Tuesday, December 1, 2009

50 delegasi Malaysia sertai ATF




Rombongan diketuai Finas akan berkampung bersama 39 wakil negara lain mulai esok di Suntec City, Singapura

PAVILLION Malaysia yang gah dengan jalur gemilangnya dengan slogan Malaysia Creating Content For The World (Malaysia Mencipta Perisian Kepada Dunia) antara gerai yang akan menjadi tarikan dunia pada acara Asia Televisyen Forum (ATF) 2009 di Suntec City, Singapura.

Acara yang akan berlangsung pada 2 hingga 4 Disember ini turut disertai Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sebagai penganjur yang mewakili negara dengan membawa sama 50 delegasi yang terdiri daripada produser, pengedar, pembeli produk televisyen tempatan akan berkampung bersama 39 negara dunia yang lain.

Pavillion Malaysia adalah antara 39 gerai yang akan menjadi pusat perjumpaan pembeli dan pengedar program televisyen dunia berbincang dan menawar pelbagai kemudahan serta menjalinkan usaha sama di dalam industri kreatif.


ATF adalah medan di mana seramai 254 syarikat produksi antarabangsa dan 400 pembeli produk televisyen akan berkumpul, berbincang, menawar dan menjalinkan usaha sama di dalam industri penerbitan TV dan filem. Selaras dengan usaha kerajaan membawa filem Malaysia ke persada dunia menjadi tanggungjawab Finas untuk merealisasikan saranan itu.

Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim berkata, bermula tahun ini juga, pelbagai program Pasaran Filem dan Rancangan untuk Televisyen, Video, Kabel dan Satelit Antarabangsa (Mipcom) sudah disertai bagi merealisasi filem Malaysia ke persada dunia.

“Bermula pasaran filem Eropah di Berlin pada Februari, Hong Kong (Mac), Marche Du Film, Cannes (Mei), Mipcom, Cannes (Oktober) dan Amerika Syarikat (November) lalu, kami mengikutinya dengan membawa produser, pengedar dan pembeli tempatan untuk didedahkan dengan industri televisyen dan filem dunia.

“Mereka bukan saja membawa produk televisyen tempatan untuk diperkenalkan di setiap acara yang disertai, malah mengenali pembeli dan pengedar dunia secara dekat untuk bertukar-tukar pandangan,” katanya yang ditemui pada sidang media ATF yang akan disertai Finas bermula Rabu ini di Singapura.

Bagi menutup tirai acara pasaran filem antarabangsa tahun ini, Finas sekali lagi membawa nama Malaysia ke pasaran filem dan tv ATF.

“Sebagai medan pasaran filem dan TV terbesar di rantau Asia Tenggara, buat pertama kalinya, Finas terus meneroka pasaran filem itu dengan melihat potensi filem tempatan termasuk filem cereka, dokumentasi dan animasi yang mampu menembusi pasaran antarabangsa amnya dan Asia khususnya.

“Kita juga mendapat kerjasama Perbadanan Multimedia (MDec), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Matrade, pasaran ATF ini mampu mencapai objektifnya.

“Filem tempatan perlu diberi pendedahan melalui pasaran filem seperti ATF yang kali kedua diadakan penganjurannya di Suntec City Singapura.

“Dengan penyertaan daripada 254 syarikat produksi antarabangsa dan 400 pembeli dari 39 negara termasuk Australia, Amerika Syarikat, Perancis, Sepanyol, Korea Selatan, China, Jepun, Taiwan, Hong Kong, Singapura, Thailand dan banyak lagi diharap mampu memberi manfaat kepada penerbit filem di Malaysia,” katanya.

Merujuk kepada pencapaian di pasaran Mipcom, Cannes pada Oktober lalu, sebagai contoh program Mipcom berjaya memberi kesan yang positif melalui jualan intelek berjumlah RM605,000, kerjasama penerbitan bernilai RM116,950 dan nilai pelaburan RM800,000 bagi penggambaran filem di negara ini oleh syarikat produksi luar negara.

“Di ATF nanti, kami akan menyediakan sebuah gerai yang dipanggil Pavillion Malaysia. Tempatan ini akan menjadi pusat operasi 25 syarikat tempatan yang di bawa untuk mempromosi produk mereka.

“Setiap peserta kami akan menyediakan enam kupon minuman percuma di Pavillion Malaysia untuk menarik mereka berkunjung ke gerai kita. Pavillion Malaysia juga adalah satu-satunya gerai yang dibina dua tingkat yang akan menempatkan bilik perbincangan di tingkat atas dan di bawahnya seperti kafe yang boleh menampung ramai pengunjung.

“Finas akan mengaturkan temu janji dengan pengedar dan pembeli antarabangsa seperti di Fremantlemedia (Australia), BBC Worldwide (United Kingdom), Aljazeera Children’s Channel (Emiriyah Arab Bersatu), Sony Pictures (Amerika Syarikat) dan Gonzo Digimation (Jepun).

“Selain itu, Finas juga akan bertindak sebagai ejen pemasaran bagi syarikat penerbitan filem cereka yang tidak dapat hadir pada pasaran kali ini serta memasarkan dokumentari terbitan Finas dan perkhidmatan Studio Digital Mixstage.

Antara 25 syarikat yang akan menyertai ATF seperti KRU Studios, Red Communication, Pesona Pictures, Les’ Copaque Production, Shock3D, Cartoon4Kids, Worldwide Rights Corporation, Elite Animation, Nafalia Corporation, Infinite Motion dan ramai lagi.

Ini adalah kesan positif yang dilihat selepas penyertaan tahun pertama negara dan berharap kerajaan akan terus proaktif menyertai acara umpama ini di masa akan datang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: