
TIDAK mudah untuk menjadi bintang muda di Hollywood. Menapak naik popular adalah satu cabaran, tetapi apabila anda popular dengan tiba-tiba ia ternyata lebih sukar. Cuba tanya Vanessa Hudgens, yang menjadi terkenal sekelip mata menerusi filem francais Disney, High School Musical (HSM) apabila filem itu bukan sahaja meraihkan kejayaan di Hollywood bahkan di seluruh dunia.
Dilahirkan pada 14 Disember, 1988 di Califonia, Amerika Syarikat (AS), Vanessa yang merupakan gadis kacukan, Ireland dan orang asli AS di sebelah ayahnya serta Filipina, Cina dan Latin di sebelah ibu memulakan karier dalam teater muzikal pada usia lapan tahun.
Antaranya termasuklah penyertaan dalam produksi Evita, Carousel, The Wizard of Oz, The King & I, The Music Man, Cinderella dan Damn Yankees.
Pengalaman itu memberikan peluang kepada Vanessa untuk menjayakan watak Gabrielle Montez dalam (HSM) yang memerlukan banyak nyanyian, tarian serta lakonan.
Kini pada usia 21 tahun, Vanessa semakin mengembangkan sayap dalam dunia lakonan. Terbaru, dia menjayakan watak yang lebih mencabar sebagai seorang remaja kesunyian dan penuh emosi bernama Sam dalam filem, Bandslam.
Apabila ditanya mengapa pemilik nama penuh Vanessa Anne Hudgens itu mahu memegang peranan lebih serius, jauh daripada zon selesanya, aktres itu menjawab: "Sam seorang yang menyeronokkan. Dia tidak mempunyai perwatakan 'gelap' tetapi mempunyai dunia sendiri yang pernah dilalui hampir setiap remaja."
Berbakat menyanyi
Memiliki dua album solo, V dan Identified, watak Vanessa dalam filem Bandslam mungkin berlainan dengan filem-filem sebelumnya. Namun, ia masih merupakan peranan tipikal yang menyaksikan dia menjadi remaja berkaitan dengan muzik.
"Sebenarnya, saya seorang yang amat memilih dan akan membaca skrip sebelum menerima tawaran. Saya rasa Todd Graff (pengarah) bijak untuk membuang identiti HSM saya dan membiarkan saya menari serta menyanyi dalam bentuk persembahan. Dia banyak membantu dan memberi sokongan.
"Kami juga banyak menjalankan latihan kerana mahu memberikan yang terbaik. Anda boleh melihat setiap pelakon bersungguh-sungguh menjayakan watak mereka," jelas Vanessa yang mempunyai seorang adik, Stella Hudgens.

Selain faktor skrip dan pengarah, Vanessa memberitahu salah satu sebab mengapa dia melibatkan diri dalam karya itu adalah kerana dia berpeluang bermain instrumen muzik. Aktres jelita itu bersama pelakon lain perlu menghadiri kem muzik dan mempelajari cara bermain gitar serta drum.
Vanessa juga membuktikan dia sudah matang dan tidak tersekat dengan muzik pop remaja. "Ia lebih sukar kerana untuk melakukan perubahan imej ia perlu bergantung kepada suara anda. Rock adalah sesuatu yang berjauhan dengan elemen saya kerana saya sudah biasa dengan muzik pop.
"Saya sudah biasa dengan tarian yang direka khas dan muzik rock bukan sesuatu yang biasa saya nyanyi. Saya tidak tahu bagaimana untuk bergerak supaya kelihatan rock atau bermain gitar secara rock," jelas Vanessa.
Penggambaran Bandslam
Meminati Celine Dion, Vanessa boleh menghafal lagu The Power Of Love pada usia 9 tahun lagi. Menariknya, Vanessa bukan sahaja mempelajari instrumen untuk watak Sam tetapi juga bermain permainan video, Rock Band.
Kata Vanessa dalam keadaan teruja, "Kami tidak dapat berhenti bermain. Setiap kali kami mempunyai waktu rehat, kami akan memasuki treler untuk bermain Rock Band," katanya lagi.
Menjalankan penggambaran di Austin, Texas, Vanessa memberitahu dia sangat gembira menikmati penggambaran di sana. Tidak pernah menjejak kaki ke Austin, Texas, penggambaran kali ini juga merupakan masa Vanessa 'melarikan' diri daripada ibu bapa, kawan-kawannya serta yang paling utama tanpa pelakon HSM.

Selain Austin, New York juga dipilih untuk melengkapkan filem itu. Di sana, dia mempunyai lebih banyak babak lakonan bersama Gaelan Connel yang menjayakan watak Will Burton. "Kami berdua amat gembira. Kami berlari di tengah bandar dan merakamkan video menggunakan telefon seperti orang gila. Gaelan seorang yang menakjubkan dan comel."
Salah satu perkara kegemaran Vanessa semasa menjalankan penggambaran di New York adalah pihak produksi membina semula kelab terkenal, CBGB di mana muzik genre punk mendapat pengiktirafannya.
"Kami membina semula CBGB. Saya berharap kami berpeluang untuk memasuki CBGB tetapi kelab itu tidak lagi wujud. Jadi kami perlu membina yang baru. Ia lebih kemas. Walaupun itu adalah kelab yang palsu, saya dapat merasakan sejarahnya.
"Kelab yang asal pastinya sangat serabut dan berbau. Jika kami berada di kelab lama, saya pasti akan menyembur minyak wangi di semua tempat," kata teman wanita kepada Zac Efron itu.
Jadual ketat
Sibuk dengan penggambaran sejak kecil, Vanessa memberitahu pengalaman dia belajar di sekolah tinggi dalam filem itu lebih realistik daripada cara pembelajaran di kehidupan realitinya.
"Jadual penggambaran yang ketat menyebabkan saya perlu belajar di rumah. Jadi saya tidak mempunyai sebarang pengalaman di sekolah tinggi. Zaman persekolahan saya agak membosankan kerana saya hanya belajar seorang diri. Tanpa kawan, saya membuat kerja sekolah dan ia bukan sesuatu yang menyeronokkan."
Walaupun menyukai kariernya, Vanessa tahu dia tidak boleh bekerja sepanjang masa. Maka, dalam masa terdekat, peminatnya boleh menyaksikan dia dalam dua filem, Beastly dan Sucker Punch. Selepas itu, dia tidak mempunyai sebarang perancangan.
Sucker Punch juga boleh dikatakan merupakan percubaan Vanessa untuk membuang imejnya sebagai idola Disney. "Saya memainkan watak bernama Blondie. Ia berlatarbelakangkan tahun 1930-an dan penuh dengan aksi.
"Jadi saya memerlukan banyak latihan pistol, lagak ngeri dan seni mempertahankan diri. Sebenarnya sudah lama saya ingin terlibat dalam filem aksi. Rasanya ini adalah masa yang sesuai untuk saya membesar," tambah Vanessa.

Tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mengembangkan karier muziknya, Vanessa mahu memberi fokus kepada dunia lakonannya. Lagipun dia mahu menunggu sehingga dia mendapat inspirasi untuk menyanyi semula.
"Saya tidak mahu melakukan dua benda pada satu masa. Saya mahu memberikan fokus sepenuhnya kepada sesuatu benda yang saya lakukan. Lagipun buat masa ini saya tidak tahu lagi arah tuju muzik saya. Namun, ini tidak bermaksud saya mahu meninggalkan dunia nyanyian sepenuhnya.
"Saya mahu berhenti seketika kerana tidak mahu terus menyanyi di dalam filem. Jadi apabila saya berada pada satu tahap di masa saya merasakan diri saya ialah seorang aktres, saya akan menyanyi semula kerana muzikal adalah rumah saya," jawabnya secara jujur.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: