![]() |
| BAHAGIA... Dafi (tengah) bersama ibu, Muhaini Zainal Abidin dan bapanya, Ismail Sabri Yaakob. |
SEIRING peningkatan usia ke-21 tahun pada 14 Disember (Isnin) lalu, anak muda yang mula dikenali menerusi rancangan realiti popular, Akademi Fantasia musim kelima (AF5) ini semakin bijak mengatur langkah kehidupannya.
Bukan sahaja sebagai seorang penyanyi, malah sebagai anak dan juga ikon buat para peminatnya.
Berlainan sekali jika dibandingkan pada awal kemunculannya sebagai penuntut AF5 tidak lama dahulu. Malah, langkah yang diaturnya semakin berani dan berkeyakinan.
Dengan pertambahan umurnya, maka bermulalah sebuah lagi fasa baru dalam episod kehidupannya.
Bagi Dafi, sudah tentu dia mengharapkan rona yang penuh berwarna-warni sedia menanti laluan yang terhampar luas di depannya.
Berlatarkan lagu-lagu daripada filem, santai dihiasi atmosfera hitam dan putih, anak teruna Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ismail Sabri Yaakob dan Datin Muhaini Zainal Abidin itu diraikan pada majlis yang berlangsung di Tropicana Golf & Country Resort, Petaling Jaya, Selangor.
Selain dihadiri oleh beberapa rakan artisnya termasuk Noryn Aziz, Carmen Soo dan Sharifah Amani, majlis anjuran Dafi FC itu turut dimeriahkan oleh lebih 100 orang peminat setianya.
Pada majlis tersebut, Dafi dikejutkan dengan kehadiran Noryn yang membawa kek sambil menyanyikan lagu ulang tahun buatnya.
"Terkejut kerana Noryn sudi hadir menyanyikan lagu ulang tahun buat saya. Saya sangat terharu sebab tidak menyangka akan menerima kejutan begini," ringkas kata Dafi mengulas perihal kejutan yang diberikan.
Ini merupakan tahun ketiga Dafi FC menganjurkan majlis ulang tahun buatnya.
Kali pertama berkonsepkan putih manakala tahun lalu berkonsepkan di awan biru yang diadakan di Menara Kuala Lumpur.
Melangkah ke usia 21 tahun kata Dafi, kini dia lebih matang mengharungi hari muka.
Tidak pernah dikongkong, kebebasan yang diberikan oleh keluarga sejak bergelar artis antara amanah yang cukup berharga buatnya.
"Kebebasan memang telah diberikan kepada saya sedari dulu. Bagaimanapun, batas pergaulan masih lagi dikawal oleh ibu bapa saya.
"Harap dengan kebebasan yang mereka berikan saya akan jadi lebih matang dan lebih maju dalam kerjaya seni saya," ujar penyanyi berlesung pipit ini.
Enggan kahwin diatur keluarga
Memanjangkan pertanyaan, sengaja soal jodoh diajukan kepada penyanyi lagu Bila Terasa Rindu itu.
Tidak mengelak mahupun mencari alasan, spontan kata Dafi, paling cepat dia ingin mengakhiri zaman solonya ialah pada usia 27 tahun.
Biarpun meletakkan had umur 30 tahun sebagai angka paling lewat buatnya bergelar suami, dia percaya soal jodoh ditentukan Tuhan.
"Buat masa sekarang fokus saya lebih kepada seni. Terlalu banyak perkara yang saya perlu pelajari dan capai.
"Apabila sudah benar-benar stabil (dari segi kerjaya dan kewangan) barulah saya mahu bercinta dan berkahwin.
"Kalau boleh saya tidak mahu perkahwinan yang diatur. Zaman kini sudah moden, sebab itu saya rasa amat perlu mengenali hati budi supaya perkahwinan yang dibina tidak berakhir dengan penceraian," kata Dafi berterus-terang.
Sementara itu, bapanya ketika ditemui memberitahu, beliau dan isteri sentiasa menyokong minat dan kebolehan anak-anak mereka.
"Saya tidak campur soal kerjaya seninya. Dia berdiri sebagai artis dengan usaha sendiri bagaimanapun, jika ada masa dia banyak berbincang dengan saya.
"Pernah suatu hari saya beritahu dia, menjadi penyanyi tidak kekal lama malah, tidak kekal selamanya sebagai orang muda. Tambahan pula, suatu hari pasti akan muncul orang baru.
"Sebab itu, dalam masa yang sama dia perlu tumpukan kepada pelajaran supaya dia boleh sediakan dirinya untuk kerjaya yang lain suatu hari nanti," ulas tokoh politik itu lagi.
Menganggap kehidupannya dan anak bujangnya itu hampir serupa, dunia politik dan hiburan masing-masing tidak lepas lari daripada pelbagai gosip dan fitnah.
"Sebagai artis, Dafi lebih terdedah kepada kritikan serta fitnah berbentuk peribadi. Sebab itu saya rasa dia perlu ambil berat dalam menjaga bukan sahaja nama baiknya malah keluarga," katanya.
Selain mengehadkan gambar-gambar yang boleh diambil oleh Dafi, aturan keluarga pulang sebelum pukul 12 tengah malam perlu dipatuhi.
"Saya begitu mengambil berat perihal menjaga nama baik keluarga. Bagaimanapun, jika anak-anak terpaksa balik lewat mereka perlulah memaklumkan kepada saya terlebih dahulu," kata Ismail lagi.
Dalam perkembangan lain, Dafi kini baru sahaja habis merakamkan single terbaru ciptaan Edry, Sebelum Kita Berpisah.
Malah, dia juga bakal muncul dalam sebuah drama muzikal terbitan KRU, yang turut membariskan bintang-bintang AF yang lain seperti Anding, Marsha dan Bob.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: