KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mengesan ada orang dalam bank bertindak ‘menjual’ maklumat peribadi pelanggan kepada syarikat kad diskaun.
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Muhammad Sha’ani Abdullah, berkata pihaknya menerima kira-kira 200 aduan daripada orang ramai yang mendakwa diganggu syarikat menawarkan kad diskaun kepada mereka dan percaya jumlah sebenar adalah lebih tinggi lagi.
Katanya, pelanggan yang diganggu syarikat kad diskaun itu mendakwa menerima panggilan daripada wakil mereka sebaik saja menggunakan perkhidmatan kad kredit.
“Kita memang percaya ada orang dalam mendalangi masalah ini kerana mustahil bagi syarikat itu tahu maklumat peribadi seseorang, termasuk maklumat kewangan.
“Kita serius melihat perkara ini kerana membabitkan soal hak serta keselamatan maklumat peribadi seseorang dan kita percaya orang dalam bank turut mempunyai kaitan terhadapnya.
“Walaupun mereka sekadar menawarkan kad terbabit, namun apa yang kita risaukan adalah jika maklumat itu nanti disalah gunakan pihak yang cuba mengaut keuntungan dengan cepat,” katanya.
Muhammad Sha’ani berkata, orang ramai yang diganggu pihak berkenaan perlu berhati-hati, termasuk mengambil butir diri pemanggil dan nama syarikat berkenaan.
Katanya, mereka juga disaran membuat aduan kepada persatuan pengguna atau agensi kerajaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: