![]() |
| DUA pelakon utama Pulau Asmara, Faizal dan Shasha Arsheela. |
DUA pelakon Pulau Asmara ini memulakan langkah seni mereka bukan daripada bidang lakonan.
Jika juara Akademi Fantasia musim keempat (AF4), Faizal Ramly, 25, mula dikenali di bidang nyanyian, gadis kacukan Cina - India, Shasha Arsheela yang juga berusia 25 tahun ini pula mula mesra di kaca TV sebagai pengacara Bollywood.com yang bersiaran di TV3 tidak lama dahulu.
Bertemu dalam filem yang menjengah pawagam bermula hari ini, Faizal dan Shasha merupakan antara enam pelakon utama selain Nadia Kesuma, Abby Azis, Leez AF4 dan Sheikh Bolkiah.
Ditemui pada tayangan perdana filem tersebut yang berlangsung di TGV, KLCC baru-baru ini, baik Faizal mahupun Shasha, masing-masing mengharapkan agar lakonan mereka diterima positif di kalangan penonton kelak.
Sedar masih terlalu hijau di cabang lakonan, Pulau Asmara bagi mereka adalah platform terbaik dalam menterjemah bakat lakonan yang ada pada mereka.
Jika Faizal dengan karakter lucu Sam yang agak gila-gila dan bersahaja, Shahsha pula perlu lebih serius dan fokus dalam menghayati watak Rina, seorang gadis yang mengidap kanser.
Penyanyi lagu Lihatlah yang baru-baru ini tiba-tiba sahaja menjadi perhatian setelah mengakui telah berkahwin dengan gadis dari Temerloh, Pahang, Nur Ashikin Mior, pada 12 Februari lalu itu bagaimanapun mengharapkan bakatnya tidak didiskriminasikan hanya kerana status dirinya kini.
"Berkahwin adalah perkara yang baik, tidak semestinya apabila berkahwin kita tidak mampu beri yang terbaik dalam kerjaya.
"Apa yang penting, jika nawaitu betul dalam tonjolkan bakat saya yakin Tuhan akan tolong.
"Saya ibaratkan kerjaya lakonan sama seperti seorang pelukis. Kata orang, pelukis yang baik tidak boleh guna kayu pembaris ketika melukis kerana ia bergantung kepada kebolehan dan bakat pelukis itu sendiri.
"Sama seperti saya, dalam lakonan saya perlu pertaruhkan bakat yang ada pada saya," katanya.
Sebagai permulaan, mutu lakonan yang dipersembahkan Faizal dalam filem tersebut agak baik dan meyakinkan.
Bagaimanapun, menurut Faizal, sebagai pendatang baru dia berharap agar diberi ruang dan masa bagi membolehkannya terus mengasah bakat lakonan pada masa akan datang.
"Ini lakonan terbaru daripada saya, harap peminat boleh menerima dan menilai kebolehan saya.
"Selepas Momok The Movie, berbanding lakonan terdahulu kali ini rasa rasa ada banyak peningkatan.
"Saya bermula dengan nyanyian, seperti kebanyakan artis lain, dalam pada menyanyi saya juga mahu mengembangkan kerjaya saya kepada lakonan pula," jelas Faizal lagi.
Merisik perkembangan terbaru Faizal, dia yang merupakan artis sulung di bawah pengurusan Alakazam Productions bermula Oktober lalu bakal lahir dengan album terbaru yang dijangka bakal dilancarkan April 2010.
Menurut Faizal, album yang bakal memuatkan 10 buah lagu termasuk single Ole Ole Pulau Asmara dan Keagungan Cinta itu mendapat khidmat daripada komposer ternama termasuk penulis lirik terkenal Habsah Hassan.
Berbeza dengan Faizal, Pulau Asmara merupakan filem pertama bagi gadis yang berasal daripada Pulau Pinang ini.
Sebelum ini, bakat lakonan Shasha lebih banyak terarah kepada drama semata-mata. Antaranya ialah Sinopsis Cinta dan Rahsia Sehati di RTM.
Melakonkan watak Rina, seorang gadis yang mengidap kanser bukanlah sesuatu yang mudah.
Mujur produksi Alakazam Productions membawanya melawat beberapa pesakit kanser bagi membolehkan Shasha menghayati watak tersebut.
"Bagi saya membawa watak pesakit kanser memang berat. Nasib baik berpeluang melawat beberapa pesakit kanser dan daripada situ saya cuba menghayati dan menyelami perasaan mereka.
"Memang susah rasanya nak menghayati watak, bagaimanapun babak terjun ke laut adalah antara yang paling mencabar buat saya," kata Shasha yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik itu.
Cuma kata Shasha, dia agak kecewa kerana terdapat beberapa babak dalam filem tersebut yang dirasakannya boleh diperbaiki lagi.
Menganggap bidang perfileman masih lagi asing buat dirinya, namun, dia berhasrat melakukan yang lebih baik sekiranya masih diberi peluang.
Graduan undang-undang dari University Of London itu bagaimanapun bersyukur kerana langkah permulaan ke bidang lakonan terus membawa namanya ke aliran perfileman Melayu.
Cabaran pastinya lebih besar buat Shasha kerana selepas ini dia perlu mempertahankan namanya di gelanggang seni perfileman Melayu yang jarang sekali mampu ditembusi oleh barisan pelakon bukan Melayu.
Dalam perkembangan lain, Shasha baru sahaja menerima tawaran berlakon sebuah filem aksi terbitan Alakazam Productions dan bakal bergandingan dengan Faizal AF4 tidak lama lagi.
Baru-baru ini, Shasha juga baru sahaja menjalani uji bakat lakonan bagi sebuah drama 300 episod yang bakal bersiaran di TV3 tidak lama lagi.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: