Wednesday, December 2, 2009

Natrah undang air mata


GENAP sebulan berlatih, akhirnya Natrah direalisasikan di pentas Panggung Sari, Istana Budaya malam kelmarin.

Wajah 1Malaysia - penonton terdiri di kalangan Melayu, Cina, India dan pelbagai bangsa lain - hadir memberi sokongan pada pementasan perdana Natrah yang ditangani pengarah wanita disegani ramai, Erma Fatima.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, antara orang kenamaan yang hadir menyerikan majlis.

Beliau ditemani isteri, Tan Sri Norainee Abd Rahman, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir dan Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum.

Mengapakah pementasan Natrah ini begitu dinanti-nantikan penonton? Natrah yang dipersembahkan Istana Budaya ini adalah rentetan kisah

mengenai Maria Hertogh, seorang gadis berketurunan Belanda, yang diserahkan ibunya, Adeline dan neneknya, Nor Louisenya kepada Che Aminah untuk dipelihara tanpa pengetahuan bapanyam Sarjan Adrianus Petrus Hertogh.

Dibesarkan Che Aminah yang berbangsa Melayu dan beragama Islam, Maria Hertogh atau nama islamnya Natrah dibesarkan dan menjalani kehidupan dalam suasana Islamik.

Namun, sebaik bapanya dibebaskan daripada tawanan Jepun selepas Amerika Syarikat mengebom Hiroshima dan Nagasaki ketika Perang Dunia Kedua meletus, dia pulang ke Bandung, Jawa untuk mencari anaknya Natrah yang ketika itu berada di Chukai, Terengganu.

Lalu bermulalah segala konflik apabila berlaku perebutan antara Che Aminah dan ibu bapa Natrah di Belanda. Konflik agama dan isu penjagaan diperdebatkan sehingga menyebabkan berlaku rusuhan di Singapura pada 12 Disember 1950.

Bagaimanapun, pementasan ini menyorot pada kehidupan yang dilalui Natrah semasa zaman kanak-kanak sehinggalah remaja sebelum tercetusnya perebutan hak penjagaannya.

Plot bermula apabila Natrah (Maya Karin memegang watak Natrah ketika remaja) menyertai sebuah pertandingan senam berirama bagi mewakili Sekolah Menengah Chukai, Terengganu yang turut dihadiri Penasihat British yang bernama, Arthurlocke.Kumpulan Natrah muncul sebagai pemenang. Didorong perasaan tidak puas hati melihat seorang berbangsa Melayu memelihara budak warga asing membuatkan Arthurlocke cuba mencari muslihat untuk memporak-perandakan keluarga Natrah.


Dengan bantuan seorang tali barut, Arthurlocke berjaya menjejaki kediaman Che Aminah (Umie Aida). Arthurlocke memperdayakan Che Aminah dengan menabur janji-janji manis untuk membantu wanita itu mendapatkan surat hak penjagaan Natrah sebagai anak angkatnya yang sah.

Arthurlocke memaklumkan kepada Che Aminah masalah itu hanya akan selesai sekiranya wanita itu membawa Natrah ke Singapura kerana negara itu di bawah penaklukan Belanda. Jadi lebih mudah untuk Che Aminah mendapatkan hak penjagaan yang dituntut.

Tanpa berfikir panjang, Che Aminah pun bersetuju dan setibanya di Singapura segala yang dijanjikan Arthurlocke hanyalah omong kosong. Sebaliknya, Arthurlocke bersama wakil pemerintah Belanda yang berada di Singapura menggunakan kuasa mereka untuk mengeluarkan surat perintah menahan Natrah yang mana kuasa itu tidak boleh digunakan jika Natrah berada di Terengganu.

Akhirnya, Natrah dirampas daripada Che Aminah dan diletakkan di Girl Homes Trust Centre, York Hill, Singapura, iaitu rumah perlindungan Katholik.

Bagaimanapun, Pada 19 Julai 1950, Che Aminah yang diwakili peguam Ahmad Ibrahim menang dalam kes rayuan dan mendapat hak kembali menjaga Natrah.

Ini membuatkan ibu bapa kandung Natrah di Belanda tidak berpuas hati. Justeru, mereka menggunakan bantuan kerajaan Belanda untuk mendapatkan kembali Natrah.

Kerana takut peristiwa itu berulang, Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi (watak dibawakan pelakon baru Remy Ishak) secara nikah gantung di Singapura. Natrah pada ketika itu berusia 13 tahun manakala Mansor berusia 22 tahun, jatuh cinta selepas dua kali bertemu.

Dalam Undang-Undang Syariah Islam sebagaimana Sunnah Rasulullah, perempuan Islam berumur 13 tahun dibenarkan berkahwin. Tambahan Natrah sudah akil baligh ketika itu.

Bagaimanapun, Natrah dan Mansoor dinikah gantung, iaitu mereka dinikah dan sah bermalam, tetapi majlis jamuan perkahwinan dibuat pada satu masa lain yang sesuai.

Tujuan pernikahan ini dengan andaian untuk menyelamatkan Natrah daripada dibicarakan semula di Singapura. Namun sebaliknya berlaku kerana Undang-Undang Belanda/British tidak membenarkan perkahwinan di bawah 18 tahun.

Mereka menuduh Che Aminah memaksa Natrah berkahwin dan mempersoalkan apakah hanya dengan dua kali berjumpa sudah boleh membuatkan Natrah dan Mansoor jatuh cinta lalu sepakat untuk berkahwin.

Meskipun Natrah sendiri memaklumkan kepada mahkamah dia rela mengahwini Mansoor dan memilih Islam sebagai agamanya namun, pihak berkuasa British tidak memberi fokus kepada sensitiviti agama dalam masyarakat majmuk. Lalu, mahkamah memerintahkan supaya Natrah diserahkan semula kepada ibu bapa kandungnya.

Keputusan mahkamah itu menimbulkan kemarahan masyarakat Islam di Singapura yang bimbang Natrah dipaksa murtad kerana mahkamah memberi kebenaran ibu bapanya menentukan agama anak yang masih di bawah umur.

Hal ini menyebabkan berlaku rusuhan yang dikenali sebagai Rusuhan Natrah. Pada kejadian penuh tragis itu meragut nyawa 18 orang manakala 173 cedera ketika bertempur dengan tentera dan polis British.

Keadaan yang kucar-kacir ketika itu, memaksa Singapura diletakkan di bawah perintah berkurung selama dua hari dua malam.

Sejak dari itu, Natrah tidak lagi dapat diselamatkan. Bahkan, simbolik suasana sebuah gereja di akhir pementasan Natrah yang menunjukkan Sofia Jane (Natrah ketika tua) sedang berjalan ke arah paderi juga menjelaskan Natrah bukan lagi seorang Islam.

Bahkan kekal sebagai Kristian sehinggalah menghembuskan nafas terakhir di Huijbergen, Belanda pada Julai lalu pada usia 72 tahun akibat leukimia.

Secara keseluruhan, pementasan teater yang menyayat ini adalah satu wadah yang baik untuk ditonton. Membuka mata, betapa masyarakat harus sedar dan tidak terpedaya tipu helah barat yang sekian lama memperlekehkan agama.

Bukan itu saja, Natrah yang dibintangi pelakon hebat menampilkan lakonan cukup cemerlang serta penjelasan cerita yang ada pro dan kontra.

Props yang digunakan juga cukup menarik.

Walaupun mungkin penonton akan berasa marah dengan Samantha Schubert yang memegang watak Adeline iaitu ibu kandung kepada Natrah, namun penonton juga akan berasa simpati kepadanya kerana perjuangannya untuk mendapatkan semula Natrah kerana menuntut keinginan dan nalurinya sebagai seorang ibu.

Terdapat satu babak monolog yang membabitkan Adeline dan Che Aminah yang menjelas tujuan mereka mempertahankan Natrah.

Sementara Natrah juga bermonolog mengapa dia menjadi mangsa ego pihak yang tidak bertanggungjawab.

Bagi yang ingin menyaksikan pementasan teater Natrah ini, mereka masih mempunyai masa untuk menontonnya sehingga 9 Disember ini sejak mula ditayangkan 30 November lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: