Thursday, December 17, 2009

Cukup 7 saluran Melayu


ZAINIR (tiga dari kanan) bersama pengurus-pengurus baru saluran Melayu pada majlis malam media di Kuala Lumpur baru-baru ini.


MENJADI satu-satunya stesen TV berbayar negara, Astro sejak penubuhan 13 tahun lalu telah memperkenalkan tujuh saluran yang dikhususkan kepada mereka yang meminati inti pati tempatan dalam bahasa Melayu. Bermula dengan Astro Ria dan diikuti dengan Astro Prima, kedua-dua saluran itu telah kukuh dengan identiti program masing-masing.

Penerimaan serta respons positif audiens telah meyakinkan Astro mengambil risiko untuk melahirkan lima lagi saluran yang menawarkan kandungan jauh berbeza. Lima saluran yang dimaksudkan adalah Astro Ceria (program kanak-kanak), Astro Oasis (rancangan berbentuk keislaman), Astro Warna (program komedi), Astro Awani (berita dan informasi) dan Astro Citra (filem).

"Apa yang kami lakukan adalah risiko dan pertaruhan. Contohnya, mana ada stesen TV yang menyediakan satu saluran untuk kanak-kanak sahaja. Namun, apa gunanya jika kami menyediakan satu lagi saluran yang sama dengan Ria atau Prima sahaja.

"Kini terbukti langkah yang diambil itu betul. Sekarang saluran Ceria lebih diterima berbanding saluran kanak-kanak antarabangsa yang lain," kata Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd, Zainir Amirullah pada sesi bertemu dengan media baru-baru ini.

Selain Ceria, saluran Warna dilihat mempunyai potensi tinggi untuk berkembang. Walaupun buat masa ini pihak Astro belum menerima sebarang angka untuk saluran itu, reaksi audiens setakat ini amat memberangsangkan. Saluran Citra pula lebih senang untuk menarik perhatian penonton.


ERRA dan Aaron duta Astro Megadrama yang mengumpulkan ramai peminat.


"Kami mengambil pendekatan agresif kerana bukan menghasilkan satu saluran hiburan tetapi satu saluran yang menawarkan komedi. Memang diakui ia lebih mencabar tetapi memberikan ruang untuk berkarya secara kreatif, mencari konsep dan melahirkan program identiti seperti yang ada pada saluran lain.

"Citra pula hanya menawarkan filem kepada audiens. Kami akan memberikan filem-filem terbaru yang sudah ditayangkan di pawagam," ujarnya lagi.

Tidak memilih kasih dalam mengagihkan bajet untuk setiap saluran, jadual tayangan juga disediakan tanpa bercanggah terutama pada waktu perdana. Selain daripada itu, saluran yang telah kukuh seperti Ria dan Prima juga akan membantu saluran lain dari segi pengiklanan.

Namun, melihat kejayaan ketujuh-tujuh saluran itu, Astro dalam masa terdekat tidak mempunyai sebarang perancangan untuk melahirkan saluran baru. Kata Zainir, Astro kini mahu memberi tumpuan kepada saluran-saluran yang sedia ada.

"Kami mahu memberikan ruang kepada dua saluran terbaru iaitu Warna dan Citra untuk mendapatkan momentum dahulu. Audiens memerlukan masa untuk serasi dengan program-program di saluran baru. Kemudian baru kami akan analisis faktor kejayaan atau kegagalan sesebuah saluran itu. Adakah saluran itu mampu kekal? Itu yang diutamakan buat masa ini," jelas Zainir lagi.

Sedar bahawa penonton mahukan kandungan berbeza, Astro juga sanggup berbelanja untuk memberikan drama-drama tempatan terbaik buat pelanggannya. Selepas drama paling popular Astro, Mentua vs Menantu, audiens disajikan dengan Awan Dania dan Kau dan Aku.

"Sejak Astro Megadrama diperkenalkan, kami berjaya mengumpul ramai penonton baru. Kami tahu audiens bukan hanya mahukan program realiti. Awan Dania amat popular dan kini giliran Kau dan Aku. Sebenarnya drama itu adalah satu eksperimen kerana tidak ramai yang mempercayai drama berbentuk muzikal," tambah Zainir.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: