Kontroversi dalam Sehati Berdansa adalah di luar kawalan pihak produksi
BUKANLAH program realiti kalau tidak diselubungi kontroversi. Justeru, tidak hairanlah sejak mula bersiaran hinggalah ke hari ini, ada saja cerita kurang enak mengenai program realiti berkonsepkan tarian, Sehati Berdansa.
Terbaru dengan pergeseran antara dua peserta iaitu Dira dan Sazzy berkenaan undian penonton, aksi melampau sebahagian peserta ketika membuat persembahan dan juga soal juri terlalu ‘bermurah hati’ dalam memberi markah semuanya itu menjadi bahan pertikaian penonton. Apakah kontroversi itu kebetulan atau sengaja dicipta sebagai perisa untuk menarik perhatian penonton? Bagi meleraikan tanda tanya yang timbul, Hip menghubungi Penerbit Eksekutif program berkenaan, Norazean Mohd Zahir bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu. Sambil menafikan apa yang berlaku sebagai gimik dalam mengejar rating, Norazean menjelaskan, semuanya adalah aksi spontan peserta dan di luar kawalan pihak produksi.
Hip: Ramai mempertikaikan markah 100 peratus yang diberi kepada peserta. Boleh ulas perkara itu.
Saya tahu hal ini merujuk kepada markah yang diberikan kepada pasangan Sazzy yang mendapat markah penuh 100 peratus dari juri iaitu Anita Sarawak dan Jaafar Onn. Kami memberikan sepenuh kepercayaan kepada juri dan kebetulan dua juri itu memang diakui kehebatan mereka dalam bidang tarian. Anita seorang penghibur terbaik dan Jaafar pula mempunyai latar belakang yang hebat dalam bidang tarian serta berpengalaman. Apabila mereka memberi markah penuh kepada Sazzy kami tidak mahu mempertikaikannya. Lagipun sebelum rancangan bermula, setiap juri diberi taklimat terlebih dulu dan kami memang percaya dengan kredibiliti dua juri ini.
Hip: Apabila pasangan Sazzy sering mendapat markah penuh, tidakkah ini menunjukkan ada unsur pilih kasih di situ?
Saya tak berasakan begitu kerana tidak setiap minggu Sazzy mendapat markah tinggi. Contohnya, sewaktu minggu Bollywood mereka mendapat markah rendah. Seperti yang saya katakan, mereka mendapat markah tinggi untuk minggu yang juri rasakan mereka berhak mendapat markah sedemikian. Dari segi pemarkahan, juri menilai dari sudut kreativiti, pergerakan, pakaian, keserasian antara pasangan, keselarasan antara pergerakan dan muzik. Jika pasangan itu berjaya menonjolkan semua elemen ini, mereka maka mereka memang layak menerima markah penuh dari juri.
Hip: Ada cerita yang mengatakan Dira dan Sazzy berselisih faham gara-gara undian. Apakah pihak produksi peka dengan perkara ini?
Memang kami dengar cerita ini dua minggu lalu. Tapi apabila kita kemukakan isu ini dalam program Di Sebalik Sehati Berdansa jawapan yang diterima adalah mereka tidak bergaduh. Mungkin sekadar meluahkan perasaan tertekan di laman sosial Facebook masing-masing tetapi nasib mereka kurang baik apabila perkara itu diperbesar-besarkan di internet.
Hip: Tidakkah ia menjejaskan kredibiliti program itu apabila peserta sendiri mempertikaikan undian?
Saya rasa luahan itu ditujukan pada pengundi. Mungkin Sazzy luahkan hal itu apabila mendapati undiannya berkurangan walaupun dia berhempas pulas di pentas tarian.
Hip: Minggu lepas penonton dikejutkan dengan adanya Sehati Berdansa masuk (sbmasuk). Kenapa perlu ada? Adakah ini disebabkan Astro terdesak mencari undian atau mahu serapkan kembali peserta kegemaran?
Apabila memasuki musim ketiga, seperti biasalah kita perlukan kelainan dan mewujudkan sbmasuk adalah antara elemen kelainan untuk musim ini. Kami ada memaklumkan kepada semua peserta, jika sesiapa tersingkir dulu, mereka perlu kembali ke Sehati Berdansa untuk minggu tribute. Ini memastikan mereka tidak terikat dengan apa-apa program lain. Ia bukanlah kerana kami terdesak mencari undian. Lagipun sebagai program kebajikan, produksi memang ada menyediakan bajet. Jadi tidak timbul isu kami mahu mencari keuntungan dari segi undian SMS ataupun ada konspirasi untuk memenangkan peserta tertentu.
Hip: Ada juga peminat atau penonton mengadu mereka merasa mual dengan sikap sesetengah peserta yang ‘over” mesra dengan pasangan masing-masing sama ada ketika menari ataupun sewaktu menanti keputusan penyingkiran.
Pandangan itu timbul mungkin sewaktu minggu tarian Latin. Tak dinafikan, koreografi tarian itu membuatkan peserta nampak seksi. Tapi pada pemerhatian kami, memang tak ada aksi melampau yang dilakukan peserta. Kami juga ada memberi panduan dan syarat kepada peserta supaya aksi mereka tidak kelihatan keterlaluan dalam kaca TV. Misalnya, peserta tidak dibenarkan memeluk pasangan yang berlainan jenis dan setakat ini mereka patuh dengan syarat itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: