| DULU pelakon muda berbakat, Pierre Andre pernah diangkat setinggi awan. Bukan kerana paras rupa dan popularitinya semata-mata, sebaliknya bakat lakonan serta kreativiti bintang yang juga anak kepada pelakon veteran, Khatijah Tan bukan calang-calang. |
Namun disangka panas hingga ke petang, hujan turun di tengah hari. Segala nama baik dan popularitinya hilang sekelip mata. Jejaka kelahiran Kuala Lumpur ini menjunam terus ke bawah tanpa nafas dan ruang.
Wajahnya lenyap dari lensa kamera, malah kelibatnya juga gagal dikesan. Mohd Pierre Andre Nazarul Andre hilang tanpa berita.
Enggan mengimbau segala cerita dan spekulasi yang singgah dalam hidupnya, kini pelakon kacak berusia 24 tahun ini gagahkan diri untuk terus berjuang dalam legasinya yang cukup kuat sebagai penulis skrip, pengarah dan pelakon generasi muda disegani.
Entah dari mana semangat serta keyakinan yang dikutip. Kini dia sedia bernafas buat kali kedua.
“Kerjaya saya terus melonjak pada awal pembabitan lagi. Itu bukan kehendak saya, namun apa yang berlaku adalah rezeki dan ketentuan. Saya terima meskipun ramai juga berbisik kononnya jika cepat naik, cepat juga turun kemudian hari.
“Walaupun dalam nada yakin saya menidakkan fakta itu, namun jauh di sudut hati, itu realiti jika saya tersilap langkah.
“Segala-gala sudah tersurat dan itu yang perlu saya tempuh. Jatuh dan tersungkur dengan sekali lalu. Itu satu tamparan dan dugaan yang sangat kuat buat saya. Alhamdulillah ibu, keluarga serta teman tidak henti-henti menyokong dan membantu dari belakang.
“Namun sampai bila perlu saya diamkan diri atau senyap dari dunia kerjaya saya sendiri. Persoalan itu menjadi penguat untuk saya berdiri semula meskipun perjalanan ini perlu bermula dari awal. Tidak lagi terus ke layar perak, dan tidak lagi liputan hampir setiap hari di dada akhbar dan majalah.
“Namun saya reda dan terima segala-galanya,” katanya yang juga bintang utama filem Jangan Pandang Belakang, Dunia Baru The Movie, 9 September, Cinta dan Gol & Gincu.
Ibarat pelakon yang masih bertatih, kini jejaka peramah ini kembali mewarnai industri.“Dalam pada saya mendiamkan diri, tiba-tiba datang beberapa ruang buat saya untuk kembali berkarya. Baik tawaran untuk berlakon mahupun pengarah telefilem, saya terima dengan penuh rasa syukur.
“Penerbit drama, A Aida datang memberi peluang untuk saya mengarah sebuah telefilem terbitan syarikatnya yang berjudul Pelakon Extra. Skrip komedi santai dan bersahaja seperti ini bukan asing bagi saya.
“Yang berbeza mungkin kini saya berkarya dan bekerja dalam skala lebih kecil berbanding filem. Namun itu semua bukan alasan atau masalah bagi saya, sebaliknya saya cukup selesa dan gembira dengan produksi penerbitan ini.
“Saya juga berpeluang beraksi disamping Sheera dalam drama bersiri popular, Halimah Jongang, yang mana menggesa untuk saya mencari satu sisi lain dalam aspek lakonan saya.
“Dalam masa sama, saya tampil untuk drama rantaian tayangan Astro Prima, Cik Ah Cik Nin di samping ibu saya, pelakon baru seperti Sherry Ibrahim dan Syamsul Yusuff. Ini adalah pengalaman baru yang banyak mengajar saya erti sebenar bintang lakonan.
“Alhamdulillah rezeki tidak pernah putus setakat ini. Meskipun saya senyap daripada liputan media atau publisiti, peluang untuk saya terus berlakon masih terbuka luas,” katanya yang juga bakal muncul sebagai penulis skrip serta pengarah dalam filem bergenre aksi pertengahan Februari depan.
Bagaimanapun, bintang yang mula mengukir nama menerusi filem Salon bersama Raja Farah ini tetap punya misi dan hala tujunya sendiri.
Selepas beberapa ketika mendiamkan diri dari mata populariti, Pierre bakal membuat kemunculannya semula seperti apa yang pernah dilakukan sebelum ini.
Mengakui sentuhan penulisannya yang acapkali mendapat maklum balas positif pihak media dan penonton, sekali lagi jejaka berkulit kuning langsat ini akan mengejutkan peminat serta kaki wayang tempatan dengan sebuah lagi skrip filem seramnya.
“Jika ramai memuji hasil tangan saya sebelum ini, pastinya saya ada menyimpan sebuah lagi tulisan istimewa bergenre seram yang sangat berbeza buat peminat tahun depan.
“Kelainannya bukan saja pada jalan ceritanya, malah persembahan filem ini tidak seperti filem lain, sebaliknya ia lebih dekat dengan tidak menggunakan pelakon sedia ada.
“Tonton saja karya Barat, mereka banyak menggunakan kelainan daripada aspek lakonan serta garapan sesebuah watak dalam filem. Pelan dan strategi sama akan saya guna pakai untuk filem arahan saya nanti.
“Kisah hantu dan seram untuk sumber penceritaan filem ini juga saya ambil daripada pengalaman sebenar sesetengah individu termasuk saya sendiri,” katanya yang berjaya dalam perniagaan shisha yang diusahakan selama ini.
Reaksi wajahnya tenang dengan lenggok bicaranya yang kemas tidak langsung menunjukkan dirinya berdendam atau marah terhadap seorang penerbit yang banyak memberi tunjuk ajar serta peluang buatnya pada saat awal kemunculannya.
Menganggap apa yang berlaku sebagai ketentuan dan takdir, Pierre yang lebih terkenal dengan sikap budi bahasanya lebih suka berdiam dan lihat saja.
Baginya, walau apapun masalah dan isu yang berlaku antaranya dan David Teo, rasa hormat dan berterima kasih atas segala jasa tidak pernah dilupakan. Malah, David sentiasa dianggap mentor buatnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: