Monday, December 7, 2009

Beyonce, Taylor dahului senarai


BEYONCE Knowles terus membuktikan kehebatannya apabila mendapat 10 pencalonan dalam anugerah Grammy ke-52 yang berlangsung Januari depan.


SENARAI pencalonan anugerah Grammy ke-52 yang diumumkan pada malam Khamis lalu sememangnya telah mengundang pelbagai rasa di kalangan peminat serta karyawan seni muzik Hollywood.

Daripada senarai itu, mereka dapat menyimpulkan artis yang dicalonkan telah memberikan hasil kerja yang eklektik sekali gus menyirnakan kehebatan dan kegemilangan muzik di Hollywood.

Masakan tidak, mereka yang tersenarai dan mendapat pencalonan terbanyak semuanya mewakili genre muzik yang berbeza iaitu pop, rock, R&B, country dan hip hop.

Sudah pasti tumpuan anugerah Grammy kali ini akan diberikan kepada bintang sensasi, Beyonce Knowles yang mendahului senarai apabila menerima 10 pencalonan.

Pencalonan yang diterimanya itu adalah daripada album ketiganya, I Am...Sasha Fierce yang merangkumi tiga kategori utama iaitu Album Terbaik, Rakaman Terbaik (Halo) dan Lagu Terbaik (Single Ladies (Put a Ring On It)).

Album itu juga menerima pencalonan dalam kategori Album R&B Kontemporari Terbaik di samping album Intuition (Jamie Foxx), The Introduction Of Marcus Cooper (Pleasure P), Ready (Trey Songz) dan Thr33 Ringz (T-Pain).

Bukan itu sahaja, persembahannya menerusi (Single Ladies (Put a Ring On It)) turut dicalonkan untuk Persembahan Vokal R&B Wanita Terbaik dan Lagu R&B Terbaik.

Malah, Beyonce juga menerima pencalonan untuk kategori Persembahan Vokal R&B Tradisional Terbaik untuk lagu At Last yang pernah disampaikannya dalam filem Cadillac Records.

Pencalonan itu telah meletakkan Beyonce sebagai calon utama yang dilihat berpotensi besar untuk merangkul kejayaan besar dalam anugerah yang akan berlangsung pada Januari depan.

Masakan tidak, sebelum ini pada tahun 2004, Beyonce mencuri perhatian ramai apabila menggondol lima anugerah Grammy hasil daripada album solo pertamanya, Dangerously In Love.

Kejayaan itu telah meletakkan nama Beyonce sebaris dengan penyanyi wanita lain seperti Norah Jones, Alicia Keys dan Lauryn Hill yang memenangi lima anugerah dalam satu malam.

Biarpun mendapat 10 pencalonan, itu bukanlah satu tiket untuk Beyonce merangkul kejayaan besar pada malam itu kerana laluannya bukanlah mudah.

Beyonce perlu berdepan dengan penyanyi country yang semakin meningkat naik , Taylor Swift yang telah dicalonkan dalam lapan kategori di mana tiga daripadanya merupakan kategori utama.

Taylor dicalonkan untuk kategori Album Terbaik untuk album Fearless serta Lagu Terbaik, Rakaman Terbaik dan Persembahan Vokal Pop Wanita Terbaik menerusi lagu You Belong To Me yang turut dimuatkan di dalam album tersebut.

Album Fearless juga turut dicalonkan dalam kategori Album Country Terbaik dan Taylor yang berpadu suara dengan penyanyi lagu Bubbly, Colbie Caillat juga menerima pencalonan bagi kategori Kolaborasi Pop Vokal Terbaik menerusi lagu Breathe.

Namun bagi kategori Persembahan Vokal Wanita Country Terbaik, Taylor perlu berdepan dengan penyanyi wanita lain yang sudah diiktiraf kredibiliti mereka sebagai penyanyi country terbaik.

Mereka yang turut dicalonkan bersama Taylor adalah Miranda Lambert, Martina McBride, Carrie Underwood dan Lee Ann Womack.

Siapa tahu, malam Grammy nanti akan menjadi milik Taylor yang sememangnya telah mencipta banyak kejayaan sepanjang tahun 2009.

Pelbagai kejayaan yang diraih oleh Taylor telah meletakkan dirinya sebagai bintang pelapis muzik country yang mampu meneruskan kesinambungan muzik itu.

Mengekori rapat Beyonce dan Taylor adalah kumpulan terkenal, The Black Eyed Peas yang dicalonkan dalam enam kategori menerusi album mereka, The E.N.D.

Berbanding dengan Beyonce dan Taylor, The Black Eyed Peas cuma menerima dua pencalonan dalam dua kategori utama iaitu Rakaman Terbaik untuk lagu I Gotta Feeling dan Album Terbaik (The E.N.D).

Kategori lain ialah Vokal Pop Duo atau Berkumpulan Terbaik menerusi lagu I Gotta Feeling, Album Vokal Pop Terbaik (The E.N.D), Rakaman Dance Terbaik (Boom Boom Pow).

Bagi kategori Artis Baru Terbaik pula, mereka yang dicalonkan ialah Zac Brown Band, Keri Hilson, MGMT, Silversun Pickups dan The Ting Tings.

David Guetta, Jay-Z dan Lady Gaga juga tidak kurang hebatnya apabila menerima lima pencalonan.

Sementara itu, Colbie Caillat, Michael Giacchino, Kings Of Leon, John Newton, RedOne, Bruce Springsteen, T-Pain dan Keith Urban pula masing-masing mendapay empat pencalonan.

Presiden dan Ketua Pegawai Operasi The Recording Academy, Neil Portnow menyifatkan senarai pencalonan tahun ini benar-benar mencerminkan karyawan seni yang berbakat dalam genre muzik yang mereka wakili.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: