

KUALA LUMPUR - Empat kejadian gempa bumi di Kuala Pilah dalam tempoh 24 jam.
Gempa bumi lemah berukuran 3.0 pada skala Richter berlaku buat kali keempat di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada pukul 2.30 petang semalam.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa bumi itu berpusat di 22 kilometer timur Seremban dan merupakan kejadian terbaru daripada empat kejadian gempa bumi yang berlaku di lokasi sama sejak kelmarin.
Kejadian gempa bumi pertama berlaku pada pukul 2.30 petang kelmarin dan semalam, sebanyak tiga kejadian gempa bumi direkodkan yang berlaku pada pukul 12.15 tengah malam, 9.10 pagi dan 2.30 petang.
Gegaran akibat gempa bumi itu dapat dirasai oleh penduduk di kawasan berkenaan. Bagaimanapun, orang ramai tidak perlu berasa bimbang kerana gegaran itu adalah lemah.
Menurut kenyataan itu, kejadian gempa bumi lemah adalah kesan daripada gempa bumi kuat yang berlaku di Indonesia baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Daerah Kuala Pilah, Ibrahim Hassan berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima laporan sama ada daripada penduduk, pihak polis dan bomba mengenai kejadian gempa bumi di daerah itu.
Beliau yang juga Pegawai Daerah Kuala Pilah berkata, pihaknya juga tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian itu, mahupun kerosakan dan keretakan bangunan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: