Sunday, December 20, 2009

Maya teruja naik pelamin




IKATAN cinta yang dibina selama ini akhirnya berakhir di jenjang pelamin. Inilah takdir yang menyatukan dua hati yang selama ini asyik menyulam cinta. Biarpun ada yang mengatakan sedikit terlewat tapi tidak ada apa yang mampu melawan apa yang sudah tersurat.

Bagi pelakon yang popular dengan nama Maya Matahari ini, sudah tertulis jodohnya datang pada usia menginjak 33 tahun. Sudah pasti ramai yang gembira apabila mendapat tahu dia akan menamatkan zaman dara dengan lelaki pilihan hati.

Dinikahkan pada 26 Jun yang lalu, akhirnya pada 12 Disember baru-baru ini barulah Maya dan pasangannya Tengku Shah Reza Tengku Abdul Aziz disandingkan dalam satu majlis resepsi di Dewan Jubli Intan, Batu Pahat, Johor.

Akui Maya walaupun sudah bernikah pada pertengahan tahun yang lalu, dia tidak dapat menahan rasa berdebar dan gementar saat digandingkan bersama dengan lelaki yang berjaya mencuri hatinya.

“Memang saya akui saya sangat berdebar apabila naik pelamin. Tapi alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dan seperti apa yang diharapkan. Sudah pasti ini akan menjadi kenangan yang terindah buat saya.

“Bukan saya tak mahu buat majlis resepsi selepas bernikah dahulu. Waktu itu saya memang sangat sibuk dengan penggambaran dan memang kesuntukan waktu.

“Jadi saya dan pihak suami bersepakat untuk mengadakan majlis resepsi pada 12 Disember yang lalu dan syukur kini semuanya sudah selamat dan saya boleh tersenyum riang,” katanya tanpa berselindung.

Akuinya, semua persiapan majlis resepsi dilakukan sendiri dan dia sangat teruja dengan kehadiran kaum keluarga dan sahabat handai yang datang memeriahkan majlis tersebut.

Jelas Maya atau nama sebenarnya Mayanaliza Ruslee, dia mengambil masa sebulan untuk menyiapkan semua persiapan memandangkan tidak pelbagai perkara yang harus diuruskan sendiri.

“Ayah sudah tiada. Ibu pula kurang sihat. Sudah pasti banyak perkara yang perlu dilakukan sendirian. Saya juga tidak mahu menyusahkan ibu untuk menguruskan hal persandingan saya.

“Selain bersanding saya juga sempat mengadakan majlis cukur jambul tiga anak saudara saya serentak selain majlis khatam al-Quran pada hari yang sama.

“Inilah masa untuk saya berkumpul bersama dengan kaum keluarga. Kami juga sempat mengadakan tahlil untuk arwah ayah yang sudah pergi buat selama-lamanya,” tambahnya yang kini sibuk dengan penggambaran drama bersiri Ejen 008.

Kata Maya walaupun ada yang mendakwa dia berkahwin pada usia yang agak lewat tetapi semua itu ada kebaikan dan keburukan tersendiri.

Dia tidak kisah berkahwin pada usia sebegini memandangkan masing-masing sudah matang dan boleh mengemudi rumah tangga yang dibina atas dasar cinta itu.

“Biarlah apa orang nak kata. Yang penting saya dan suami saling sayang menyayangi dan hormat menghormati. Harap ikatan yang dimeterai ini akan berkekalan hingga ke akhir hayat,” jelasnya yang berkahwin dengan kerabat diraja Pahang.

Maya juga tidak menafikan suaminya itu seorang yang bertanggungjawab dan penyayang. Lantaran itulah dia tidak mengambil masa yang lama untuk terus menjadi suri di hati suaminya yang lebih mesra disapa dengan nama Reza.

“Di mata saya Reza merupakan insan yang sangat memahami dan menghormati dirinya. Sudah pasti sebagai seorang isteri saya perlu menjaga adab dan tingkah laku di samping menjaga nama baik suami dan keluarga kedua-dua belah pihak.

“Saya tidak ada masalah berkahwin bersama dengan Reza. Saya mengenalinya bukan kerana statusnya sebagai kerabat diraja sebaliknya dia merupakan lelaki yang berjaya menambat hati saya.

“Insya Allah saya akan menjaga keharmonian rumah tangga yang baru dibina sebaik-baiknya. Siapa yang tidak mahu hidup bahagia selama-lamanya,” luah Maya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: