| ALASAN sama asyik didengar. Kononnya perwatakan manja dan peramah serta imej seksi seseorang selebriti wanita itu sering saja disalah tafsir. Terus menjadi bahan kontroversi. |
Episod cerita sama turut singgah kepada Lana Nodin. Segala dugaan dan kata-kata nakal yang hadir buatnya tidak diendahkan, sebaliknya percaya dengan diri sendiri sudah cukup untuk membahagiakannya.
Mengakui kisah peribadi dan andaian luar terhadapnya lebih ‘kencang’ berbanding liputan kerjaya, wanita kelahiran Kuching, Sarawak ini tidak pernah kesal atau kecewa.
Namun bagi empunya nama sebenar Mazlina Hasan Nodin ini, dirinya punya alasan tersendiri untuk tampil sebegitu.
“Biarlah apa orang nak kata sebab setakat ini tidak pula datang penyakit atau kudis pada saya. Sampai bila saya hendak dengar cakap orang dan ikut apa yang mereka nak saya jadi, hakikatnya diri sendiri yang tanggung sakit.
“Pada saya, jika kita terlalu fikirkan pandangan orang, ia ibarat beban yang tiada penghujung.
“Ramai selebriti sanggup menjadi orang lain semata-mata ingin tampil bersih dan selamat. Realitinya, mereka berdepan sifat hipokrit. Sejujurnya itu bukan diri saya.
“Keluarga dan teman mengenali saya seperti ini sejak dulu lagi. Mustahil untuk saya ubah atau tukar mana-mana aspek dalam diri hanya untuk meraih minat orang.
“Alhamdulillah, saya tahu menjaga diri dan hanya gemarkan personaliti sendiri. Tidak semestinya saya tampil seksi atau berperwatakan peramah seperti ini bermakna saya jahat atau gatal.
“Itu persepsi orang ‘sempit’ dan tidak berfikiran terbuka,” katanya yang kini ligat di lokasi drama bersiri terbaru tayangan TV3, Mayang Mengurai.
Menafikan tawaran lakonan bagai suam-suam kuku untuknya, dramatis berusia 30 tahun ini cuba berkongsi jadual kerjanya. Malah, wanita yang mengakui dirinya bagai ‘kalis peluru’ dengan segala tohmahan ini berkali-kali mempromosi drama bersiri Waris yang kini ditayangkan di TV2.Menurut bekas ketua pramugari penerbangan Air Asia sebelum beralih angin dalam bidang seni ini, masa dan ruang untuknya terus fokus kepada lakonan baru saja ada kerana sebelum ini sibuk menguruskan perniagaannya bersama teman.
“Macam-macam yang saya lakukan. Namun sekarang saya benar-benar nampak laluan hidup saya dan kerjaya yang sememangnya selari dengan jiwa saya.
“Namun saya masih bergiat aktif bersama seorang teman baik menjalankan perniagaan kecil-kecilan sebagai alternatif jika peluang dalam bidang lakonan sempit untuk saya.
“Saya bersyukur kerana tawaran yang datang tidak pernah putus. Bayangkan, jadual lakonan saya penuh hingga awal tahun depan kerana menjayakan drama bersiri 44 episod berjudul Nayomi,” katanya.
Meskipun berimej berani, itu tidak memberi laluan mudah kepada mana-mana lelaki, terutama VIP, untuk mendekatinya. Malah, bakat yang digilap dari syarikat pengurusan, AquilaEmas ini mengakui secara tegas dan terbuka yang dirinya hanya cintakan duit.
“Terlewat bagi saya untuk mengganggu laluan kerjaya dengan soal cinta atau lelaki. Yang penting sekarang adalah kewangan yang terancang dan selesa. Jika ingin bercinta, saya akan betul-betul menghayati watak dalam drama lakonan saya.
“Seperti sekarang, watak saya sebagai Kartina, isteri kepada Kamal Adly cukup puas saya dalami. Saya benar-benar merasai cinta daripadanya. Itu sudah cukup ibarat cinta di lokasi,” jelas berseloroh.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: