Tuesday, December 1, 2009

Tak mahu nangis lagi


KALAU dulu, sebut saja nama Linda Hashim mungkin ramai tertanya-tanya siapa gerangan orangnya.

Malah, mungkin tiada yang ingin mengambil tahu perihal gadis genit ini biarpun dia sudah berkecimpung dalam industri hiburan sejak berusia 11 tahun lagi.

Namun, tidak lagi saat ini. Sesuai dengan perkembangan usianya yang kian meningkat dewasa, nama Linda, 25, semakin terukir di bibir peminat industri hiburan tempatan selepas membintangi drama bersiri Duranni, Ayahku Kahwin Lagi dan Anak Betong.

Amat sinonim dengan watak emosi, Linda sering ditawar untuk menjayakan peranan gadis lemah-lembut, sering ditindas atau dalam erti kata lain segala yang berkaitan air mata mampu dijiwai dengan baik oleh gadis manis ini.

Ditambah pula dengan wajahnya yang sentiasa nampak ‘baik’, menyebabkan pengarah lebih terdorong untuk menawarkan watak sedemikian kepada Linda.

Tidak merungut atau bosan menjayakan watak yang menyentuh emosi itu, ujar Linda dia sebenarnya amat menyukai berlakon dalam cerita berbentuk komedi.

Justeru, tidak hairanlah apabila penampilannya bersama Nora Danish dan Khatijah Tan dalam Sepat Ronggeng yang disiarkan menerusi slot Cerekarama TV3 mendapat reaksi baik daripada peminatnya yang ingin melihat suatu kelainan watak yang dibawa Linda.

Disebabkan itu, pemilik nama Norhazlinda Hashim mula bertindak agresif dengan menukar penampilannya dari segi fesyen rambut dan gaya mekap untuk tampak berani serta matang sejajar dengan usianya itu.

Kata Linda ketika ditemui semasa sesi fotografi bersama Rap, baru-baru ini, dia yakin penampilan terbarunya itu akan mengubah persepsi masyarakat yang dia sekadar boleh menjayakan watak emosi saja.

Pada masa sama, Linda juga ada memberitahu yang dia akan bersikap selektif ketika menerima mana-mana tawaran berlakon mulai awal tahun depan.

Selepas membintangi lebih 50 drama, baru kini Linda menguarkan yang dia akan mengamalkan sikap ‘pilih kasih’ sebelum memberi persetujuan untuk terbabit dengan sesebuah produksi.Mengapa selepas dikenali ramai, Linda mula bersikap sedemikian? Adakah ini menunjukkan tanda awal yang gadis kelahiran Ipoh, Perak ini sudah mula ‘demand’ atau berlagak diva?


Ketika mengajukan persoalan itu, Linda dengan tenang menyangkal sama sekali dakwaan itu.

Menurutnya, tiada istilah ‘demand’ dalam karier perjalanan seninya sebagai pelakon.

“Awalnya, kekok juga apabila warnakan rambut dan tukar sedikit gaya penampilan. Reaksi peminat pula, biasalah ada yang suka dan ada yang tidak. Ada sekali itu, saya rasa menyesal pula menukar penampilan sedia ada.

“Tetapi, saya fikir untuk terus maju ke depan dalam industri ini, perlu sentiasa memperbaharui penampilan sedia ada.

“Apatah lagi, saya amat menginginkan untuk menjiwai pelbagai watak dan bukan sekadar watak emosi saja. Bagi saya, penampilan seseorang mampu mempengaruhi pengarah dalam menawarkan sesuatu watak itu kepada pelakon.

“Disebabkan itu, saya tukar penampilan untuk tampak lebih agresif dan berani agar pengarah lebih berkeyakinan untuk mengambil saya berlakon selain dari watak emosi. “Bukan bosan, cuma sebagai pelakon saya rasa penting kita dikenali sebagai pelakon versatil yang boleh bawa pelbagai watak,” katanya.

Menurut Linda, dia tidak pernah merasakan diri sudah mengecapi erti populariti kerana banyak lagi perkara yang perlu dipelajari dan diterokai.

Atas alasan itu, dia komited untuk bersikap selektif sebelum menerima mana-mana tawaran berlakon.

“Tahun depan, saya akan mengamalkan sikap ‘pilih kasih’ sebelum menyetujui mana-mana tawaran. Jangan salah faham pula kerana maksud pilih kasih bukan merujuk kepada tawaran daripada pengarah hebat atau bayaran tinggi. “Apa yang saya maksudkan ‘pilih kasih’ adalah saya akan memilih skrip, jalan cerita dan watak yang bagus saja mulai tahun depan.

“Sekiranya dulu saya hanya akan tanya pengarah berapa hari penggambaran dan disiarkan di mana, kini saya akan tambah satu lagi soalan iaitu jalan cerita bagaimana, watak, sebelum memberi persetujuan. Bukan bermaksud ‘demand’, tetapi sebagai pelakon, saya rasa kita perlu ada tanda pengukur pencapaian sepanjang membabitkan diri dalam industri hiburan tempatan.

“Lagipun, mustahil kita sekadar berada di takuk lama saja. Perubahan mesti dilakukan sekiranya ingin terus bersaing dalam industri ini,” katanya.

Ketika namanya di kemuncak populariti, gadis manis ini tidak lupa akan perancangan masa depannya. Yakin dunia seni mempunyai pasang surutnya, Linda, kini dalam proses menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

Bakal membuka butik pakaian tahun depan, beritahu Linda yang dia sudah mengenal pasti rekaan pakaian yang ingin dijualkan nanti.

“Sudah menjadi adat dalam bidang ini yang tidak semestinya kita akan terus diingati dan diperlukan. Apatah lagi, ketika ini terdapat ramai pendatang baru yang ingin menceburkan diri dalam industri hiburan tempatan.

“Atas alasan itu, menyebabkan saya ingin membuka butik pakaian sebagai bekal masa depan.

“Saya dapati, Indonesia sangat kreatif dengan fesyen pakaian terutama yang berkaitan gaun. Justeru, saya sudah menempah seorang tukang jahit dari negara itu untuk menampilkan beberapa fesyen terkini dan menarik yang belum ada di sini untuk dijual di butik saya nanti. Harga ditawarkan pula amat berpatutan.

“Selain daripada gaun, saya turut menjual tas tangan kepada mereka yang berminat. Oleh kerana, terdapat pelbagai butik pakaian dan tas tangan yang dijual di sini, saya akan sentiasa pastikan butik ini nanti menjual suatu rekaan yang unik dan lain dari lain. Rasa seronok pula dan tidak sabar menanti pembukaan butik saya itu.

“Bagaimanapun, saya tidak akan berhenti berlakon kerana saya membesar dalam dunia ini dan darah seni sudah sebati dengan jiwa saya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: