk menampung hidup di Kuala Lumpur ini. Memang saya sudah berasa perihnya nak jadi artis sekarang.

“Tapi saya belum menyerah. Kalau belum ada peluang, tak apa, saya cari kerja lain dulu untuk menampung hidup. Selepas itu boleh kembali semula mengejar cita-cita saya.

“Saya tak mahu menyerah dengan mudah. Kalau saya balik ke kampung pasti saya akan menguburkan cita-cita saya nak jadi penyanyi. Setakat hari ini saya masih belum mengaku kalah,” kata Hairi kepada Pancaindera.

Keluarga Hairi pernah menyuruh beliau balik kampung sekiranya tidak mempunyai pekerjaan di Kuala Lumpur, namun anak muda itu masih belum putus asa.

“Keluarga saya menyokong apa sahaja yang saya buat untuk mengejar cita-cita saya, tapi apabila mengetahui saya bersusah payah di sini, mereka pastilah menyuruh saya balik,” ujarnya.

Hairi pasrah dengan kepahitan yang sedang dilaluinya sekarang dan dalam masa yang sama belajar memperbaiki diri. Beliau berterima kasih kepada rakan artis, Wana yang banyak membantu.

“Saya memang tak dapat tawaran menyanyi. Saya faham kerana saya tak ada pengurus dan ditambah pula belum memiliki lagu sendiri sebagaimana artis lain.

“Apabila kawan saya, Wana (juara MyStarz LG) dapat undangan, beliau pernah mengajak saya mengadakan persembahan bersamanya. Saya menyanyi sebuah lagu dan Wana mengagihkan sedikit daripada bayaran yang diterimanya kepada saya.

“Wana banyak membantu saya sebab dia dapat rasakan kepayahan saya yang merantau dan tiada sesiapa di Kuala Lumpur ini. Kami memang baik sebab Wana banyak membantu saya,” jelasnya yang menolak andaian bercinta dengan Wana.

Hairi juga teringin untuk mencuba nasib sebagai pelakon sebagaimana yang dilakukan oleh bintang realiti lain yang gagal menempatkan diri dalam kelompok penyanyi.

Malangnya tiada sesiapa pun yang memanjangkan tawaran kepadanya kerana beliau belum menunjukkan kecenderungan ke arah itu. Beliau juga berminat dalam dunia peragaan.

“Saya harap selepas ini ada yang berminat menawarkan undangan show atau berlakon. Saya memang lapang dan tidak terikat dengan sesiapa,” sambung Hairi lagi.

Apabila nampak ada macam-macam pertandingan nyanyian anjuran stesen televisyen dan pelbagai pihak, hatinya pernah berdetik untuk mencuba nasib.

“Saya tergerak juga untuk mencuba pertandingan lain, tapi orang dah tengok saya dalam televisyen, saya takut ada tanggapan buruk pula.

“Lagi pun kalau kita terkandas dalam pertandingan nyanyian kecil-kecil ni, akan menjelaskan nama kita juga Sebab itu saya fikir banyak kali untuk mencuba pertandingan sedemikian,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: