Saturday, December 19, 2009

Kejutan tarian Wakaka


KUMPULAN Wakaka Fever berjaya mencipta kejutan menempatkan diri di pentas final pertandingan tarian Battleground Street Competition di saluran Astro, Ben Di Quan.


BUAT pertama kalinya pertandingan tarian Battleground Street Competition yang mula diadakan sejak tahun 2007 di Astro Ben Di Quan (saluran 311) berjaya dibolosi kumpulan Melayu yang menggelarkan diri mereka Wakaka Fever.

Sebelum ini Battleground Street Competition hanya dibuka untuk peserta berbangsa Cina sahaja tetapi tahun ini buat pertama kalinya penyertaan dilonggarkan untuk semua kaum.

Lebih dua bulan bersiaran, kini hanya empat buah kumpulan yang mara ke peringkat akhir dan yang mengejutkan banyak pihak apabila kumpulan Wakaka Fever yang disertai enam anak Melayu berjaya melangkah menjejak pentas final.

Kumpulan Wakaka Fever diketuai juara musim pertama program realiti tarian, So You Think You Can Dance, Alam atau nama sebenarnya Muhammad Haslam Abdul Rahman.

Menurut Alam, dia langsung tidak menyangka penyertaannya bersama rakan dalam pertandingan tarian yang didominasi oleh kaum Cina membawa mereka sehingga ke peringkat akhir.

"Saya tahu memang program ini dibikin dan ditonton oleh orang Cina tetapi apabila seorang rakan saya memberitahu mereka telah membuka penyertaan kepada kaum lain, kami tidak melepaskan peluang untuk mencuba nasib," ujarnya.

Kata Alam lagi, meskipun program itu dikendali dalam bahasa Mandarin itu bukan halangan untuk mereka ketinggalan daripada kumpulan yang lain.


ALAM (dua dari kanan) bersama lima anggota kumpulan Wakaka Fever.


"Memang kami tidak faham sepatah pun yang mereka cakap. Biasanya selepas juri memberi komen akan ada penterjemah ke dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Jadi, kalau ada orang kutuk pun kami buat tidak tahu sebab kami tidak faham," terang Alam dalam tawa.

Tambahnya, meskipun mereka merupakan kumpulan yang minoriti dan ada pihak yang tidak berpuas hati kerana mereka layak ke final, perkara itu tidak membuatkan kumpulannya patah semangat.

"Itu adat pertandingan, ada orang tidak suka dan ada orang suka. Kami hanya ingin lakukan yang terbaik walaupun kami tidak menang. Andai kata kami menang itu satu bonus," ujarnya.

Pertandingan yang mencungkil bakat penari melalui tarian break dance, popping, locking, new jack swing to new school hip hop dinilai 100 peratus oleh juri. Final pertandingan itu dapat disaksikan hari ini di Astro Ben Di Quan (saluran 311).

Pemenang akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 tajaan Gatsby.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: