TIZ dan Remy, watak utama yang menjayakan drama Nur Kasih. |
DRAMA bersiri Nur Kasih yang mula disiarkan di TV3 bermula 29 Mei lalu mencetuskan fenomena baru apabila berjaya mencatat jumlah peratusan penonton tertinggi yang berakhir 27 November lalu.
Melalui kajian dan sumber yang dikeluarkan oleh AGB Nielsen Media Research, drama bersiri 26 episod itu menerima kadar penonton (berpandukan kepada penonton berumur empat tahun ke atas) sebanyak lebih 4.1 juta (19 TVR) atau 59 peratus dari peratusan penonton yang menonton episod akhir dari jam 9 hingga 10 malam.
Sebelum ini drama Nur Kasih berjaya mencatat sebanyak 3.9 juta (20.3 TVR) 53.9 peratus (paling tinggi untuk slot drama) menerusi tayangan mingguan setiap malam Jumaat. Melalui siaran ulangan tanpa iklan pada jam 7.25 malam hingga 8 malam pula, siri ini juga berupaya mencecah hampir dua juta penonton ketika disiarkan setiap hari Selasa hingga Jumaat.
Menampilkan barisan pelakon berpengalaman seperti Datuk Jalaluddin Hassan (Ustaz Hassan), Fizz Fairuz (Aidil), Liza Othman (Hajah Khadijah), drama bersiri ini berjaya melonjakkan populariti pelakon baru seperti Remy Ishak (Adam), Tiz Zaqyah (Nur Amina) dan Ummi Nazeera (Siti Sarah).
Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Nurul Abu Bakar berkata, drama Nur Kasih adalah drama yang bermutu berbekalkan jalan cerita yang sangat menarik.
“Drama ini menjalani penggambaran di luar negara seperti Sydney dan Jeddah selain di Kuala Lumpur dan Kuala Selangor. Selain mempunyai unsur pengorbanan dan ikatan kekeluargaan yang penuh tragis, ia juga diselitkan dengan unsur pengajaran dan teladan.
“Kami juga akan terus menerbitkan drama yang seangkatan Nur kasih malah lebih baik dari itu demi peminat peminat kami. Jangan lupa nantikan kemunculan drama Alif Firdaus yang pastinya membuat penonton terpaku di kaca TV3,” katanya.
Melihat kepada maklum balas penonton, drama ini akan diterbitkan dalam bentuk DVD box set dan akan mula berada di pasaran dengan harga RM99.00. Untuk maklumat lanjut mengenai DVD box set Nur Kasih, boleh melayari web rasmi di www.tv3.com.my. Sementara itu, difahamkan juga siri Nur Kasih ini juga akan diadaptasikan ke layar perak di mana tanggungjawab utama bakal dipikul oleh Khabir Bhatia dan Filmscape yang kini sedang dalam perancangan awal.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: