Tuesday, December 1, 2009

* Dengarnya...: Gelagat peserta Sehati Berdansa memualkan?



SAZZY dan suami sering mendapat markah penuh dalam persembahan mereka.

BUKAN program realiti namanya kalau tidak menjadi bahan bualan. Selepas lebih sebulan bersiaran, program Sehati Berdansa terus mencipta kontroversi yang tidak berkesudahan. Kadang-kadang Cik Normah tertanya-tanya juga, betul ke cerita belakang tabir yang Cik Normah dengar mengenai program itu termasuk pesertanya ataupun sekadar gimik murahan yang sengaja digembar-gemburkan semata-mata untuk mengejar rating.

Iyalah, bukankah sebelum ini ramai yang mengatakan populariti peserta untuk musim ini tidaklah sehebat populariti peserta terdahulu. Jadi bagi memastikan ia terus diperkatakan ramai, terpaksalah menjual kisah kontroversi dan sensasi. Bak kata orang, untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

Manalah tau taktik itu menjadi dan penonton akan terus menyaksikan program yang sudah pun memasuki musim ketiga itu.

Selepas kisah panas pengacara program itu semakin dilupakan, terbaru ada pihak yang mempertikaikan tindakan juri memberikan markah 100 peratus kepada peserta. Banyak yang terkejut apabila pasangan Sazzy sering mendapat markah penuh dalam pertandingan itu. Wah! hebat sangat ke persembahan mereka sehingga tiada cacat cela.


Tapi yang sebenarnya juri itu meminati Sazzy atau tarian Sazzy dan pasangannya? Tak cukup dengan itu, ada pula yang mempersoalkan sikap sesetengah pasangan yang berlebih-lebihan atau ‘over’ dalam membuat persembahan. Cik Normah sendiri pun nak jalan berpegangan tangan dengan suami di khalayak ramai pun kadang-kadang segan apatah lagi nak manja-manja tak tentu pasal.

Tak manis rasanya apabila nak tunjukkan kemesraan itu secara berlebih-lebih di hadapan penonton yang ada di antaranya adalah kanak-kanak. Cik Normah tegur ini pun disebabkan ada pihak yang meluat tengok sesetengah peserta yang aksinya bukan main lagi depan TV. Tak salah nak bermesra tapi kena tengok pada tempatnya. Lepas program selesai, balik rumah, buatlah apa yang awak nak buat. Tak siapa nak larang.

Ini tidak, mentang-mentanglah program ini menyatukan suami isteri, senang-senang saja nak buat aksi ala-ala 18SX depan orang ramai. Ish! memang tak sesuai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: