APABILA menerima jemputan membuat liputan
Tetapi, selepas mendengar taklimat daripada Pengarah Program, Zaidi Sabri Mahmud pada keesokan harinya, ekspedisi itu nyata bukan sekadar aktiviti berkayak yang menguji ketahanan mental dan fizikal setiap peserta.
Sebaliknya, ada pengisian lain yang disediakan dalam cabaran menyusuri Sungai Langat itu. Antaranya, peserta dikehendaki berhenti di perhentian pertama dekat Kampung Hj. Palik untuk bergotong-royong membersihkan kawasan Surau Munawarah Batu 17, Hulu Langat.
"Seramai 56 peserta terlibat dalam aktiviti ini. Ia diadakan untuk membuktikan bahawa Sungai Langat sesuai untuk pelbagai aktiviti rekreasi.
"Justeru, program ini bukan sekadar mengisi masa lapang belia, malah menjadi satu aktiviti baru yang menarik dan bermanfaat," ujar Zaidi.
Sebelum aktiviti bermula, peserta yang terdiri daripada golongan belia dari Kampung Hulu Langat nampak cukup bersemangat.
Kira-kira pukul 8 pagi, pengagihan peserta, ucapan dan bacaan doa selesai. Kemudian, peserta mengambil kayak dan pelampung masing-masing untuk menyusuri sungai buat pertama kali.
Jangan panik
Pegawai keselamatan dari Jabatan Pertahanan Awam (JPA), Sufian Osman memberi taklimat kepada peserta mengenai keselamatan semasa berada di dalam sungai.
"Tak perlu panik. Air sungai ini tidak dalam, cuma ia agak deras. Kalau panik, kamu juga yang susah," pesannya.
Selain itu, penerangan tentang penggunaan jaket keselamatan secara terperinci sebagai salah satu langkah keselamatan turut diberikan.
Memandangkan aktiviti berkayak merupakan aktiviti baru bagi persatuan itu, peserta memberi reaksi yang pelbagai.
"Saya tak mahir berkayak. Ini pengalaman pertama berkayak di sungai. Saya hanya perlu seimbangkan badan supaya kayak tidak terbalik," ujar seorang peserta, Amirul Izzan Abdul Razak, 24.
"Taklah terlalu bimbang kerana saya boleh berenang. Saya sertai aktiviti ini sebab nak timba pengalaman," kata belia harapan dari Kampung Hulu Langat itu. Amirul tidak pernah ketinggalan mengikuti program anjuran Persatuan Belia Hulu Langat.
Penyertaan memberangsangkan
Ekspedisi anjuran bersama Pertubuhan Belia Sri Puding, Gerakan Belia 4B kawasan Hulu Langat dan Biro Belia DUN Dusun Tua itu mendapat penyertaan memberangsangkan daripada golongan belia dari kawasan setempat.
Program itu turut mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi termasuk Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua, Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Hulu Langat dan Jabatan Pertanian Daerah Hulu Langat. Ia bertujuan mewujudkan kesedaran menjaga sungai dan mencintai warisan alam.
Bagi Munira Jamaludin, 21, peluang berkayak di kampung sendiri memberi kenangan indah sepanjang aktif mengikuti program anjuran persatuan belia.
"Saya biasa berkayak, tetapi bukan di sungai. Cabarannya memang berbeza. Air di tasik tenang, sedangkan air sungai...,ada arus yang kadangkala tenang dan deras. Saya guna teknik seimbangkan badan yang sama seperti berkayak di tasik," kata Munira.
Munira yang senang disapa Rara itu memberitahu, dia tidak kekok walaupun pertama kali berkayak di sungai kerana ketika menyusuri sungai, rakan-rakan yang menggunakan pelampung banyak membantu.
|
|
Itu terbukti apabila kayaknya tersangkut di tebing sungai ketika arus deras, sekali gus menyebabkan dia sukar untuk bergerak.
"Mujur ada yang tolong. Tetapi mereka 'cemburu' sebab saya tak jatuh ke dalam sungai macam orang lain ketika melalui arus deras," ujar Munira.
Tidak banyak masalah yang dihadapi sebelum sampai ke check point pertama. Cuma yang ada hanyalah rasa teruja peserta yang baru pertama kali berkayak menyusuri sungai sejauh 12 kilometer itu.
Selain berpeluang mengenali kawan-kawan baru, peserta juga berkongsi pengalaman dan bertukar pandangan mengenai aktiviti berkayak. Aktiviti itu nyata memupuk semangat kerjasama sesama peserta yang cukup baik.
Bersihkan surau
Selepas 20 minit berkayak, semua peserta kayak dan pelampung tiba di Kampung Hj. Palik untuk sarapan dan aktiviti gotong-royong.
Sampai di sana, mihun goreng dan teh panas telah disediakan oleh penduduk kampung. Juadah itu cukup untuk mengalas perut peserta yang kosong sebelum meneruskan aktiviti berkayak dan membersihkan kawasan surau.
Selepas sejam bergotong-royong, kawasan surau semakin indah. Sampah dan kekotoran sudah dibersihkan. Kemudian barulah peserta kembali ke tebing sungai untuk mendapatkan pelampung dan kayak masing-masing bagi meneruskan ekspedisi.
Perjalanan dari hentian pertama ke lokasi terakhir nyata lebih seronok bagi peserta. Cerita Razif Rosli, 26, ketika menyusur sungai itu dekat Batu 17, peserta mendapat sorakan daripada penduduk kampung.
Katanya, penduduk memberi sokongan kepada peserta dan menganggap mereka sedang bertanding.
"Memang paling seronok ketika berada di sana. Rasa begitu bersemangat. Untuk sampai ke destinasi akhir dari hentian pertama sebenarnya sekejap sahaja. Tetapi kami sengaja berlengah kerana hendak melihat pemandangan sungai," kata Razif.
Tambah Razif, ada kisah lucu di sebalik keseronokan ekspedisi itu. Paling tidak dapat dilupakan adalah sikap beberapa peserta yang menyembunyikan kelemahan diri.
"Ada yang tak tahu berenang tetapi tak nak mengaku. Apabila perlukan bantuan kecemasan, barulah kami tahu dia sebenarnya tak tahu berenang," kata Razif sambil ketawa.
Mujur juga sepanjang ekspedisi itu berlangsung, cuaca berada dalam keadaan baik. Jadi, segala perancangan aktiviti berjalan lancar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: